in

Wani Kayrie Berjaya Dapat 6A Dalam PT3

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Jangan Jangan, Wani Kayrie berasa lega apabila berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diumumkan pada Isnin.

Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, 15, berkata, keputusan tersebut dapat meyakinkan keluarga dan masyarakat bahawa dia tidak pernah mengabaikan pelajarannya biarpun aktif dengan nyanyian.

“Alhamdulillah, walaupun sasaran saya untuk dapat 8A, tetapi 6A juga sudah membanggakan kerana saya akui tahun ini agak sibuk dengan kerjaya nyanyian. Saya terpaksa bahagikan masa sebaiknya agar tidak ketinggalan. Sekurang-kurangnya saya dapat buktikan kepada ibu dan guru-guru bahawa saya tidak lupakan pelajaran,” ujarnya kepada mStar Online, di sini, Isnin.

PT3 ialah sebuah penilaian yang digunakan untuk menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Wani merupakan pelajar tingkatan 3 di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Sri Aman, di sini.

Tambah Wani, keputusan itu juga menyangkal persepsi segelintir pihak yang sering menganggapnya sebagai seorang remaja yang tidak mementingkan pelajaran.

“Saya tahu kerjaya dalam bidang seni tidak selalunya stabil dan saya juga tidak mahu selama-lamanya hanya menjadi penyanyi. Saya juga ada cita-cita saya sendiri iaitu mahu menjadi seorang ahli perniagaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, bercerita tentang kerjaya nyanyian, Wani bakal merakam sebuah lagu baharu ciptaan Zul 2By2 berjudul Jangan Pernah Pergi.

Tambah Wani, pihak syarikat pengurusannya iaitu Suria Record juga dalam perancangan untuk menghasilkan sebuah lagu duet bersama penyanyi Indonesia Pasha Ungu.

“Lepas lagu Jangan Jangan saya akan keluar dengan lagu genre balada ciptaan Zul 2By2 dan saya harap ia dapat diterima seperti lagu sebelum ini,” ujarnya.

Sumber: Mstar Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Siapa Calon Top 20 Anugerah MeleTOP Era 2016?

Siti Nordiana Juara Program Gegar Vaganza Musim Kedua