in , ,

Ulasan Penuh Konsert DAESUNG di Arena of Stars, Resorts World Genting

Peminat Terpukau Dengan Suara, Jiwa Dan Janji Seorang Artis. DAESUNG Kembali, Dan Kali Ini Lebih Dekat Dari Sebelumnya

Malam 7 Jun 2025 di Arena of Stars, Resorts World Genting bukan sekadar satu konsert. Ia adalah satu pertemuan yang menyentuh jiwa — pertemuan semula antara seorang bintang yang lama menyepi dan para peminat yang setia menunggu. Budiey, yang turut hadir malam itu, masih merasai debaran dan magisnya hingga ke hari ini. Jujur, ini bukan sekadar tentang muzik, tetapi tentang cinta yang tidak pernah padam.

Suasana Mewah Dan Sarat Dengan Emosi Sejak Awal

Seawal sebelum konsert bermula, dewan sudah bergegar dengan sorakan dan jeritan peminat. Lampu laser mula menari, visual LED menyala penuh gaya, dan tiba-tiba DAESUNG muncul dengan karismanya yang tak lapuk dek zaman. Lagu pembukaan “Universe” terus mencipta suasana magikal — ribuan peminat menyanyi serentak, seolah-olah satu koir raksasa sedang menyambut kepulangan sang hero.

Budiey sendiri sempat tengok kiri kanan — ada yang menangis, ada yang tersenyum sebak. Tangisan dalam gembira, itu yang boleh digambarkan. Bunyi sound system? Tip-top, memuaskan hati. Jelas, jernih, padu. Tak ada bunyi tenggelam timbul atau pecah. Macam dengar terus dari dada DAESUNG sendiri.

Ulasan Konsert DAESUNG di Arena of Stars, Resorts World Genting

Manisnya Bahasa Melayu DAESUNG Curi Perhatian Peminat

Antara momen paling menghiburkan malam itu adalah ketika DAESUNG mula bertutur dalam Bahasa Melayu dengan cukup fasih dan bersahaja. “Terima kasih! Dah makan? Memang mantap! Sayang kau orang! Jumpa nanti!” – ayat-ayat ini membuatkan satu dewan meletup dengan jeritan kagum dan gelak tawa. Ada satu ketika, dia buka jaket dengan gaya bersahaja – dan ya, satu dewan jadi huru-hara penuh keterujaan.

Saya lupa nak cakap apa… patut saya terus menyanyi saja?” katanya sambil tersenyum. Lucu, tapi ikhlas. Budiey tak boleh tahan gelak, sebab DAESUNG memang ada aura “abang lawak” yang semula jadi. Sepanjang konsert, dia selitkan jenaka spontan yang cukup menghiburkan.

Ulasan Konsert DAESUNG di Arena of Stars, Resorts World Genting

Persembahan Tanpa Cacat, Vokal Masih ‘Power’ Macam Dulu

Dari segi vokal, memang tak ada siapa boleh persoalkan. DAESUNG menyampaikan hampir 18 buah lagu dengan suara yang stabil dan penuh emosi. Tak banyak rehat, tapi nada tinggi dia masih tajam dan padu. Salah satu kemuncak malam tu ialah ketika “Last Girl” dimainkan bersama Han Yo Han secara maya. Visual LED yang dipaparkan cukup cantik, berwarna-warni, menyatu dengan emosi lagu.

Dia juga menyanyikan lagu Jepun sambil menyediakan sari kata Bahasa Inggeris di skrin— satu usaha yang cukup thoughtful. Malah katanya, “Tak mengapa jika anda tidak faham liriknya. Muzik tiada sempadan. Jika anda dapat merasai emosi itu, itu sudah memadai.” Padu. Budiey pun terasa macam kena peluk secara rohani.

