in

Senarai Peserta What Men Want NTV7

WHAT MEN WANT
SIRI REALITI TERBARU ntv7!

Rahsia Keinginan dan Kehendak Lelaki Bakal Terbongkar!

Kata orang, wanita adalah insan yang sungguh merumitkan. Pernahkah anda berfikir bahawa lelaki juga mungkin serumit dan sekompleks kaum wanita? Jika tidak, ini adalah peluang terbaik untuk memahami dengan lebih mendalam apakah reaksi, perasaan dan persepsi kaum Adam apabila dihujani dengan pelbagai situasi. Mungkin ada juga yang mengaitkan lelaki dengan isu seksualiti sahaja, namun andaian itu bakal disangkal dengan kehadiran siri realiti terbaru daripada ntv7 dengan rancangan ‘What Men Want’. Bermula 28 Januari 2012, setiap hari Sabtu, jam 10.00 malam, ikuti kisah enam jejaka yang berlainan perspektif dan personaliti yang bakal berkongsi perjalanan hidup mereka bersama anda. Temui pencarian jawapan mereka kepada persoalan – apakah yang sebenarnya lelaki inginkan dalam hidup?

Behind (L-R) - Mai Fernandez, Content Supervisor, Tan Yin Yin, Producer, Airin Zainul, Group GGM ntv7 & 8TV, Ahmad Izham Omar, COO TV Networks, MPB & CEO Primeworks, Emilya Ab. R

Daripada penerbit yang telah menghasilkan rancangan realiti yang pernah memenangi anugerah, ‘What Women Want’, pelaksanaan rancangan kali ini bakal tampil berbeza. Produksi hebat tempatan, phoSumpro membawakan nafas baru dalam program berentak realiti ini. Mereka cuba memberikan ruang kepada kaum Adam untuk lebih jauh mengekspresikan diri mereka sendiri dengan menggugurkan elemen seperti barisan juri, tawaran ganjaran dan bentuk pertandingan berbanding kebiasaan format rancangan realiti yang lain. Yang pasti tiada pemenang mutlak yang bakal ditemui dalam rancangan ini.

Menurut Puan Airin Zainul, Pengurus besar kumpulan ntv7 & 8TV, What Men Want merupakan sebuah rancangan realiti yang pertama seumpamanya di Malaysia dengan format unik dan berbeza yang pasti membuatkan para penontonnya terhibur.

(L-R) Fendi, Ken, Kit, Wolfie, Narmi, Gerrit2

“Kami telah pun mempunyai beberapa rancangan yang memberi tumpuan kepada wanita pada tahun lepas. Tahun ini, kami akan cuba mengimbanginya dengan rancangan yang berorientasikan golongan lelaki dan tiada yang lebih baik selain memulakannya dengan What Men Want, kata Airin ketika berucap di sidang akhbar bertempat di Restoran ecoba.

Mengetengahkan format yang unik, What Men Want mengikuti jejak enam jejaka daripada dunia yang berbeza dalam siri kehidupan mereka masing-masing. Ia memberikan sebuah pengalaman baru dan segar buat para penonton dalam menjengah ke dalam kisah peribadi mereka. Lain daripada rancangan berbentuk pencarian pasangan atau temujanji, What Men Want juga bagaikan sebuah medan untuk berdebat mengenai isu berkaitan insan misteri ini. Misi rancangan ini adalah untuk menolak sebarang jangkaan umum atau perasaan stereotaip kepada golongan lelaki. Sebaliknya, What Men Want menawarkan sudut perspektif baru di mana kesemua jejaka ini bakal memberanikan diri mereka untuk membenarkan kisah peribadi mereka didedahkan untuk tatapan umum penonton Malaysia. Penonton di rumah juga bakal menyaksikan bagaimana mereka befikir dan bertindak dalam mendepani pelbagai situasi dan melalui realiti kehidupan yang sememangnya penuh cabaran.

Penerbit merangkap penyelia kandungannya, Mai Fernandez berkata: “Jalinan hubungan hanyalah sekadar permukaan daripada apa yang bakal rancangan ini tawarkan. Tiada barisan juri untuk dikagumkan atau ganjaran hadiah untuk dimenangi. Rancangan ini adalah sebuah pemerhatian sosial dimana enam jejaka yang mengambil bahagian ini akan menjalani rutin harian bersama 2-3 kamera yang bersama mereka. Penggambaran selama tiga bulan ini kemudiannya disusun dan digabungkan menjadi sebuah rancangan menarik sepanjang 13 episod.”

Setelah beberapa bulan mencari dan melalui pemilihan yang teliti, enam jejaka berjaya dipertemukan bersama untuk mewakili variasi lelaki Malaysia. Kepelbagaian personaliti mereka bakal membenarkan masyarakat untuk merasai ada hubungan istimewa antara mereka dengan enam jejaka siri realiti ini. What Men Want mendalami fasa terdalam perasaan seseorang lelaki, cara mereka berfikir, bertindak dan segalanya tentang diri mereka. Sama ada isu di tempat kerja, latar belakang keluarga, niat tersembunyi atau bisikan diari hati mereka bakal dicerobohi. Hadir dengan elemen yang pelbagai, rancangan realiti ini pasti memberi kejutan kepada para penonton nanti. Apa yang lebih menarik adalah apabila mereka diletakkan sebumbung sepanjang tempoh rakaman dan secara tidak langsung menghasilkan sebuah forum sosial sesama mereka dalam mencari jawapan dan buah fikiran kepada setiap persoalan.

