in , ,

Ulasan Konsert Lentera Timur Dato’ Siti Nurhaliza

Dato’ Seri Siti Nurhaliza

[dropcap]S[/dropcap]emalam, Budiey diberi peluang keemasan oleh Siti Nurhaliza Productions untuk hadir di Panggung Sari, Istana Budaya bagi menyaksikan persembahan malam pertama Dato’ Siti Nurhaliza di Konsert Lentera Timur. Sebelum ini, Budiey difahamkan SNP tidak mengadakan Malam Prebiu untuk para media, tidak seperti mana kebiasaannya. Bagi Budiey, itu tak jadi masalah dan tak mengapa asalkan jemputan dilayang untuk Budiey menjadi antara penonton pertama menyaksikan persembahan ini.

Budiey dapat tahu, konsert ini begitu mendapat sambutan hangat dari peminat Siti Nurhaliza (Sitizoners) dan peminat irama seni tradisional ini sehingga memaksa pihak penganjur menambah satu malam tambahan pada 24 September ini.

Gambar Konsert Lentera Timur Dato' Siti Nurhaliza

[pullquote align=”right”]Konsert Lentera Timur berlangsung selama 4 malam berturut-turut. Budiey diberitahu, suara Siti Nurhaliza tidak berapa sihat sehari sebelum berlangsungnya konsert. Syukurlah, pada malam tadi, Budiey dengar, suara Siti Nurhaliza tidak terjejas. [/pullquote]

Secara peribadi, Budiey memang gemar dengan irama etnik yang mencermin akar budaya kita orang Melayu, bangsa Melayu yang berpijak dan bernafas pula di bumi Malaysia. Sebelum persembahan, Budiey tidak diberi senarai lagu dan juga segmen serta siapakah artis yang akan dijemput untuk penampilan khas berkolaborasi bersama penyanyi nombor satu ini. Sebenarnya, segala macam benda ni dah ada dalam buku cenderamata, untuk itu Budiey biarkan ia menjadi satu gimik dan kejutan sehinggalah melalui sendiri momen-momen persembahan dan kemudiannya mendapat buku ‘press release’ ini selepas konsert semasa sesi sidang media berlangsung.

Pengalaman selama lebih 18 tahun menjadi anak seni digunakan sebaiknya oleh Siti Nurhaliza untuk menghasilkan persembahan bertenaga dan dikenang oleh peminat. Yelah, bila dah kata, persembahan irama tradisional maka tak sah kalau kita tak tengok Siti turut berjoget dengan lebih 30 orang penari. Meriah tu memang cukup meriahlah dengan penuh gaya dan jenis tarian. Agak skeptikal kalau ada yang kata persembahan semeriah itu diumpamakan seperti persembahan citrawarna atau persembahan ala Bollywood. Kita harus faham, inilah konsep konsert ini yang berteraskan akar budaya tradisional yang mahu mengangkat semua jenis muzik dari akar bumi kita sendiri. Gabungan semua jenis muzik asli dengan muzik moden membentuk satu irama yang sangat best di telinga.

Ulasan Konsert Lentera Timur Dato' Siti Nurhaliza

Pembukaan: Medley Sedayung Makyung dan Ala Donde

[dropcap]T[/dropcap]irai Konsert Lentera dibuka dengan Medley Sedayung Makyung dan Ala Donde untuk menarik perhatian semua penonton mengarah dan fokus ke pentas. Maka, Budiey lihat persembahan pembukaan ini sebagai satu usaha Siti Nuruhaliza memartabatkan seni Makyung. Walaupun Siti buat Makyung tidak lama, tapi Budiey kira okaylah. Kalau lama sangat nanti, jadi lain pulak kan? Atau mungkin ada yang tertidur nanti dibuai dengan alunan merdu dan lenggok Siti. Keseluruhannya, usaha Siti Nurhaliza cuba ber-Mak Yong memang berjaya la. Budiey dengar-dengar, bukan mudah untuk jadi pemain Makyung di mana lenggok suaranya, loghat bahasanya dan gerakan tariknya memerlukan fokus dan latihan yang sangat insentif. Tapi Budiey nampak Siti Nurhaliza berjaya melakukannya dengan sempurna. Terpukau Budiey dibuatnya. Dalam diri ada rasa bangga sebab Siti Nurhaliza berloghat dalam loghat Kelate. Tahniah atas usaha memperkenalkan seni dan menghidupkan kembali Makyung yang agak asing bagi generasi muda yang leka dengan irama K-Pop.

