Tayangan media pasgi semalam diadakan di Hall IMAX, dan Budiey boleh katakan — pengalaman menonton kali ini memang lain macam bestnya. Tempat duduk boleh baring, sistem bunyi IMAX yang menghentam jiwa, dan visual yang penuh tekstur. Pendek kata, ini bukan sekadar tayangan — ini sebuah pengalaman sinematik yang immersive gitu. Terima kasih buat The Walt Disney Company atas jemputan istimewa ini.
Dan ya, seawal babak pertama lagi, Budiey dah rasa hidung kembang bukan apa, siapa tak bangga kan, bila nama Malaysia dan bangunan Merdeka 118 terpampang besar-besaran di layar IMAX. Bangunan kebanggaan kita jadi lokasi utama adegan aksi? Memang wow — jujurnya, Budiey hampir berdiri dan tepuk tangan dalam dewan.
Merdeka 118 Jadi Latar Epik Dalam Babak Pertama
Salah satu detik paling memukau dalam filem ini ialah apabila Yelena Belova (lakonan Florence Pugh) melakukan lompatan ekstrem dari puncak Merdeka 118 — dan ini bukan sekadar CGI rekaan. Adegan ini dirakam secara praktikal dengan bantuan tenaga pakar dari Malaysia sendiri. Lebih membanggakan, penggambaran ini dijalankan pada Ogos 2024, melibatkan kerjasama produksi Marvel dan tenaga tempatan, termasuk pelakon Malaysia Syaza Atheera.
Menurut pengarah Jake Schreier, Florence Pugh sendiri melakonkan babak tersebut tanpa sebarang potongan. Komitmen yang luar biasa ini benar-benar buat Budiey rasa kagum. Kalau anda tonton babak itu di layar besar IMAX, bersedialah untuk rasa bulu roma meremang.
Sinopsis Tanpa Spoiler Besar
Thunderbolts mengisahkan sekumpulan antihero Marvel — Yelena Belova, Bucky Barnes, Red Guardian, Ghost, Taskmaster dan John Walker — yang dipergunakan oleh Valentina Allegra de Fontaine untuk satu misi ‘pembersihan’ terakhir. Namun, mereka akhirnya menyedari bahawa mereka hanyalah alat untuk dibunuh.
Dalam usaha melarikan diri dan mencari jawapan, setiap dari mereka dipaksa berdepan dengan trauma masa silam. Persoalannya: mampukah mereka bersatu sebagai satu pasukan atau karam dengan beban emosi sendiri?
Florence Pugh Dan Dinamik Antihero Yang Meresap Hati
Florence Pugh sebagai Yelena Belova terus mencuri hati dengan gaya lakonan yang menyentuh, sinis dan dalam pada masa yang sama. Beliau membawa sisi baharu kepada wataknya yang kini bergelut dengan kekosongan hidup selepas kehilangan kakaknya, Natasha Romanoff.
Dinamik beliau dengan Red Guardian (lakonan David Harbour) pula memberikan keseimbangan antara emosi dan humor. Hubungan ‘ayah-anak’ ini adalah nadi emosi filem.
Bob Dan Sisi Gelap Sentry: Twist Yang Berkesan
Lewis Pullman sebagai Bob/Sentry adalah kejutan yang menyayat hati. Bob, seorang lelaki misteri yang dibelenggu oleh sejarah kelam, menjadi lambang kepada konflik dalaman — antara cahaya dan kegelapan.
Pullman menyampaikan emosi Bob dengan jujur dan mentah, menjadikan wataknya antara yang paling berkesan dalam filem ini. Babak ‘interconnected shame rooms’ benar-benar menyentuh hati, terutama apabila penonton dapat menyelami trauma yang dialami setiap anggota Thunderbolts.
Sinematografi, Bunyi Dan Visual Yang Tersendiri
Andrew Droz Palermo berjaya membawa sinematografi yang berani, tekstural dan luar dari kebiasaan Marvel. Setiap babak terasa hidup dan ada jiwanya tersendiri. Visual tidak terasa plastik seperti sesetengah filem MCU yang lalu. Skor muzik oleh kumpulan Son Lux pula memperkuatkan emosi — eksperimental, halus, dan jauh dari stereotaip heroik biasa.
Aksi Realistik, Tapi Masih Menggegar
Berbeza dari filem Marvel yang klise dengan letupan CGI dan sinar dari langit, aksi dalam Thunderbolts terasa lebih grounded. Adegan menyelamat orang awam dari runtuhan konkrit, babak kejar-mengejar dalam padang pasir dan momen pertempuran satu-lawan-banyak terasa lebih ‘tulen’ dan memuaskan.
Lawak Yang Kena Pada Tempatnya
Filem ini tidak terlalu memaksa untuk jadi lucu, tetapi bila lawaknya kena — memang menjadi. Dialog mengenai “topi” John Walker dan sindiran terhadap gaya kepimpinan Valentina memberikan nafas ringan kepada tema yang berat. Lawak-lawak kecil antara Yelena dan Ghost pula buatkan kita tersenyum walau dalam adegan tegang.
Jake Schreier Bawa Angin Baharu Untuk Marvel
Sentuhan Jake Schreier sebagai pengarah jelas terasa — tidak terlalu bombastik tetapi penuh isi. Beliau berjaya menjadikan filem ini bukan sekadar ‘popcorn movie’ tetapi sebuah naskhah antihero yang ada emosi dan falsafahnya. Jika dibandingkan dengan Guardians of the Galaxy, filem ini lebih gelap, lebih introspektif, tapi tetap ada momen kemanusiaan yang tulus.
Post-Credits: Petunjuk Untuk Masa Depan MCU?
Seperti biasa, filem Marvel tidak akan lengkap tanpa babak selepas kredit. Walaupun Budiey tidak mahu spoil, cukup untuk katakan bahawa babak ini membuka ruang kepada kesinambungan cerita yang berpotensi besar, dan sekali lagi menunjukkan bahawa Thunderbolts bukan sekadar ‘fill-in’ sebelum Avengers seterusnya.
Apa Kata Budiey?
Thunderbolts bukan sekadar filem aksi, tetapi satu eksperimen MCU yang lebih matang, lebih berani dan lebih manusia. Kehadiran Merdeka 118 dalam babak pembuka filem ini bukan sekadar kosmetik — ia adalah bukti bahawa Malaysia kini berdiri megah dalam peta sinema global.
Budiey rasa sangat bangga bila nama negara disebut dan dipaparkan, dan Budiey percaya semua rakyat Malaysia patut rasa hal yang sama.
Florence Pugh memegang watak utama dengan cukup berkesan, dan seluruh ensemble cast berjaya membawa nyawa kepada karakter-karakter yang sebelum ini kurang diberi perhatian. Ini bukan filem tipikal Marvel yang hanya bergantung pada letupan besar dan ‘fan service’.
Ini filem yang bercakap tentang trauma, penebusan dan erti kebersamaan, dalam cara yang lebih tulus.
Penilaian Budiey: 8/10
Sebuah filem Marvel yang matang, penuh jiwa dan bangga mengangkat nama Malaysia di pentas dunia. Wajib tonton di layar besar IMAX untuk pengalaman sinematik yang sebenar.