Tan Yin Yin yang juga salah seorang penerbitnya berkata bahawa rancangan ini telah berjaya merakam enam jejaka ini sebagai diri mereka yang sebenar. “Pada mulanya, mereka masih menjaga imej dan mempunyai kawalan kendiri kerana menyedari kehadiran kamera. Namun setelah berhari-hari mereka dirakam, perasaan kekok mula hilang, begitu juga dengan kepura-puraan mereka. Beberapa kamera digunakan di dalam merakam mereka, antaranya pandangan biasa, tersembunyi mahupun secara jauh. Semuanya dilakukan secara bersahaja untuk mengelakkan perasaan tidak selesa. Ini amat penting kerana ia memberikan sedikit ruang sepanjang tiga bulan rakaman dibuat.”

Enam jejaka yang bakal membiarkan Malaysia mencerobohi kisah peribadi mereka adalah Gerrit, Fendi, Narmi, Kit, Ken dan Wolfie yang masing-masing mempunyai latar belakang dan personaliti yang berbeza.

Gerrit adalah jenis lelaki yang tahu bermain dengan permainannya, dan selalu mendakwa bahawa dia sentiasa mendapat apa yang dia inginkan. Dia juga akan mendominasi apa yang diperkatakannya dan menentukan segala-galanya. Penonton mungkin beranggapan bahawa dia seorang lelaki yang suka memainkan perasaan seseorang dan berhati batu. Tetapi sekali lagi What Men Want cuba lari dari jangkaan umum yang rata-rata stereotaip.

Gerrit2

Fendi pula seorang yang misteri dan dipenuhi kemewahan. Adakalanya, dia seorang yang hidung tinggi namun dia juga berhati besar. Mengapakah agaknya lelaki sebegini menyertai rancangan seperti ini? Mungkin juga untuk lari dari kehidupannya yang tipikal.

Mungkin juga di antara kita yang berpendapat perasaan romantis adalah antara kualiti yang boleh membahagiakan seseorang. Untuk itu, penyanyi dan penulis lagu, Narmi bakal mewakili golongan sebegini. Sentiasa gembira denga perasaan cinta, Narmi akan sentiasa cuba untuk mengabulkan impian pasangannya. Selain pernah mengalami kekecewaan, mungkin juga persepsi tentang cintanya bakal berubah. Kesetiaannya juga mungkin menunjukkan kualitinya tidak lebih sebagai sekadar teman yang baik.

Kehidupan Kit pula berbeza. Baginya tiada apa yang utama selain ibunya. Anak mak ini bagaikan tidak pernah mengalami masalah dalam hidup. Malah dengan bimbingan keluarga, Kit tetap masih bersama buah hatinya sejak di bangku sekolah lagi. Kit bakal berkongsi kisah hidupnya yang hampir sempurna dengan para penonton.

Pada pandangan pertama, Ken mungkin pula kelihatan seperti samseng yang anda mungkin cuba untuk tidak cari fasal dengannya. Tapi Ken juga mungkin mempunyai hati selembut sutera kerana lelaki juga punya sifat sensitif seperti kaum wanita. Dalam kamus Ken, tiada perasaan bangga diri. Mungkin kerana itu, sifat semulajadinya yang suka memerhati menjadikan dia seorang yang mempunyai pelbagai cerita untuk dikongsikan. Sifatnya yang suka menghabiskan masa bersama teman wanita juga bakal menjauhkan dirinya dengan anggapan lelaki suka berlagak macho.

Lain pula dengan Imran atau nama panggilannya Wolfie yang bagaikan seorang badut dan suka berjenaka. Sentiasa ceria dan kadangkala menjengkelkan, Wolfie juga seorang yang bersifat nakal yang menambahkan lagi elemen lucu tatkala bersama Gerrit, Fendi, Narmi, Kit, dan Ken. Mungkin secara ringkasnya, dia seorang yang tidak mempunyai sebarang tujuan hidup kerana mengalami transisi kehidupan yang menyebabkan sukar buatnya membuat keputusan.

Wolfie2

Menggalas tugas sebagai pengacara rancangan unik dan menarik ini ialah si jelita Deanna Yusoff. Ternyata pilihan itu tepat kerana Deanna serasi dan berjaya memahami siri realiti ini dengan baik seperti harapan kedua-dua penerbitnya. Menurut Mai dan Yin, Deanna seorang yang matang, mempunyai persepsi tersendiri, tahu mendalami subjeknya serta keanggunan yang semulajadi antara yang menjadikan Deanna pilihan hos yang terbaik serta bertuah buat mereka.

“Dalam rancangan ini, kita bakal melihat dengan jelas bahawa lelaki juga mempunyai pelbagai keperluan dan banyak keinginan sama seperti jantina yang bertentangan dengan mereka. Segalanya bukanlah kerana kereta mewah, keinginan seksual atau wang semata-mata. Lelaki juga insan kompleks dan rancangan ini berjaya merakam detik-detik ini kerana difilemkan dengan pendekatan yang lebih intim” kata Deanna Yusoff.

Bersiaran sepanjang 13 episod, rancangan selama sejam ini pastinya akan merungkai apakah yang sebenarnya insan yang bergelar lelaki inginkan dan yang pasti tanggapan stereotaip anda bakal berubah. Selami kisah realiti enam jejaka ini dalam ‘What Men Want’ bermula 28 Januari 2012, setiap hari Sabtu jam 10.00 malam hanya di ntv7, Saluran Ceria Anda.

Untuk maklumat lanjut, layari www.ntv7.com.my/whatmenwant atau www.TonTon.com.my. Ikuti juga perkembangan kami melalui Facebook dan Twitter ntv7.

Ken_WMW

Ken

Kit_WMW

Kit

Narmi_WMW

Narmi

Gerrit_WMW

Gerrit

Fendi_WMW

Fendi

Fendi

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

What Men Want Profile

Bujang Telajak Hasil Komedi Tahap Maksima