in

Ulasan Konsert Mania Minggu Pertama

Pada malam Sabtu lalu, telah berlangsung, siaran live minggu pertama program realiti hiburan Mania di Studio 1, Pusat Penyiaran Asia Astro, Bukit Jalil. Evolusi ‘Superstar’ kini bermula. Konsert pemilihan minggu pertama Mania Sabtu lalu menyaksikan persembahan oleh empat artis terkenal iaitu Stacy, Kumpulan Estranged, Atilia dan Akim.

Penerbit Muzik Dato’ M. Nasir telah membuat pilihan yang agak menarik apabila memilih Stacy yang terkenal dengan lagu-lagu berentak pantas. Penerbit Muzik dari Indonesia pula iaitu Ahmad Dhani telah memilih Atilia, Kumpulan Estranged dan Akim sebagai ahli kumpulan HIJAU. Manakala Penerbit Muzik Aubrey Suwito masih belum memilih bintang yang akan dibimbing.

Ebi ialah salah seorang peserta yang telah terpilih untuk menyertai Mania menerusi undian ‘Hot Seats’ telah membuat persembahan di hadapan kesemua Penerbit Muzik Mania. Ebi akan berada di bawah bimbingan Dato’ M Nasir untuk digilap menjadi ‘Superstar’.

Bintang manakah pula yang akan membuat persembahan untuk menambat hati Dato’ M Nasir, Ahmad Dhani dan Aubrey Suwito pada minggu ini? Bintang manakah pula yang terpilih untuk menyertai Mania menerusi ‘Hot Seats’? Sama-sama kita saksikan.

Menurut komposer M. Nasir, Stacy menjadi pilihan kerana dia yakin bakat dan potensi juara Akademi Fantasia musim keenam itu boleh diperhebatkan.

“Saya tertarik dengan kegigihan, disiplin dan komitmennya ketika mengadakan sesebuah persembahan. Kemahiran dan kesungguhannya boleh diperhebatkan lagi. Stacy takkan selama-lamanya membawakan genre ‘pop dance’, dia perlu diberikan lagu-lagu lain yang bersesuaian dengan kemampuan vokalnya,”

Diminta mengulas mengenai reaksi terkejutnya apabila ditetapkan oleh program itu untuk menerima Ebi, komposer lagu Awan Nano itu berkata ia adalah satu cabaran yang perlu dilaksanakan.

“Ini adalah format yang telah ditetapkan program ini. Pada aspek rakaman, vokalnya (Ebi) mungkin boleh diperbaiki. Tetapi aspek persembahan dan karakter di pentas itu memerlukan pengubahsuaian yang banyak. Susah juga hendak cakap kerana masih terlalu awal,” katanya yang masih berbaki tiga kekosongan lagi.

Minggu pertama program itu menyaksikan persembahan empat penyanyi iaitu Stacy dengan lagu The Edge of Glory nyanyian asal Lady Gaga, Atilia menerusi Gelombang (Salamiah Hassan), Estranged menampilkan Rozana (Search) dan Akim dengan Demi Cinta (Kerispatih), selain Ebi dengan lagu We Will Rock You (Queen).

Dalam pada itu, komposer terkenal Indonesia, Ahmad Dhani mendahului senarai penyanyi pilihannya apabila memilih kumpulan Estranged, Atilia dan Akim. Bekas anggota kumpulan Dewa 19 itu berkata, tiga calon tersebut menjadi pilihan kerana kepelbagaian yang ditawarkan mereka.

“Saya mencari elemen variasi pada penyanyi-penyanyi di bawah empayar saya. Mereka menjadi pilihan kerana saya mencari penyanyi solo lelaki, solo perempuan dan kumpulan. Saya pilih Atilia kerana sudah lama tidak terlibat dalam pembikinan muzik jazz dan r&b sejak kali terakhir saya terbitkan album penyanyi Reza pada 1997. Saya ada banyak stok lagu genre itu,” katanya yang berbaki dua tempat di bawahnya lagi.

Berbeza dengan M. Nasir dan Ahmad Dhani, seorang lagi komposer Aubrey Suwito masih tidak membuat sebarang pilihan pada persembahan minggu pembukaan itu.

“Mereka (M. Nasir dan Ahmad Dhani) terlalu membuat pilihan, saya tidak sempat untuk memilih mana-mana penyanyi daripada senarai minggu ini,” katanya secara berseloroh.

Mania membariskan 12 penyanyi iaitu Adira, Akim, Atilia, Awi Rafael, Alyah, Hafiz Suip, Hazama, Jaclyn Victor, Shila Amzah, Stacy, kumpulan Estranged dan Kristal, selain tiga peserta yang dipilih menerusi undian tertinggi Hot Seat.

Setiap komposer akan membimbing lima penyanyi dalam persaingan untuk merebut hadiah utama bernilai RM500,000 untuk juara, RM300,000 (naib juara) dan RM100,000 (tempat ketiga).

Penerbit muzik yang berjaya membimbing penyanyi sehingga menjadi juara juga akan membawa pulang RM300,000.

Program yang menggunakan format pemarkahan 100 peratus undian khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton ini disiarkan secara serentak pada setiap Sabtu pukul 9 malam di Astro Ria (saluran 104), Astro Prima (saluran 105) dan live streaming di laman web www.mania.com.my. – via Mstar

Leave a Reply

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Pementasan Teater Bangsawan Chelorong Cheloreng