Nirmala & Kurik Kundi

[dropcap]S[/dropcap]elepas ber-Makyung, Siti meneruskan dengan segmen seterusnya yang mengetengahkan lagu-lagu tradisional kontemporari serta evergreen. Lagu Nirmala membuatkan Budiey terjaga dari diulit dengan irama Makyung sebentar tadi dan lagu kedua lagu ini memang meriah dengan penari yang lengkap dengan busana warna-warni. Sebenarnya, semasa menyaksikan persembahan ini, Budiey sekaligus teringatkan dengan persembahan Siti Nurhaliza sebelum ini iaitu masa Anugerah Juara Lagu. Eh, kalau diamati betul-betul, skala dan gaya tarian agak sama. Mungkin Siti sengaja membawakannya untuk mengajak peminat kembali mengingati detik kejayaan lagu etnik ini dalam anugerah anjuran TV3 itu. Siti membuat gimik dengan meniup alat sumpit ke arah tiga belon dan satu daripadanya sahaja yang pecah. Yang lain, tak dapek den nak nolong.

Medley Bunga Melor & Mahligai Permata

[dropcap]S[/dropcap]ebelum meneruskan persembahan, Siti Nurhaliza mengimbas sejarah dirinya yang berasal dari darah seni yang diperturunkan dari datuknya, Bachik Abdul Rahman yang pada masa dulu menjadi seorang pemain biola. Datuknya mempunyai kumpulan muzik sendiri dengan ibunya, Salmah Bachik. Kemudian, ibunya menjadi antara seorang penyanyi indie pada satu ketika dulu. Siti banyak belajar teknik nyanyian lagu asli daripada ibunya, persembahan Siti bersama Orkestra Tradisional Malaysia wajar mendapat pujian dan standing ovation. Menurut Siti, pernah satu ketika dulu, pada beliau di zaman kanak-kanak, datuknya menyanyikan lagu Bunga Melor untuk Siti. Siti pun hairan kenapalah lagu Bunga Melor. Sekarang, apabila Siti nyanyi lagu itu, barulah tahu sebabnya. Sememangnya, lagu Bunga Melor ditujukan khas untuk cucunya yang kini menjadi seorang ikon budaya.

Segmen: Lagu-Lagu Merajuk (Patah Hati, Janji & Kau Pergi Tanpa Pesan)

[dropcap]S[/dropcap]ebelum meneruskan persembahan, Siti Nurhaliza sempat berseloroh, lagu-lagu seterusnya ini adalah lagu yang dinyanyikan jika dia merajuk dengan Datuk K. Lagu-lagu yang jadi kegemarannya iaitu lagu Patah Hati, Janji dan Kau Pergi Tanpa Pesan. Untuk lagu Janji, Siti Nurhaliza suruh peminat menyanyi part, Aduh, aduh du du du du. Siti sempat membetulkan semua, lagu  Kau Pergi Tanpa Pesan tu bukan ditujukan kepada Datuk K tapi adalah lagu kegemarannya juga sebab lagu ni ada keunikannya. Mungkin part Aduh du du du du du kot sebab Siti dapat berinteraksi dengan penonton.

Segmen: Dikir Barat

[dropcap]S[/dropcap]elain cuba ber-Makyung, Siti Nurhaliza cuba berdikir barat dengan menampilkan Kumpulan Dikir Akademi Arjunasukma. Ya, ini part atau segmen yang Budiey tunggu-tunggu. Sebelum ini, Siti tak pernah buat segmen macam ni atau berdikir barat. Ini kali pertama. Budiey dibayangkan macamanalah gaya bila Siti berdikir barat dengan loghat Kelantan yang memerlukan latihan yang bukan sikit. Sesuailah dengan konsert yang mengangkat lagu-lagu tradisional dari semua negeri, segmen ini menjemput seorang anak muda yang Budiey kenali beliau dari program Bintang Mencari Bintang bernama Isey Fazlisham yang berasal dari Kelantan. Kalau anda lupa, Isey ni adalah protege kepada Sabri Yunus. Kalau tengok pada paras wajah dan gaya percakapan Isey ni pun mirip-mirip Sabri Yunus. Katanya pun protege kan? Isey sangat berbakat dan sekarang baru menamatkan pengajian dalam seni persembahan di salah sebuah IPT di Malaysia.

