Vanida Imran Pengacara Nona 2011

VANIDAH IMRAN SEBAGAI PENGACARA NONA 2011

Sejak diperkenalkan pada tahun 1985, program majalah Wanita terbitan TV3, NONA menjadi sumber rujukan dan teman setia kepada penonton wanita yang memaparkan isu-isu wanita berkaitan fesyen, kecantikan dan kekeluargaan. Bakal memasuki tahun terbitan yang ke 26 pada tahun hadapan, keserian program NONA tidak pernah pudar walaupun bertukar pengacaranya.

Tahun 2011, program NONA membuka tirai dengan pengacara barunya, seorang aktres yang ayu jelita dan berbakat besar, Vanidah Imran, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke 20. Justeru, satu majlis makan tengahari telah diadakan di Cruise Tasik Putraya untuk meraikan musim terbaru NONA. Para penonton bakal disajikan dengan beberapa segmen yang menarik seperti Fesyen, Kecantikan, Rahsia Lelaki, Masakan, Koleksi Kegemaran, Perkahwinan dan satu segmen interaktif iaitu ‘Video Pilihan’, pada setiap hari Ahad jam 2.00petang.

Krew penerbitan Nona

Segmen pertama, Fesyen yang memaparkan koleksi fesyen yang mengetengahkan pereka-pereka tempatan dengan koleksi rekaan yang berkualiti dan mampu mendekati hati penonton. Episod pertama bakal meninjau koleksi fesyen terbaru daripada pereka fesyen yang tidak asing lagi iaitu Saiful Baharim. Segmen Kecantikan akan berkongsi rahsia kecantikan selebriti sama ada melalui kaedah moden ataupun tradisional. Rahsia kecantikan mencakupi teknologi terkini, petua turun temurun, amalan pemakanan dan kesihatan seperti rawatan kosmetik dan bekam.

Segmen ketiga, Rahsia Lelaki pula memaparkan selebriti lelaki dalam aspek penjagaan diri, kesihatan dan personaliti. Antara selebriti yang akan muncul dalam segmen tersebut ialah pemain bola sepak negara, Zaquan Adha dan Dato’ Mustapa Maarof. Seterusnya, segmen keempat, Masakan yang akan berkongsi resipi masakan istimewa seperti Rendang Betik dengan Sambal Daun dan Gulai Tangkis. Segmen ini menampilkan masakan istimewa dari pelbagai lokasi dengan resipi unik yang jarang didapati.

Segmen kelima, Koleksi Kegemaran pula memaparkan hobi pasangan atau keluarga yang memiliki koleksi unik sesuatu barangan. Para penonton Nona pasti teruja untuk mengetahui koleksi barangan unik yang dimiliki oleh Afdlin Shauki. Bukan hanya tertumpu kepada selebriti, orang biasa juga akan berkongsi bersama penonton Nona koleksi unik mereka.

Segmen Perkahwinan yang memang sinonim dengan program Nona turut tidak ketinggalan. Segmen tersebut meliputi perkahwinan selebriti dan bukan selebriti. Bagi perkahwinan selebriti, ia mencakupi keseluruhan acara dari pemilihan pakaian, hantaran, lokasi majlis, persiapan majlis dan selepas berlangsungnya majlis perkahwinan. Manakala untuk perkahwinan bukan selebriti, krew penerbitan lebih memberi fokus kepada individu di belakang tabir seperti penggubah hantaran, perancang perkahwinan dan lain-lain. Selain itum, ia juga akan mewujudkan mini segmen DIY yang menekankan kreativiti menggubah hantaran supaya lebih kreatif dan unik.

Segmen interaktif, iaitu ‘Video Pilihan’ ini pula, memberi peluang kepada penonton untuk menghantar video rakaman sendiri seperti gelagat anak-anak, percutian keluarga, gelagat binatang peliharaan dan lain-lain untuk berkongsi bersama. Hadiah bakal diberikan kepada pengirim yang menghantar video paling lucu dengan aksi menarik.

Menurut Puan Nurul Aini Abu Bakar, Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama, TV3 & TV9, “NONA masih diminati ramai dengan catatan rating sebanyak 1.5juta penonton secara purata setiap minggu. Setiap tahun, Nona akan melakukan pembaharuan dalam isi kandungan program supaya sentiasa relevan dengan keperluan golongan wanita pada masa kini.

“Tahun 2011, kami bakal menyaksikan seorang lagi selebriti dalam mengacarakan program Nona iaitu Vanidah Imran, yang juga mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pengacaraan. Kami berharap agar para penonton terus memberi sokongan kepada program Nona. TV3 sentiasa berbuka hati untuk menerima cadangan dan teguran daripada penonton.” Tambah Puan Nurul.

Tenaga penerbitan Nona diketuai oleh penerbit eksekutifnya, Puan Siti Hatija Yusof; penerbitnya, Ifawani Omar ; penolong penerbit, Nor Azzura Azizul Azman; wartawan penyiaran iaitu Marwatif Amer, Norlinda Mohd Said, Nadeeia Salimi Suleiman dan Muhammad Husni Ab. Mahat serta dibantu oleh Shazliana Ahmad Shah sebagai Pembantu Penerbitan.

Jangan lupa saksikan NONA di TV3, setiap hari Ahad. Jam 2.00petang bersama Vanidah Imran mulai 2 Januari 2011.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Nikmati Keenakan Magnolia Sherbet Terbaru

Ida Nerina & Shahrin Bercerai Talak Satu