Dalam satu sidang media yang penuh emosi dan keterbukaan, YM Dato’ Seri Paduka Diraja Dato’ Sri Siti Nur Atiqah binti Dato’ Seri Baba tampil menjawab segala tuduhan dan persepsi negatif berkaitan insiden 82 orang jemaah yang terkandas di KLIA gara-gara isu visa haji Mujamalah.
Beliau menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan syarikat miliknya, MRF, dalam skandal penipuan haji yang menggemparkan itu.
Isu Tular di Media Sosial Tidak Berasas
“Saya nak tekankan, semua yang tular di media sosial itu tidak benar,“ tegas Dato’ Sri Siti di awal sidang media. Beliau memetik kenyataan rasmi dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut menafikan dakwaan tersebut serta memaklumkan siasatan masih sedang dijalankan.
Kronologi Isu Dari Sudut Dato’ Sri Siti
Menurutnya, beliau dan seorang hamba Allah adalah rakan kerja dalam banyak urusan kebajikan. Mereka ke KLIA berdasarkan surat tawaran dan tiket penerbangan yang sah.
“Kami telah menerima surat tawaran untuk menunaikan haji secara tajaan penuh. Tapi kenapa pihak agensi yang bernama Albalad tidak mengaku?“ katanya sambil menyatakan surat tersebut jelas dikeluarkan oleh pihak agensi itu.
Beliau juga berkongsi bahawa individu dari agensi tersebut memberi jaminan mereka akan disambut di Jeddah. Namun, pada saat akhir, mereka diminta menunggu kerana visa Mujamalah masih belum diperoleh. Malangnya, tidak semua jemaah sempat berlepas.
“Saya sendiri ditaja. Keluarga saya pun ikut serta. Kenapa saya nak aniaya diri sendiri dan keluarga saya?“
– YM Dato’ Seri Paduka Diraja Dato’ Sri Siti Nur Atiqah binti Dato’ Seri Baba
Penjelasan Daripada Sumber Jemaah
Menurut satu sumber jemaah yang turut terlibat, istilah ‘percuma’ perlu diperbetulkan. Sumber tersebut menjelaskan: “Sebenarnya, 82 jemaah itu termasuk saya merupakan jemaah yang ditawarkan secara percuma. Tapi urusan kami hanya berkaitan dengan pengurusan dokumen. Urusan visa dan penerbangan adalah daripada penaja sendiri.“
Tambahnya, pihak agensi Albalad hanya ditugaskan untuk menguruskan penerbangan dan sepanjang proses itu, jemaah tidak dibenarkan berkomunikasi langsung dengan Albalad, sebaliknya diminta untuk berurusan terus dengan penaja.
“Tiada seorang pun daripada kami yang mengeluarkan bayaran untuk pakej ini. Penaja yang membayar, kami hanya penerima tajaan. Jadi bila media sebut ia ‘percuma’, itu tidak tepat.“
– Sumber
Sumber itu turut memaklumkan bahawa pasport telah diserahkan kepada penaja dan bukan disalah guna seperti yang didakwa oleh segelintir pihak. Tiada suasana tegang berlaku ketika berkumpul di KLIA pada malam tersebut, sebaliknya suasana tenang dan para jemaah saling berlapang dada.
Namun begitu, berlaku provokasi daripada segelintir individu yang menyebabkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan jemaah lain. Tambah sumber itu lagi: “Hanya 7 orang jemaah sahaja yang bangkit dan mencetuskan kekecohan. Selebihnya kekal tenang dan masih berharap urusan haji diteruskan.“
Sumber turut mendedahkan bahawa selepas kehadiran pihak polis, seorang makcik yang mulanya mahu teruskan ibadah haji turut berubah fikiran selepas ditegur, lalu membuat laporan polis bagi mendapatkan semula pasport.
Penahanan Dan Siasatan Polis
Dato’ Sri Siti turut berkongsi pengalaman beliau disoal siasat lebih 12 jam oleh pihak polis, termasuk di balai KLIA dan Dang Wangi.
“Saya tak mengamuk. Saya memang penat dan tak cukup tidur. Tapi saya tak takut disiasat sebab saya tahu saya tak bersalah.”
– YM Dato’ Seri Paduka Diraja Dato’ Sri Siti Nur Atiqah binti Dato’ Seri Baba
Beliau juga menyatakan kekesalan apabila kenyataan media penyanyi Amir Ukays menimbulkan salah faham yang mendalam.
“Saya rasa dianiaya. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Amir Ukays seolah-olah kami sengaja menipu. Tapi hakikatnya, kami pun sama-sama menunggu. Dan sebahagian besar jemaah sudah pun berlepas ke Mekah.“
– YM Dato’ Seri Paduka Diraja Dato’ Sri Siti Nur Atiqah binti Dato’ Seri Baba
Tiada Kaitan Dengan Syarikat MRF
Dengan nada tegas, Dato’ Sri Siti berkata: “Saya nak tegaskan sekali lagi. Isu ini langsung tiada kaitan dengan syarikat saya, MRF. Semua ini berlaku atas tajaan individu lain.“
Beliau menambah bahawa tanggungjawab beliau hanyalah menjadi perantara bagi membantu memudahkan perjalanan jemaah atas dasar amal dan kebajikan, bukan untuk tujuan keuntungan atau penipuan.
Situasi Masih Dalam Siasatan Pihak Berkuasa
Pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung laporan yang dibuat oleh penyanyi berkenaan dan beberapa lagi pihak. Dato’ Sri Siti turut menekankan bahawa beliau sedia bekerjasama sepenuhnya.
Dalam dunia yang serba viral ni, terlalu mudah untuk kita menjatuhkan hukuman berdasarkan satu video atau satu kenyataan tanpa meneliti keseluruhan cerita. Dato’ Sri Siti tampil dengan nada terbuka, tenang dan konsisten. Malah, beliau sanggup bersumpah di balai polis dan menjemput seluruh wartawan jika benar dia dianiaya.
Apa yang kita harapkan, media lebih berhati-hati dalam menyampaikan sesuatu berita, terutama melibatkan nama dan maruah seseorang. Bagi pihak jemaah pula, penting untuk lebih berhati-hati dan menyemak kesahihan mana-mana tawaran, walaupun ianya bertujuan baik. Rezeki memang datang dalam pelbagai cara, tapi jangan sampai ia jadi ujian yang memburukkan nama orang lain.
Isu ini belum tamat. Tapi satu perkara yang jelas: masih banyak persoalan yang perlu dijawab oleh pihak agensi Albalad dan juga individu yang menaja. Semoga kebenaran akan terbongkar dan jemaah yang terkandas mendapat pembelaan yang adil dan saksama.