in , ,

Yonny Boii Lancar Single Terbaharu Berjudul SALAHKU

KOMPOSER dan penyanyi muda berbakat besar, Yonny Boii, 22, kini mempertaruhkan single solo terbaharunya berjudul Salahku. Lagu yang meluahkan isi hati serta perasaannya itu disiapkan Jun tahun lalu.

Lagu berentak R&B  hasil ciptaan anak jati Kuala Lumpur itu dilancarkan pada 12.00 tengah malam 3 April 2020 di semua platform digital terpilih seperti itunes, Spotify, Apple Music, Deezer, Joox Music dan KK Boxselain disaluran YouTube  Universal Music.

Anak sulung tujuh beradik dengan nama penuh, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin ini terus selesa mengabadikan pengalaman hidup sendiri dalam lagu ciptaan dan dendangannya.

“Salahku boleh saya kata menyingkap kisah lalu tentang kehidupan peribadi saya. Pengalaman itu sebenarnya mematangkan saya.

“Di sekolah dulu pun, saya tak ramai kawan. Saya memang jenis yang suka menyendiri, berdiam diri, memendam rasa dan cepat marah.

Sebab itulah saya menghasilkan lirik banyak berdasarkan pengalaman saya membesar.

Ramai yang cakap lirik saya terlalu mendalam, dan mereka yang mendengar sukakan sesuatu yang bukan direka. Setiap lirik pasti ada kisah yang ingin saya sampaikan,”

– Yonny Boii

Bercerita lanjut mengenai lagu itu lagi, Yonny Boii berkata ia umpama terjemahan bahawa diri manusia ini tidak pernah sempurna.

“Lagu itu saya tulis mengenai isi hati diri saya. Sejak usia 16 tahun lagi, saya lebih selesa menunjuk perasaan dalam lagu. Saya sering merasakan diri saya banyak kekurangan. Kadangkala orang tidak memahami apa yang saya lalui dana pa yang saya inginkan dalam hidup. Jadi menerusi lagu saya dapat melempiaskan perasaan saya”.

“Kadangkala tindakan yang kita buat, kita rasa kita betul. Hakikatnya pada mata orang lain apa yang kita buat itu satu kesilapan. Disini berlaku kekeliruan pada diri sendiri”.

“Saya rasa senario itu mungkin turut dilalui orang lain. Pada ketika diri berasakan sudah cukup baik dan bagus, pasti ada yang melihat sebaliknya.

“Akhirnya ia menjadi pengajaran berharga dalam hidup. Kekurangan dan kelemahan yang ada dalam diri itu saya tukar menjadi kekuatan. Akhirnya rezeki saya dalam dunia seni. Hari demi hari saya lebih matang dalam banyak aspek,”

– Yonny Boii

Selain berbakat dalam dunia muzik, Yonny juga sempat belajar dalam dunia perisian dan grafik.

“Mungkin juga sudah tertulis tuah dan rezeki saya dalam dunia seni. InsyaAllah saya akan manfaatkannya sebaik mungkin.

“Cuma saya sendiri tak tahu nak gelar diri ini sebagai apa dengan lebih tepat. Saya tak anggap diri ini rapper, komposer, penyanyi hip hop atau terbatas dengan genre tertentu semata mata.

“Saya gemar bereksperimental. Saya tak mahu terikat dengan itu dan ini. Saya selesa bebas dengan tujuan berkongsi bakat yang ada. Cukup memadai, kelaskan saya sebagai penggubah lagu.

“Ikutkan lagu rock kapak pun saya buat. Muzik itu bersifat universal. Sudah ada dalam beratus juga lagu ciptaan saya dari zaman underground sampailah ke saat ini,”

– Yonny Boii

Sebelum Salahku, Yonny Boii tahun lalu pernah meledak dengan lagu Sakit duet bersama Zynakal. 

Tidak hanya bekerjasama dalam lagu Sakit, mereka berdua pernah berganding dalam lagu Cemburu juga dicipta Yonny tahun lalu.

“Salahku ni dikira single ketiga solo saya selepas Tujuan dan Biar. 

“Tahun lalu pun saya sebenarnya pernah muncul dengan lagu Takut berkolaborasi dengan Caprice.

“Beberapa bulan lalu saya dipanggil untuk turut serta mewarnai lagu X Missing You dendangan Dayang Nurfaizah. Faizal Tahir dan Tuju K Clique pun ada. Ini dikira sebagai penampilan istimewa, saya berperanan buat lirik bahagian yang saya nyanyikan sahaja”.

“Bulan lalu saya juga tampil dalam lagu 3 Kucing dendangan Ariff Bahran,”

– Yonny Boii

Di akhir perbualan, Yonny turut berkongsi sedikit kekhilafan diri apabila promosi teaser lagu Salahku yang dimuat naik di IG TV tahun lalu sudah disalin oleh orang lain dan mereka menggunakan audio lagu itu dan memuat naik di internet.

“Saya dapat tahu video itu sudah mendapat tontonan lebih 1.8 juta di internet baru baru ini kerana dimuat naik dua orang di youtube milik mereka.

“Ralat juga perkara ini terjadi. Tapi saya reda. Ia khilaf sendiri juga. 

“Saya harap yang meminati bakat ini boleh menyokong produk baru saya di saluran yang betul,”

– Yonny Boii

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasa sejak 18 Mac lalu, Yonny lebih banyak ‘berkurung’ di rumah demi menggali naskhah baru yang boleh diketengahkan. Yonny Boii juga sempat siapkan lagu pasal PKP ni, tajuk dia Jangan Keluar Rumah, Alhamdulillah mendapat respon yang agak bagus juga.

What do you think?

42 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

COVID-19: Atu Zero & Isteri Bantu Jahit Baju PPE Untuk Petugas Hospital

Gelar Netizen Kg.Com, Penyanyi Sharifah Zarina Dikecam