Apa yang buat Budiey terhibur dengan segmen ini adalah si Isey ni suka menjawab dengan seloroh dan gurauan yang sangat lucu. Itu yang Budiey berdekah-dekah ketawa tak ingat. Bukan Budiey je, boleh katakan semua yang datang akan terhibur dengan Isey ni. Pandai dia berlawak dan kemahirannya mencari punch line untuk buat kami terus ketawa sampai tamat segmen. Siap Isey ni pakai misai palsu semata-mata nak nampak dia macam Datuk K. Kata Siti, bukan Datuk K yang tu, tapi Datuk K. Rajagopal. Haha. Mulanya Isey masuk pentas mahu mencari seorang rakan duet wanita dan kemudian, Siti masuk membawa sebuah lagu dikir dan kemudian jadi tukang karut bersama Isey.

Uniknya pada segmen ini, Siti Nurhaliza jadi tukang karut dan cuba berdikir barat dalam loghat negeri Pahang. Menurut Isey, tak salah kalau nak berdikir dalam loghat Pahang. Nak buat dalam loghat Penang pun tak kisah. Graf momentum persembahan ini naik memuncak apabila mendapat sorakan dan tepukan gemuruh daripada penonton.

Medley Masri, Kaparinyo & Sulam Sembilan

[dropcap]S[/dropcap]ebagaimana yang kita tahu, konsert ini mengabungkan pelbagai budaya masyarakat Melayu Timur yang bukan sahaja dipesembahkan melalui lagu malah turut diselitkan dengan sketsa yang bersesuaian.

Medley Jangan Ditanya, Joget Kasih Tak Sudah & Joget Pahang

[dropcap]S[/dropcap]egmen muzikal menjadi kesinambungan dalam persembahan konsert ini untuk menjadikan konsert ini nampak meriah dan hidup. Kalau tak, nanti penonton jadi bosan. Pemilihan lagu-lagu berentak tradisional pelbagai rentak yang segar, ceria dan Budiey pasti ia sangat menghiburkan untuk penggemar muzik seperti ini. Keadaan dewan berprestij yang agak terhad membuatkan Budiey sukar nak berjoget, kalau tak dah lama Budiey bangun untuk berjoget sama. Chewwah.

Gambar Konsert Lentera Timur Dato' Siti Nurhaliza

Medley Bulan Yang Mesra, Empat Dara & Hati Kama

[dropcap]S[/dropcap]egmen ini sangat menghiburkan apabila Siti Nurhaliza menampillan empat anak dara (dara ke?) yang gebu dan montok-montok belaka turut buat sketsa dan berjoget bersamanya. Memang geli hati dan kadang-kadang rasa annoying pun ada tengok gelagat dan keletah 4 dara ini. Korang yang beli tiket dan saksikan persembahan ini akan tahu dan faham dengan apa yang Budiey maksudkan.

Selingan: Beat It

[dropcap]P[/dropcap]ernah tak anda mendengar lagu Beat it dalam versi muzik tradisional? Haaa, segmen ini menggabungkan muzik pop rock dengan muzik tradisional menghasilkan irama yang lain untuk lagu dari Michael Jackson, Beat It. Sementara menanti Siti Nurhaliza menukar baju dan berehat untuk seketika, Budiey asyik dengan kerancakan pemuzik bergabung dalam satu irama.