Ulasan Konsert DAESUNG di Arena of Stars, Resorts World Genting

Surat Tulus Dari Hati, Dan Encore Yang Membangkitkan Nostalgia

Di pertengahan konsert, selepas lima lagu rancak, DAESUNG sekali lagi buat peminat tergelak bila berkata, “Ada penterjemah tunggu di belakang pentas! Saya berusaha bersungguh-sungguh untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris!” Tapi kemudian, suasana jadi syahdu apabila dia mula membaca sepucuk surat tulisan tangan dalam Bahasa Korea – penuh penghargaan dan cinta buat peminat.

Terima kasih kerana sentiasa menyokong saya. Kerana anda semua, saya dapat memulakan perjalanan baharu…

Bila tiba segmen encore, pentas berubah jadi pesta nostalgia. Lagu-lagu BIGBANG seperti “FANTASTIC BABY,” “BANG BANG BANG” dan “WE LIKE 2 PARTY” menggamatkan pentas. Budiey rasa macam terimbau zaman kegemilangan K-POP di awal 2010-an. Dan akhirnya, “Look At Me, Gwisun” menjadi penutup penuh gaya.

Ulasan Konsert DAESUNG di Arena of Stars, Resorts World Genting

Budiey Rasa Bertuah Dan Bersyukur Dapat Hadir

Budiey ingin mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada penganjur, I Am Trendsetter dan Dream Factory Entertainment yang sudi menjemput untuk menyaksikan dan membuat liputan konsert ini. Sebagai seorang yang dah lama mengikuti perjalanan seni DAESUNG, Budiey rasa sangat puas hati — bukan saja dengan lagu-lagu yang dipilih, tapi juga dengan mutu pementasan, sistem bunyi, dan keikhlasan DAESUNG sendiri dalam berinteraksi dengan peminat Malaysia.

APA KATA BUDIEY?

Konsert DAESUNG kali ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu pengisian jiwa. Ia membuktikan bahawa bila seorang artis itu benar-benar jujur dan tulus dalam seni, dia tak perlu buat gimik untuk dicintai. DAESUNG berjaya mengikat hati peminat Malaysia bukan kerana glamor semata, tapi kerana dia membawa rasa, bukan sekadar lagu.

Untuk penganjur, mungkin selepas ini boleh tambah lagi elemen kejutan — mungkin jemputan khas rakan artis K-POP lain sebagai cameo? Atau persembahan unplugged yang lebih intim? Sebab Budiey yakin, DAESUNG boleh bawa semua tu dengan penuh gaya.

Yang pasti, jika DAESUNG datang lagi, Budiey akan jadi orang pertama yang beratur beli tiket. Sebab malam itu, bukan sahaja DAESUNG kembali ke pentas Malaysia, tapi dia juga kembali ke hati peminatnya — termasuk hati Budiey sendiri.

Ulasan Konsert DAESUNG di Arena of Stars, Resorts World Genting
Ulasan Konsert DAESUNG di Arena of Stars, Resorts World Genting

DAESUNG “D’s WAVE” 2025 ASIA TOUR IN MALAYSIA
Tarikh: 7 Jun 2025
Lokasi: Arena of Stars, Resorts World Genting
Penganjur: I Am Trendsetter, Dream Factory Entertainment

Senarai Lagu:

  1. Universe
  2. Last Girl
  3. Jump
  4. Falling Slowly
  5. 빛 (Lights)
  6. 웃어본다 + Baby Don’t Cry
  7. 노래쟁이의 발라드
  8. Rainy Rainy + Dress
  9. Umbrella
  10. Monster + Stupid Liar + Oh My Friend
  11. 흘러간다 (Flow)
  12. Wolf
  13. Beautiful Life
  14. Fly Away
  15. 그 시절의 우리 (Us Before)
  16. 날개 (Wings)
  17. Fantastic Baby + Bang Bang Bang + We Like 2 Party
  18. 날 봐 귀순 (Look At Me, Gwisun)

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Konsert Baale – Fortuna Live di Kuala Lumpur Bakal Cipta Memori Kekal di Zepp KL