in

Yang Istimewanya Program DO-IT Terbitan RTM

“DO-IT” merupakan rancangan terbaharu di RTM yang membawa penonton kepada Dimensi semasa ekonomi yang berOrientasikan Inovasi dan Teknologi. Ia merupakan program bermaklumat yang melangkau semua aspek ekonomi dan perniagaan serta lebih bersifat “human interest”.

Nama akronim program DO-IT tercetus daripada bunyi perkataan “duit” yang begitu sinonim dalam hampir semua aspek kehidupan seharian pada masa ini. Jika disebut pantas akronim “DOIT” akan berbunyi seperti “duit” dan perkataan ini jualah menggambarkan bagaimana kejayaan inovasi dan teknologi sebenarnya dapat memberi manfaat kepada pelbagai pihak dan seterusnya dapat diterjemah kepada nilai wang ringgit.

Di Sebalik Tabir (2)

DO-IT memulakan siaran pada setiap hari Isnin 7.30 malam hingga 8.00 malam pada 2 Februari 2015 dan ke udara sebanyak 36 episod sepanjang 2015. Biarpun ia merupakan akronim, logo DOIT turut diletakkan tanda sengkang di tengah seperti /DO-IT/ bagi memudahkan orang ramai menyebutnya. Ia merupakan program 30 minit terbitan Seksyen Ehwal Semasa RTM. Terdapat 3 segmen dalam program ini.

Segmen pertama D-TEK : Mengetengahkan kejayaan Malaysia dalam menggalakkan transformasi perniagaan menerusi inovasi melibatkan penggunaan teknologi hijau dalam penghasilan produk, perkhidmatan atau teknologi penyelesaian industri serta berkaitan masalah sejagat. Segmen ini juga mengetengahkan pencapaian penyelidik tempatan dalam menghasilkan penemuan atau ciptaan baharu yang mempunyai daya pengkomersilan yang tinggi.

Selain itu, segmen ini turut memberi fokus kepada penggunaan ICT dalam gajet, apps atau perisian dalam perniagaan serta kehidupan kita seharian.

Antara yang pernah ditampilkan dalam segmen ini adalah berkaitan dengan produk bioteknologi, genome, kit kesan penyakit barah, sistem binaan IBS, kamazuhome bagi mangsa banjir, pengurusan sisa pepejal dan sistem tahan gempa.

Paparan aplikasi oleh Google seperti view trekker, dan Chromecast antara yang pernah mendapat perhatian. Teknologi dalam drone juga ditampilkan dalam menyingkap penggunaannya sama ada sebagai aktiviti riadah, dokumentasi visual oleh pihak korporat mahu pun ketika negara berdepan dengan masalah banjir. Selain itu, penggunaan teknologi cip keselamatan dan pembangunan kandungan industri animasi kreatif tempatan turut pernah dimuatkan dalam segmen ini.

Segmen kedua menampilkan usahawan tempatan yang berdaya saing dengan perniagaan berinovasi terutama yang melibatkan mereka yang di peringkat”start- up”dan juga secara dalam talian. Antara yang pernah ditampilkan adalah Ramlees Barber Sportsclub yang memaparkan kejayaan anak orang asli yang memberi kelainan dalam memberi khidmat gunting rambut. Tidak kurang juga galakan serta tips bagi wanita memulakan kerjaya dari rumah menerusi women4project.com serta perniagaan online seperti si pemberi kejutan dan barangan berasaskan bayi, kanak-kanak dan wanita.

Segmen ketiga ” D-ISU” – menampilkan kupasan isu semasa oleh pihak berkuasa berkaitan serta analisis yang melibatkan topik perbincangan hangat dalam negara. Antara topik yang pernah mendapat perhatian adalah mengenai isu peningkatan kos sara hidup, pembentukan komuniti Asean (AEC), penyusutan ringgit, Bajet 2016, GST, TPPA dan hubungan ekonomi dua hala antara Malaysia dan negara-negara ekonomi besar dunia.

Turut dipaparkan adalah info DO-IT yang mengandungi maklumat semasa yang diselitkan antara segmen. Antaranya adalah maklumat berkaitan dasar ekonomi semasa, fakta Asean, pelaksanaan undang-undang yang memberi kesan kepada semua isi rumah dan statistik penting ekonomi negara.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peraduan Premiere With Budiey Filem THE PURGE: ELECTION YEAR

Ini Dia Poster Karakter Filem BEN-HUR