in , , ,

Yang Berlaku di Sidang Media Tergempar Forteen

Pada 21 November, satu sidang media tergempar telah diadakan oleh Forteen untuk menjelaskan tentang Izzue Islam yang undur diri. Kumpulan yang ditubuhkan tujuh bulan lalu kini tinggal tiga orang ahli sahaja. 

Memetik dari tulisan dari wartawan Harian Metro iaitu Syafil Syazwan Jefri melaporkan Kumpulan Forteen yang dianggotai Ariz Lufias, One dan Ameer menolak kenyataan bekas anggota kumpulan itu, Izzue Islam yang sebelum ini mengatakan bahawa dia dipulaukan.

Ariz atau nama sebenarnya Saiful Ridzuan Abdul Hamid, 29, yang ditemui di majlis sidang media anjuran Forteen mewakili teman-temannya berkata, tidak pernah timbul isu anggota kumpulan itu dipulaukan sepanjang tujuh tahun mereka bersama.

“Tidak timbul isu dipulaukan pun selama tujuh tahun kami berada di dalam Forteen. Setiap kali timbul sebarang isu, kami akan berikan ruang dan masa supaya anggota yang terasa hati atau ada masalah, dapat tempoh bertenang,”

One atau nama sebenarnya Muhammad Ridzuan Sharifuddin, 29, pula memberitahu, dia sendiri pernah cuba untuk berbincang dengan Izzue, namun ditolak.

“Khamis lalu, bila saya nampak seperti ada yang tidak kena dengan Izzue, saya cuba mendekatinya. Saya juga bercakap dengan isterinya, Awin supaya memujuknya untuk bercakap dengan saya.

“Saya cuba bercakap secara baik dengannya. Namun, dia cuma menunjukkan isyarat tangan, menolak untuk berbicara dengan saya,”

Ditanya sama ada pernah timbul isu iri hati apabila Izzue dikatakan paling menyerlah dalam Forteen, Ameer atau nama sebenarnya Mohd Arif Ameerais Azhar, 28, berkata, itu tidak pernah timbul.

“Kami sentiasa menyokong dan tumpang berbangga setiap kali ada anggota kumpulan yang lebih menyerlah atau berjaya atas nama sendiri.

“Contohnya, One pun pernah membawa nama Forteen ketika menyertai pertandingan nyanyian di Indonesia. Jadi, tak timbul langsung isu iri hati dan sebagainya,”

Sehingga ke hari ini, Forteen dan Izzue belum berhubung antara satu sama lain. Mereka bagaimanapun tidak menolak untuk bekerjasama dengan Izzue selepas ini.

“Kami sentiasa terbuka untuk berbincang dan tak mustahil untuk bekerjasama dengan Izzue pada masa akan datang. Tapi, buat masa sekarang, kami perlukan waktu untuk bertenang,” kata Ariz.

Ditanya mengenai hala tuju Forteen selepas ini, Ariz berkata mereka akan bergerak bertiga terlebih dahulu.

“Kami akan bergerak bertiga buat sementara waktu. Tak mustahil untuk kami cari anggota baru bagi menggantikan tempat Izzue,”

Secara ringkas, kronologi isu tarik diri Izzue Islam bermula pada Khamis lalu ketika mereka berbincang mengenai pemilihan lagu untuk dipersembahkan di Parti Gegar Vaganza 5.

Namun, lagu yang dipersembahkan bukanlah lagu yang dipersetujui Izzue dan kerana itu, dia rasa dipinggirkan di dalam kumpulan.

Pada Ahad, Izzue membuat pengumuman mengejut penarikan diri dari Forteen, di program GV Live+ Akhir tanpa sebarang perbincangan dengan anggota Forteen yang lain.

Sumber: Harian Metro

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Isteri Abam Bocey Hamil Tiga Bulan

Altimet Bakal Lancar Album Terakhir Sebelum Bersara