in , ,

Ulasan Filem ‘Telaga Suriram’: Kenapa Berjuang Untuk Yang Sudah Mati?

Filem TELAGA SURIRAM telah mengheret Budiey menyelam jauh ke dasar emosi dan misteri! Sorotan minggu lalu, Budiey berpeluang tonton filem ni di Dadi Pavilion KL

Budiey berpeluang menghadiri tayangan perdana filem Telaga Suriram pada 24 April 2025 di DADI Cinemas, Pavilion Kuala Lumpur. Suasana malam itu cukup eksklusif – permaidani merah yang meriah, penampilan pelakon utama yang memukau, dan sistem bunyi dalam dewan tayangan memang padu!

Budiey sangat berterima kasih kepada pihak penganjur yang sudi menjemput untuk menyaksikan dan mengulas filem ini. Walaupun ada sedikit masalah teknikal (tayangan perlu diulang selepas setengah jam pertama), namun pengalaman menonton masih kekal menyeramkan dan menyentuh emosi.

Sinopsis: Sebuah Kehilangan Yang Menjadi Misteri

Filem ini berkisarkan kehilangan seorang kanak-kanak perempuan bernama Suriram, anak kepada Rohaya (Maya Karin) dan Sopiyan (Fauzi Baadilla). Suriram banyak menghabiskan masa dengan Maimon (Nabila Huda), seorang gadis bisu yang penuh trauma, anak kepada dukun kampung, Mak Tijah (Ellie Suriaty).

Selepas kehilangan itu, muncul Inspektor Kamilia (Scha Alyahya), yang dipindahkan ke Kampung Chendana untuk menyiasat kes misteri ini. Dia kerap diganggu oleh roh Suriram yang membawanya ke gua misteri, lalu bertemu dengan Zakir (Farid Kamil), anak ketua kampung. Dari situlah misi menyelesaikan teka-teki kehilangan Suriram bermula.

Telaga Suriram Bongkar Misteri Kehilangan Kanak-Kanak Dengan Kisah Mistik

Lakonan Mantap, Tapi Skrip Tak Konsisten

Secara keseluruhan, barisan pelakon memang memberikan persembahan lakonan yang sangat berkesan. Maya Karin menyampaikan emosi seorang ibu yang kehilangan anak dengan penuh kesyahduan. Nabila Huda pula berjaya membawa watak Maimon yang bisu tetapi sarat trauma — ekspresi wajahnya saja dah cukup buat penonton terasa peritnya penderitaan dalaman.

Scha Alyahya sebagai Inspektor Kamilia nampak garang dan berdedikasi, namun sayangnya wataknya ditulis seperti tidak tahu arah tuju. Kadang-kadang tegas, kadang-kadang emosional tanpa sebab. Farid Kamil sebagai Zakir menampilkan sisi skeptikal yang akhirnya tunduk pada realiti mistik. Chemistry Farid dan Maya mengimbau kembali nostalgia “Lagenda Budak Setan”.

Sinematografi & Lokasi: Kekuatan Visual Yang Memikat

Landskap kampung yang dirakam di sekitar Perak, Kedah dan Perlis membantu menjadikan latar cerita lebih hidup dan autentik. Keaslian rumah kayu kampung, prop seperti lampu suluh dan dinding rumah yang lusuh semua membantu menyokong latar masa 1985. Ini memang satu kekuatan Telaga Suriram.

Namun begitu, babak CGI dan beberapa kesan khas seram nampak agak tidak kemas dan murah. Ada satu babak bunyi tapak kaki yang terlebih, walaupun watak hanya berjalan dua langkah. Kesan bunyi pula kadangkala keterlaluan hingga ganggu konsentrasi.

Telaga Suriram Bongkar Misteri Kehilangan Kanak-Kanak Dengan Kisah Mistik

Muzik & Lagu Tema: ‘Sesal’ Yang Tak Sepenuhnya Dimanfaatkan

Lagu tema “Sesal” nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza sepatutnya menjadi nadi emosi filem ini. Liriknya yang puitis dan penuh kesedihan selari dengan penderitaan Rohaya. Tapi sayangnya, lagu ini tidak diberi ruang yang cukup dalam penceritaan. Tiada versi instrumental atau susunan semula yang mengiringi babak dramatik – rugi besar di situ!

Penggunaan Mitos & Elemen Tradisional: Berani Tapi Kurang Kemas

Telaga Suriram cuba mengangkat kisah rakyat lama dan kepercayaan tentang telaga berhantu. Itu menarik. Tapi bila elemen itu disatukan dengan cerita jenayah, thriller dan mistik, pengarah nampaknya tidak berjaya seimbangkan semua elemen dengan kemas. Beberapa babak seperti Maimon dikurung dalam sangkar dan Mak Tijah mengamuk terasa seperti dibuat-buat dan panjang tak perlu.

Isu Struktur Naratif & Dialog: Panjang, Draggy, dan Dialog Lemah

Durasi 2 jam 10 minit terasa sangat panjang kerana banyak babak meleret dan tidak membantu penceritaan. Dialog juga kurang membantu. Ada banyak momen yang sepatutnya disampaikan melalui dialog yang kuat, tapi akhirnya dibiarkan kosong atau klise. Paling geram bila misteri diselesaikan oleh roh Suriram sendiri – terus buat watak polis nampak sia-sia.

Telaga Suriram Bongkar Misteri Kehilangan Kanak-Kanak Dengan Kisah Mistik

Perwatakan Orang Kampung: Tidak Konsisten & Kurang Empati

Reaksi orang kampung dalam cerita ini pun agak tak konsisten. Dalam satu babak, mereka prihatin dan mencari Suriram bersama Rohaya. Tapi dalam babak lain, mereka terus-terusan menuduh dan menghukum Maimon tanpa soal selidik. Isu tentang PTSD dan trauma Maimon sebenarnya sangat penting dan relevan, tapi ia hanya disentuh di permukaan.

Hint Ending: Twist Yang Pahit & Surreal

Tanpa nak bagi spoiler besar, Budiey boleh kata yang ending filem ni ada twist yang mungkin membuatkan penonton berfikir panjang. Tapi bukan jenis twist yang buat kita ternganga, sebaliknya lebih kepada twist yang buat kita rasa sedih dan keliru — macam mana semua ini boleh terjadi?

Apa Kata Budiey?

Filem Telaga Suriram adalah percubaan yang berani oleh Osman Ali untuk keluar dari acuan filem seram tipikal. Ia cuba gabungkan kisah mitos, misteri, trauma dan kepercayaan rakyat, tapi tersangkut di tengah jalan kerana skrip yang tidak konsistendialog yang lemah dan penceritaan yang kurang fokus. Sayang sekali kerana filem ini dibarisi pelakon yang sangat kuat dan visual yang cukup memukau.

Namun begitu, Budiey percaya filem ini masih wajar ditonton, terutama bagi mereka yang minat dengan kisah mistik Melayu, lakonan hebat dan latar desa yang indah.

Hidup bagai wayang yang berputar dalam telaga hitam. Manusia akan terus hidup dalam putaran cerita yang sama, bercerita tentang cerita yang benar atau palsu. Berjuang untuk yang sudah mati. – Maimon

Jadi korang rasa… betul ke telaga lama ada kuasa yang lebih dari sekadar air?

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ulasan Filem Thunderbolts: Geng Avengers ‘Rejected’ Juga Layak Diberi Peluang