vivo baru sahaja mencatat sejarah apabila meraikan ulang tahun ke-30 mereka dengan sebuah acara gilang-gemilang iaitu vivo Vision Launch Event & Imaging Grand Ceremony di Dongguan. Acara ini menjadi saksi pelancaran headset realiti bercampur (MR) pertama syarikat itu, vivo Vision Discovery Edition, sekaligus menandakan langkah besar vivo dalam penerokaan komputasi spatial dan teknologi imersif yang semakin menjadi trend dunia.
Dari Impian Kecil Di Chang’an Ke Teknologi Mendunia
“Hari ini, kita berada di Chang’an, tempat impian vivo bermula. Kita bukan sekadar mengimbas kejayaan lalu, tetapi menyaksikan bagaimana vivo menempuh jalan tersendiri dengan penuh kerja keras selama tiga dekad. Inilah jalan yang dipacu oleh semangat teknologi dan berakar pada kemanusiaan. Ia tentang bekerjasama untuk manfaat bersama, dan yang paling penting, meletakkan pengguna sebagai keutamaan. Matlamat kami adalah menjadikan ‘teknologi menerangi keindahan’, dan perjalanan ini kami komited untuk bertahan berabad lamanya!” kata Hu Baishan, Naib Presiden Eksekutif & COO vivo, merangkap Presiden vivo Central Research Institute.
Kata-kata penuh semangat ini menjadi cerminan kepada perjalanan vivo sejak bermula pada tahun 1995 dengan penghasilan telefon pertama BBK Electronics. Dari situ, vivo berani menyertai industri telefon pintar pada tahun 2004 sebelum memperkenalkan jenama vivo secara rasmi pada tahun 2011. Sejak itu, vivo sentiasa mendahulukan manusia dalam inovasi mereka – menggabungkan penyelidikan dalaman dengan kerjasama industri global untuk mencipta produk yang melangkaui jangkaan pengguna.
Kerjasama Strategik Global Dengan ZEISS Kini Lebih Kukuh
Seiring dengan ulang tahun ke-30 ini, vivo juga mengumumkan satu lagi berita besar – pengukuhan kerjasama strategik global bersama ZEISS, jenama optik terkemuka dunia.
Hasilnya, lahirlah vivo V60 ZEISS Portrait Flagship yang kini rasmi dilancarkan di Malaysia. Telefon pintar ini dilengkapi sistem pengimejan kelas flagship, termasuk 10x ZEISS telefoto potret, sensor besar IMX882, serta lensa 50MP ZEISS Super Telephoto. Lebih menarik, vivo memperkenalkan dua panjang fokus potret emas, 85mm dan 100mm, yang memberikan pengguna pengalaman potret lebih mendalam dan penuh tekstur – hanya dengan sekali sentuhan.
“Kolaborasi antara vivo dan ZEISS bukan sekadar perkakasan atau perisian. Ia adalah hubungan strategik yang berasaskan pembelajaran berterusan dan inovasi demi memenuhi suara serta keperluan pengguna global. Kami mahu memudahkan jutaan pengguna di seluruh dunia untuk berkarya dengan teknologi optik terbaik.” jelas André Kutz, Ketua ZEISS Photonics & Optics.
Sementara itu, Mike Xu, CEO vivo Malaysia, menambah:
“Kerjasama dengan ZEISS memberi peluang untuk membawa teknologi pengimejan bertaraf dunia kepada pengguna di Malaysia. vivo V60 bukan sekadar meneruskan legasi potret vivo, malah ia memberikan pengalaman flagship sebenar dengan inovasi yang tidak berkompromi.”
Headset Vivo Vision Discovery Edition: Realiti Bercampur Kini Milik Semua
Selepas empat tahun dibangunkan, vivo Vision Discovery Edition akhirnya diperkenalkan. Headset ini digerakkan oleh OriginOS Vision yang menawarkan interaksi lebih natural dan intuitif.
Dengan rekaan ringan tetapi imersif, ia membuka pintu kepada dunia hiburan, permainan, produktiviti dan juga pengalaman digital harian pengguna. Antara kelebihannya termasuk:
• Menyediakan paparan teater 120 kaki untuk tontonan seolah-olah berada di pawagam.
• Menawarkan pengalaman menonton sukan atau e-sukan secara panoramic dari pelbagai sudut pandangan.
• Membolehkan split-screen viewing, jadi penonton tidak terlepas sebarang aksi.
Apa yang lebih menarik, headset ini bukan sekadar alat hiburan, tetapi sebahagian daripada strategi jangka panjang vivo dalam teknologi robotik rumah pintar.
Strategi Pengimejan Baharu: Ekosistem Lebih Terpadu Dan Menyeluruh
vivo turut mengumumkan strategi pengimejan baharu yang menekankan pada integrasi senario dan pembangunan ekosistem menyeluruh. Strategi ini memperkukuhkan keupayaan vivo dalam bidang fotografi malam, potret, telefoto, dan video, sambil memastikan teknologi profesional lebih mudah diakses pengguna biasa.
Menurut Yu Meng, Naib Presiden Pengimejan vivo:
“Dengan strategi baharu ini, vivo mahu memastikan pengimejan profesional dapat dinikmati oleh semua, bukan hanya golongan tertentu. Kami juga akan menekankan aspek keselamatan, kesihatan, dan pengalaman rentas peranti untuk memberikan ekosistem imej yang lengkap dan bersepadu.”
Antara inisiatif utama termasuk:
• Menjadi jenama telefon pintar China pertama menyertai C2PA, untuk menjamin integriti kandungan digital melalui sistem penjejakan dan pengesahan.
• Menggunakan teknologi Telephoto Macro pada siri vivo X200 untuk membangunkan peranti diagnostik mudah alih dalam bidang oftalmologi.
• Memperkenalkan pengimejan 3D dan video spatial 60fps, seterusnya dihubungkan dengan pengalaman imersif menerusi Vision Discovery Edition.
Apa Kata Budiey?
Budiey nampak jelas bahawa ulang tahun ke-30 vivo ini bukan sekadar perayaan, tetapi lebih kepada titik tolak strategi besar untuk masa depan. vivo tidak lagi hanya mahu dikenali sebagai jenama telefon pintar, sebaliknya mahu menguasai ruang realiti bercampur, kesihatan digital, dan ekosistem pengimejan yang menyeluruh.
Bagi Budiey, headset vivo Vision Discovery Edition boleh jadi game-changer, terutama bila ia mampu membawa pengalaman pawagam ke ruang tamu tanpa perlu layar besar. Pada masa sama, kerjasama vivo dengan ZEISS pula memastikan jenama ini terus relevan dalam dunia fotografi mudah alih.
Soalnya, mampukah vivo mengekalkan momentum ini untuk satu abad seperti yang disebut oleh Hu Baishan? Kalau dilihat dari apa yang mereka bentangkan sekarang, Budiey yakin – perjalanan vivo masih panjang, dan mereka sudah pun mencuri permulaan yang cukup berani.