in

Wedding Shafiq dan Azura Hot FM Selamat Dijabkabulkan

Semalam, 12 Julai 2008 telah berlangsung majlis pernikahan bekas atlit negara dan penyampai Hot FM dan pengacara Malaysia Hari Ini, Nik Nor Azura dengan staff TV3, Shaffique Ahmad Zehnun pada jam 12 tengahari di Masjid Terapung (Masjid Tengku Tengah Zaharah), Kuala Terengganu. Budiey difahamkan, majlis persandingan pula akan diadakan di sebuah kelab di Kuala Terengganu.

Dinikahkan oleh bapa Zura, Nik Mahmood Nik Kar (54 tahun) dan disaksikan jurunikah jabatan Agama Islam Terengganu, Ustaz Abdullah Ibrahim dengan mas kahwin RM28 berserta hantaran berjumlah RM10,000.

Rombongan lelaki membawa hantaran tujuh dulang dan dibalas dengan sembilan dulang oleh pihak perempuan.

Sebaik sahaja dinikahkan, Azura kelihatan menitis air mata kerana terharu dan hatinya tersentuh. Bekerja sebumbung dengan suami, Azura tidak bebas dan Shafiq tidak menghalang segala karier yang dilakukan oleh Zura kini. Majlis dihadiri oleh keluarga dan sanak saudara kedua pihak. Turut hadir, Ketua Pegawai Ekskutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzwan, Seelan Paul dan beberapa rakan artis dan teman Azura seperti Fadzlun Abbad dan pelakon veteren, Fatimah Yassin.

Budiey dan pembaca Sensasi Selebriti mengucapkan selamat pengantin baru kepada Shafiq dan Zura. Semoga bahagia milik kalian berdua dan kekal hingga ke akhir hayat. Shafiq turut menjemput Budiey untuk hadir ke majlis resepsi yang akan pada 20 Julai ini di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

KETIKA sah bergelar isteri kepada seorang pujaan hati, pastinya ia merupakan detik indah buat seorang isteri kerana bergelar isteri kepada seorang lelaki yang bergelar suami.

Namun bagi selebriti Nik Noor Azura Nik Mahmood atau Azura saat indah itu bertukar menjadi sayu yang mengiringi majlis pernikahannya dengan Eksekutif Penjenamaan TV3, Shaffique Ahmad Zehnun, 30.

Air mata pasangan itu tidak lekang daripada bercucuran dari kelopak mata sebaik sah dinikahkan pada majlis yang diadakan di masjid Tengku Tengah Zaharah atau dikenali Masjid Terapung di Kuala Terengganu, Terengganu pada hujung minggu lalu.

Tetamu yang menyaksikan majlis itu juga turut berkongsi perasaan yang sama.

Sepanjang acara penting itu, gadis manis berusia 27 tahun itu tidak mampu menahan sebak apabila dia kini harus berpisah daripada keluarga dan menjalani kehidupan baru di samping sang arjuna pilihan hati.

Menjelaskan momen-momen sayu yang diharunginya sepanjang majlis akad nidah itu, Azura yang juga penyampai radio Hot FM berkata, dia ada sebab mengapa tidak mampu membendung air mata daripada terus bercucuran.

“Sejak umur 14 tahun saya sudah keluar rumah dan tinggal berasingan dengan keluarga dan tidak berpeluang untuk menghabiskan masa bersama keluarga sehinggalah saya habis belajar dan terus dapat kerja.

“Saya tidak seperti orang lain berpeluang berkongsi kasih dan sayang dengan kedua orang tua sepanjang usia remaja dan kerana itu saya tidak mampu untuk menahan kesedihan,” kata Azura kepada wartawan ketika ditemui sejurus selepas bergelar isteri kepada Shaffique.

Menurut Azura, beberapa hari sebelum majlis akad nikah, dia banyak menghabiskan masa bersama keluarga.