Gambar Konsert Lentera Timur Dato' Siti Nurhaliza

Segmen Bersama Dato’ M Daud (Cek Mek Molek & Laksamana Raja Di Laut)

[dropcap]S[/dropcap]eterusnya konsert turut dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada penyanyi jemputan, seorang yang tak asing, beliau adalah lagenda muzik Melayu dan ikon seni, Dato’ M Daud Kilau dengan dua buah lagu iaitu Cik Mek Molek dan Laksamana Raja di Laut. Haha, Budiey sebenarnya, tak nak spoilkan kejutan dari legenda negara yang suka bergelek ni. Tapi korang akan sedari dan perhatikan betul-betul dengan bentuk fizikal Dato’ M Daud Kilau yang agak besar sedikit semasa masuk ke pentas. Rupa-rupanya, beliau menyarung lebih 5 helai baju dan ditanggalkannya berperingkat demi peringkat. Kelakar pun ada tengok. Sebab Budiey ingat dah tak ada baju yang ditanggalkan tapi rupa-rupanya masih ada! Kerlas tak?

Ketawalah Lagi

[dropcap]S[/dropcap]eterusnya, Siti Nurhaliza mengajak penonton ketawa beramai-ramai untuk lagu Ketawalah Lagi ini. Siti kelihatan turun ke pentas mencari ‘mangsa’ untuk ketawa dan ketawakan. Menurut Siti, ketawa adalah satu ketawa untuk diri kita agar kita lebih ceria dan lebih sihat. Dari kami ketawa olok-olok, ketawa kami jadi betul apabila ada empat dara yang montok-montok tadi keluar cat walk dan bersketsa.

Medley Ada Masa Mata & Bintang Malam

[dropcap]P[/dropcap]ersembahan diteruskan dengan lagu-lagu tradisional ciptaan lama dan baru. Ada beberapa buah lagu diberi nafas baru dan suntikan irama yang lebih fresh sebab bergabung dengan Orkestra Tradisional Malaysia. Tapi nilai estetika dan keasliannya sentiasa terpelihata.

Bahtera Merdeka

[dropcap]S[/dropcap]esuai dengan Hari Malaysia yang disambut baru-baru ini, lagu-lagu tradisional yang mempunyai elemen patriotik seperti Bahtera Merdeka memang mencipta aura semangat untuk sayangkan negara kita. Persembahan Konsert Lentera Timur dijayakan juga berasma dengan Badan Seni Budaya PDRM.

Gambar Konsert Lentera Timur Dato' Siti Nurhaliza

Biarlah Rahsia

[dropcap]L[/dropcap]agu irama balada ini didendangkan oleh Siti Nurhaliza dengan versi berbeza iaitu dalam irama tradisional. Sungguh asyik. Sebelum itu, untuk intro lagu ini, Siti menguji bakatnya bermain gamelan. Walaupun agak gementar, katanya, kadang-kadang jadi, kadang tak jadi, Siti memukul gamelan dengan yakin.

Rampaianku

[dropcap]P[/dropcap]ersembahan diteruskan dengan memberi penghormatan kepada Bapa Irama Malaysia Tradisional, Datuk Suhaimi Mohd Zain atau terkenal dengan nama Pak Ngah yang turut mengiringi persembahan selama hampir 2 jam ini. Tahniah kepada Pengarah Persembahan iaitu Lokman Ghani yang membawa elemen muzikal dan sketsa dalam persembahan konsert ini.

Gambar Konsert Lentera Timur Dato' Siti Nurhaliza

Damak

[dropcap]L[/dropcap]agu Damak merupakan lagu ciptaan Pak Ngah yang mempunyai kisah tersendiri bagi penyanyi ini. Siti mengundang Pak Ngah ke tengah pentas untuk bercerita tentang pengalaman Pak Ngah mengendalikan proses rakaman untuk satu program di awal kemunculan Siti. Lagu rakyat pastinya takkan lapuk dek zaman. Lagu Damak yang terkandung dalam album Cindai tahun 1998 ini ada lenggok yang mendayu-dayu dan membuai.

