in , ,

Yonnyboii Luahkan Cinta Buat Isteri dalam Single Terbaharu Berjudul NIKI

Selepas menggegarkan dunia muzik tempatan dengan pelbagai lagu hit, salah seorang bintang hip hop tersohor Malaysia Yonnyboii kembali dengan sebuah lagi karya hebat berjudul NIKI.

Yonnyboii yang baru sahaja tersenarai sebagai salah seorang peserta akhir anugerah berprestij, Anugerah Juara Lagu lewat lagunya ‘Salahku’ mengatakan NIKI, sebenarnya adalah tentang pasangan hidupnya.

“Lagu ini sebenarnya tentang cinta saya kepada isteri saya Nina. Saya tulis lagu ini beberapa hari sebelum kami bertunang, sambil membayangkan betapa indahnya hari perkahwinan kami nanti sewaktu duduk di atas pelamin,” kata Yonnyboii tentang lagu tersebut.

“Saat saya menulis lagu ini, saya seperti tidak percaya yang kami bakal bertunang dan hari perkahwinan kami semakin dekat. Saya telah pun merancang supaya lagu itu dimainkan di majlis resepsi. Dan kini saya ingin kongsikannya dengan seluruh dunia,” tambahnya.

Yonnyboii - NIKI (Artwork)

Dicipta dan ditulis oleh Yonnyboii sendiri lagu romantik itu disusun oleh SeaTravel dan diterbitkan oleh SLACK bersama Yonnyboii sendiri.

Yonnyboii yang baru sahaja melangsungkan perkawinannya tidak lama sebelum ini menyatakan bahawa NIKI menceritakan kisah cinta peribadinya. Ia mengisahkan bagaimana dia jatuh cinta begitu dalam dengan seseorang, sehingga ia memberikan dirinya keyakinan baharu, membuat dirinya benar-benar rasa disayangi serta dihargai.

Lagu ini juga dihadirkan bersama sebuah video muzik yang agak luar biasa.

“Konsep video ini agak berlainan dan temanya ada membabitkan beberapa unsur saintifik. Walaupun saya berperanan sebagai bintang utama, nantikan kemunculan seorang bintang tamu istimewa dalam video itu nanti,” tambahnya lagi.

“Pembuatan video muzik ini memakan waktu yang lama. Kami terpaksa menunggu dari jam 11 pagi sehingga penggambaran bermula sekitar jam 5, malah hampir 6 petang. Saya berterima kasih kepada isteri saya Nina kerana menemani saya sepanjang penggambaran. Saya juga ingin berterima kasih kepada pengarah video Thaqif Saadon kerana membantu saya sewaktu rakaman,” katanya.

Yonnyboii juga berharap para peminat serta pencinta muzik akan dapat menghargai seni yang dipaparkan selain rakaman yang dipersembahkan di dalam video muzik serta lagu tersebut.

NIKI bakal dilancarkan secara digital di semua platform bermula Jumaat 21 Januari 2022 jam 12pagi. Video liriknya pula akan ditayangkan pada hari yang sama jam 9 malam manakala video muzik rasmi boleh ditonton pada 28 Januari 2022 pukul 9 malam di saluran YouTube Yonnyboii VEVO. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Selepas Dua Dekad, Jenama Nakada ‘Ikat’ Aznil Nawawi Jadi Duta

Fazura Bercadang Mahu Tambah Anak Tapi Baru Kuruskan Badan