in

Vendeur Festival 3.0 Lancar Derma RM1 Untuk Mangsa Banjir

Himpunan usahawan online terbesar, Vendeur Festival akan melancarkan derma kilat bagi membantu mangsa banjir di neger-negeri di pantai timur dan utara tanah air pada pameran jualan itu yang akan diadakan di Pusat Pameran Dan Konvensyen Matrade, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 27 dan 28 Disember nanti.

Jurucakapnya, Nurerlin Md Zulkhairi berkata, pihaknya menyasar untuk mengumpul kira-kira RM50,000 hingga RM100,000 dari sumbangan pengunjung serta jualan lelongan amal yang akan disertai oleh usahawan-usahawan yang menyertai VF 3.0 Boxing Day itu.

Vendeur Festival 3.0

“Berdasarkan himpunan yang lalu, kami menerima kira-kira 200,000 pengunjung selama dua hari ia diadakan. Kami berharap dengan kempen RM1 untuk banjir, kutipan ini akan memenuhi sasaran bagi membantu tragedi banjir yang mengakibatkan kerugian berjuta-juta ringgit selain ada yang kehilangan ahli keluarga.

Menurut Erlin, pihaknya akan meletakkan tabung kutipan di beberapa lokasi di dalam dewan pameran bagi memudahkan pengunjung membuat sumbangan.

“Sebagai rakyat Malaysia, kami turut merasa sedih dengan ujian banjir yang melanda di beberapa buah negeri itu. Kami berharap orang ramai yang berkunjung ke Vendeur Festival bersama-sama memberi sumbangan itu meringankan mangsa-mangsa banjir itu nanti.

“Selain itu, kami juga turut bekerjasama dengan 400 vendor online yang menyertai himpunan usahawan kali ini untuk melakukan lelongan amal bagi mengumpul dana sebanyak mungkin. Kutipan itu nanti akan diserahkan kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang akan ke negeri-negeri tersebut untuk mengagihkan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Vendeur Festival 3.0 diadakan selama dua hari itu akan menghimpunkan usahawan online dengan produk-produk trend terkini seperti pakaian, aksesori, beg tangan, kasut, makanan, hasil kreativiti seni, kosmetik, perkhidmatan dalam talian dan banyak lagi.

Pada himpunan itu, peniaga-peniaga online akan menawarkan potongan harga sehingga 80 peratus sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan-pelanggan setia yang menyokong mereka selama ini.

Antara jenama yang akan menyertai Vendeur Festival 3.0 adalah Aidijuma, Nouvelle Visages, Zalora, Sugarscarf, AshhAnnas, Erlssignature, Fashion Republic KL, The Geroboc, Madeena by Mizz Nina, Padusi, Ariani, Tudung People, Jelita Sara, Mazlianul Maznan, Al Humaira Contemporary, Sutra Silka dan Dewidiary.

Mengulas mengenai himpunan itu, menurut Erlin, pihaknya tidak menyangka Vendeur Festival terus mendapat sokongan usahawan online sejak percubaan kali pertama dianjurkan pada Mei lalu.

“Vendeur Festival bukan sekadar bazar untuk mereka melakukan jualan penghabisan stok kerana kekangan tidak mempunyai kedai fizikal tetapi juga platform mempromosi dengan menaikkan pengikut atau ‘follower’ di laman sosial masing-masing. Melalui Venduer Festival ini juga pelanggan dapat bertemu secara langsung dengan peniaga serta melihat sendiri kualiti produk jualan yang selama ini dilihat secara online,” katanya.

Selain Nurerlin, empat lagi rakan penganjur mereka adalah Annas Easkey, Sayang Ernina Erwin Suderman, Ashhry Atan dan Fairul Hafizi.

“Kami berbangga dengan penganjuran festival seperti ini kerana sedikit sebanyak ia dapat membantu usahawan muda mengembangkan perniagaan dan jenama masing-masing. Berdasarkan pengalaman lalu, kami menyasarkan transaksi jualan mampu mencecah RM15 juta pada penganjuran selama dua hari itu. Apa yang menarik, pengunjung Vendeur Festival bukan sahaja dari sini (Malaysia) tetapi dikunjungi oleh peminat dari Brunei, Singapura dan Indonesi,” katanya.

Vendeur Festival akan dibuka seawal jam 10 pagi sehingga 10 malam. Maklumat terkini tentang penganjuran ini boleh diikuti melalui Instagram @vendeurfestival.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Review Hotel New Otani Osaka Jepun

Karnival Jom Heboh di ICT Shah Alam Ditunda