Medley Balqis & Ya Maulai

[dropcap]S[/dropcap]eperti yang Budiey katakan, melihat persembahan lagu sepeti Balqis dan Ya Maulai, ini mengimbaskan kembali ingatan pada zaman kegemilangan Siti Nurhaliza di Anugerah Juara Lagu di mana lagu ini pernah mencipta sejarah dianugerah itu. Sebelum konsert, Budiey dah buat jangkaan dua perkara, pertama, dua buah lagu killer songs Siti ini pasti akan dialunkan dan keduanya, Budiey buat ramalan, Siti akan membawa sekumpulan kanak-kanak comel naik ke pentas menari zapin dan juga penari di kalangan orang tua. Namun sangkaan Budiey meleset. Dalam konsert ini tiada kejutan itu, tiada penampilan gimik penari kanak-kanak atau orang tua seperti mana persembahan dalam Anugerah Juara Lagu.

Cindai

[dropcap]B[/dropcap]udiey suka dengan tarian zapin untuk lagu ini. Tidak sah kalau Siti tak nyanyi lagu Cindai, sebuah lagu yang Budiey anggap berhantu satu ketika dulu. Apa yang Budiey nak sentuh kat sini, bunyi muzik untuk lagu Cindai jadi lebih baik dengan gabungan dari Orkestra Tradisional Malaysia yang mencerminkan identiti masyarakat majmuk negara ini. Siti Nurhaliza turut memperkenalkan kesemua jenis alat muzik dan pemuzik handalan. Antaranya Erhu, Sape, Yang Qin, Rebana, Geduk, Tabla, Bonang, Sitar, Serunai, Gambus, Rebana Ubi dan banyak lagi.

Gambar Konsert Lentera Timur Dato' Siti Nurhaliza

Popaleh Weh

[dropcap]S[/dropcap]ebagai penutup, Siti Nurhaliza memilih lagu yang berentak rancak berjudul Popaleh Weh. Siti turut bergendang di pertengahan lagu ini. Difahamkan, lagu ini adalah nyanyian lagu ciptaan baru yang mengambil judul loghat negeri Pahang, negeri kelahiran beliau. Sejujurnya, Budiey tak pernah dengar lagu ni. Difahamkan ia adalah lagu lama negeri Pahang yang diberi nafas baru oleh Siti Nurhaliza. Budiey diberitahu, sebelum ini, Siti pernah menyanyikan lagu ini di Majlis Penutup Sukan Malaysia (SUKMA) tahun 2012 di Stadium Darul Makmur. Untuk lagu ini, Siti Nurhaliza menggunakan kemahirannya memukul gendang bersama beberapa pemukul gendang. Satu perkataan yang boleh Budiey katakan kat sini. Meriah!

[pullquote]Konsert Lentera Timur dipersembahkan selama empat hari bermula 20 hingga 22 September dan 24 September ini di Istana Budaya.[/pullquote]

Berlaku sedikit kesilapan kecil yang membuatkan sistem bunyi terjejas pada malam pertama persembahan. Bunyi ini dikatakan berpunca dari alat pembesar suara yang dialihkan ketikan persembahan berlangsung.

Walaupun konsert tamat lewat malam, dan Siti agak keletihan walau di luarnya nampak wajahnya segar dengan senyuman, namun Siti masih mampu melayan setiap peminat yang ingin bergambar dengannya di Meet & Greet di luar dewan. Kelihatan suaminya, Datuk K dan keluarga turut hadir memberi sokongan.

Konsert diiringi Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) itu mempersembahkan lebih 30 buah lagu tradisional yang digubah dan disusun semula oleh dua pengarah muzik ternama iaitu Mohd. Yazid Zakaria dan Aubrey Suwito. Berdurasi 2 jam, konsert ini menjanjikan pelbagai irama muzik tradisional seperti Asli, Zapin, Keroncong, Masri Dikir dan Makyung.

Siti tampil anggun dengan tiga busana tradisional ciptaan pereka fesyen terkenal Rizman Ruzaini, Hatta Dolmat, Zerry Zamry dan Cosry.

Biarpun terdapat sedikit gangguan teknikal pada pertengahan persembahan namun perkara tersebut tidak menjejaskan keseluruhan Konsert Lentera Timur yang berlangsung hampir dua jam itu.

Konsert Lentera Timur dipersembahkan selama empat hari bermula 20 hingga 22 September dan 24 September ini di Istana Budaya.