Bahkan, Azura yang juga anak kedua daripada lima beradik tidak segan silu mengakui, dia berpeluang tidur di sisi ibunya, Ramlah Seman, 48, beberapa hari sebelum acara penting dalam hidupnya itu.

Meskipun, masih boleh berhubung dengan keluarga tetapi perasaan itu katanya, sudah pasti berbeza.

“Saya harus akur dengan keadaan. Kini, kehidupan saya sudah tentu lebih tertumpu kepada tanggungjawab sebagai isteri,” jelas Azura lagi.

Menurutnya lagi, selepas tamat belajar di Universiti Putra Malaysia (UPM) dia sudah mendapat tawaran bekerja di Red FM dan kemudiannya menyambung perkhidmatannya di Hot FM.

Kesedihan Azura beberapa kali menahan sebak turut dirasai oleh suaminya, Shaffique yang juga tidak mampu menyembunyikan air mata lelaki.

Menurut Shaffique, dia faham dengan keadaan yang dilalui oleh Azura tambahan pula Zura merupakan anak perempuan terakhir yang dinikahkan sendiri oleh bapanya, Nik Mahmood Nik Kar selepas kakak dan adik perempuannya membina keluarga sendiri.

Majlis akad nikah Azura dan Shaffique yang berlangsung di Masjid Tengku Tengah Zaharah itu dihadiri oleh lebih 100 ahli keluarga terdekat dan juga kenalan pengantin.

Azura sah menjadi isteri kepada Shaffique pada pukul 12 tengah hari dengan dua kali lafaz akad.

Shaffique turut menghadiahkan Azura wang hantaran sebanyak RM10,000 serta sebentuk cincin berlian, seutas rantai leher dan seutas rantai tangan.

Pada majlis itu juga, pasangan pengantin manis dengan persalinan berwarna putih ilham pereka dari Indonesia, Yamin,

Paling menarik, gubahan tujuh dulang hantaran bertemakan serba biru muda untuk pengantin perempuan yang dihasilkan kerja tangan ibu Syaffique sendiri Nik Zainun Nik Mustafa.

Balasan sembilan dulang hantaran oleh Azura kepada suami pula merupakan gubahan Khalid Ahmad yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan majlis pernikahan dan juga persandingan pasangan secocok itu.

Pada malamnya pula, kedua mempelai berseri dengan persalinan hijau muda koleksi Wan Manang Songket bersanding di Terengganu Ekuestrian Resort (TER) Kuala Ibai yang turut dihadiri oleh lebih 500 jemputan.

Tidak ketinggalan , turut hadir ialah rakan-rakan setugas di Hot FM termasuk Pengurus Besar Rangkaian Media Prima, Seelan Paul.

Menceritakan detik pertemuan empat tahun dulu, Azura menjelaskan, dia dan Shaffique pada awalnya hanya berkawan sebagai rakan setugas sehinggalah timbul rasa serasi.

“Dari situ bermula percintaan kami sehinggalah ke detik ini mengakhirkan kisah cinta kami melalui ikatan yang suci,” ujarnya sambil menjeling manja ke arah Shaffique.

Bagi pasangan ini, perkahwinan mereka ini membuka lembaran baru untuk hidup bahagia sehingga akhir hayat.

Jelas anak jati Terengganu ini, kerjaya kini jatuh di nombor dua kerana keutamaannya adalah suami.

“Saya rasa bersyukur sangat dipertemukan dengan seorang lelaki yang bertanggungjawab, malah dia juga seorang yang penyabar, periang dan manja,’’ akui Zura.

[tags]wedding, shafiq, azura, gambar kahwin, artis, Nik Mahmood Nik Kar, fatimah yassin, seelan paul, gwyneth paltrow, natalie portman, aksi ranjang dalam filem, janet jackson, rujukan, bantuan tak berpatutan, beego bukan raih simpati, ezora, tv3, cinta dua planet, sawan, rendam anak, tabloid[/tags]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Quote of The Day: Nora Danish Stress

Gambar Majlis Perkahwinan Nazrudin & Sheahnee Iman Lee