Keseluruhan konsert ini menghiburkan dan berjaya memukau semua pembeli tiket. Syabas dan tahniah kepada Dato’ Siti Nurhaliza. Semoga persembahan untuk malam akan datang bertambah mantap dan yang penting, kena jaga momentum supaya graf konsert ini naik dan naik sehinggalah tamat.

Di tahap ini, bukan soal glamor atau anugerah bertimbun yang dikejar tapi Siti kini berusaha untuk memberi sumbangan dalam industri muzik untuk menghidupkan kembali kegemilangan lagu tradisional dan seni budaya bangsa. Konsert ini menjadi lambang manifestasi kecintaan Siti terhadap irama tradisional, selain membuktikan dia penyanyi serba boleh.

Bagi peminat Siti Nurhaliza, pastinya konsert yang diketuai oleh konduktor Mohd Yazid Zakaria ini akan dikenang sampai bila-bila. Budiey harap konsert ini diteruskan pada masa akan datang untuk memperkayakan lagi khazanah seni muzik tradisi serta usaha untuk menjamin legasi baru dalam pembangunan muzik di Malaysia terus berkembang. Budiey dikhabarkan, konsert ini akan dirakam dan akan dijual dalam bentuk DVD. Jangan lupa dapatkannya nanti.

Kredit Photo: Nana Azman & Meg’s Photography

Gambar Konsert Lentera Timur Dato' Siti NurhalizaGambar Konsert Lentera Timur Dato' Siti Nurhaliza

Gambar Konsert Lentera Timur Dato' Siti Nurhaliza

Gambar Konsert Lentera Timur Dato' Siti Nurhaliza

Gambar Konsert Lentera Timur Dato' Siti Nurhaliza

Gambar Konsert Lentera Timur Dato' Siti Nurhaliza

Gambar Konsert Lentera Timur Dato' Siti Nurhaliza

Gambar Konsert Lentera Timur Dato' Siti Nurhaliza

Gambar Konsert Lentera Timur Dato' Siti Nurhaliza

Gambar Konsert Lentera Timur Dato' Siti Nurhaliza

Gambar Konsert Lentera Timur Dato' Siti Nurhaliza

Ulasan Konsert Lentera Timur Dato' Siti NurhalizaUlasan Konsert Lentera Timur Dato' Siti Nurhaliza

Ulasan Konsert Lentera Timur Dato' Siti Nurhaliza

Gambar Konsert Lentera Timur Dato' Siti Nurhaliza

Gambar Konsert Lentera Timur Dato' Siti Nurhaliza

Gambar Konsert Lentera Timur Dato' Siti Nurhaliza

Gambar Konsert Lentera Timur Dato' Siti Nurhaliza

Gambar Konsert Lentera Timur Dato' Siti Nurhaliza

Ulasan Konsert Lentera Timur Dato' Siti Nurhaliza

Ulasan Konsert Lentera Timur Dato' Siti Nurhaliza

Ulasan Konsert Lentera Timur Dato' Siti Nurhaliza

6 Comments

Leave a Reply
  1. syabas siti.. anda telah menunjukkan kewibaan anda dalam bidang nyanyian tradisional yang selama ini agak sepi dipersada seni. Semoga istana budaya akan terus menyerap dalam minda masyarakat kita untuk suka dan sanjung kebudayaan warisan melayu dari segi nyanyian dan tarian sebab terlalu banyak dedahan kepada kebudayaan barat masa kini. Bila generasi muda kini lebih sanjung kepada warisan kemelayuan kita, sudah tentu semangat kepatriotisme kepada negara pun akan lebih mendalam. Siti adalah seorang penyanyi melayu yang mahir dalam semua bentuk irama malaysia dan usaha kerasnya untuk menjayakan sebuah pertunjukan seni seperti ini harus di puji dan diberi lebih peluang untuk meluaskan lagi perjuangan ini.

  2. inilah dia artis yang boleh dikatakan legend Malaysia kerana mampu kepelbagaian genre termasuk irama tradisional. Tengok gambar di atas ct memang cantik dan menarik. Persembahan mesti mantap.

Leave a Reply

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Rahsia Awet Muda Anuar Zain Buat Rawatan Sel Stem

Fouziah Gous Sah Jadi Isteri Zhafran