in

Ujibakat Raja Lawak Musim Baru

RAJA LAWAK MULAKAN PENCARIAN BAKAT-BAKAT BARU
Kombinasi pelawak serba boleh bakal gamatkan kerusi juri untuk musim keempat

Selepas menobatkan Kumpulan Sepah sebagai juara Raja Lawak pada musim ketiga, Astro meneruskan lagi inisiatifnya bagi mencari pelapis dalam bidang komedi menerusi satu-satunya pertandingan realiti untuk mencari bakat lawak di Malaysia, Raja Lawak Astro yang kini memasuki musim keempat.

3973619062 9Eb60A7Aca O | 4

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Encik Nizam Sani, ”Selepas program Raja Lawak Astro berjaya menyumbang bakat-bakat komedi baru atau barisan pelapis pelawak ke persada hiburan tanahair sebanyak tiga musim, kami tidak teragak-agak untuk menyambung program ini ke musim keempat kerana percaya masih ada banyak lagi bakat-bakat komedi yang belum dicungkil di luar sana.

Pada musim lepas juga program Raja Lawak Astro berjaya mengumpulkan rating yang tinggi pada setiap minggu dan pada episod akhir sahaja, program ini berjaya mengumpul sebanyak 1.28 juta penonton. Angka-angka  ini merupakan penyuntik semangat untuk kami meneruskan program ini ke musim keempat.

Raja Lawak

Oleh itu, program Raja Lawak Astro amat berbesar hati untuk memulakan penjelajahan dalam mencari bakat-bakat baru dan kali ini ke lima buah negeri di seluruh Malaysia termasuk negeri Sabah.”

Sesi ujibakat akan memulakan penjelajahannya pada setiap minggu (Sabtu & Ahad) dari jam 10 pagi hingga 6 petang di tempat-tempat yang berikut:

17 & 18 Oktober 2009
Plaza Kotaraya, Johor Bahru
Johor

24 & 25 Oktober 2009
Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang
Pulau Pinang

31 Oktober 2009 &
1 November 2009
Megamall, Kuantan
Pahang

7 & 8 November 2009
Plaza Alam Sentral, Shah Alam
Selangor

14 & 15 November 2009
One Borneo, Kota Kinabalu
Sabah

Pada musim ini, program realiti bakat lawak popular ini bertuah apabila mendapat kerjasama tiga pelawak serba boleh untuk mengisi kerusi juri pada setiap minggu. Beliau yang dimaksudkan ialah penulis, pengarah, pelakon, penyanyi, penerbit filem dan hos tv serba boleh, Afdlin Shauki; penyampai radio dan pelawak terkenal; Din Beramboi serta pelawak dan pengacara tv yang dikenali ramai; Bob Lokman.

”Kami melihat kombinasi juri pada musim ini sebagai pilihan terbaik dan percaya kredibiliti mereka mampu mengangkat hiburan komedi ke satu peringkat yang lebih tinggi. Pengalaman mereka dalam bidang seni juga merupakan satu bonus dalam menghujahkan kritikan-kritikan yang bernas pada setiap minggu kelak,” tambah Nizam lagi.

3973619846 422474915A O | 5

Pertandingan realiti bakat lawak, Raja Lawak Astro (musim keempat) ini terbuka kepada seluruh lapisan masyarakat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas dan haruslah mempunyai bakat dan minat di dalam bidang komedi. Mereka perlu membuat persembahan pentas secara spontan dan menarik perhatian juri dalam tempoh maksima tiga minit. Pertandingan ini terbuka kepada peserta solo mahupun berkumpulan tidak melebihi tiga orang.

Para juri akan menilai peserta-peserta berdasarkan beberapa kriteria pemilihan seperti kelucuan dan elemen jenaka dalam sesebuah persembahan, keaslian persembahan dan kreativiti, bakat dan kemahiran lakonan dan sama ada peserta berpotensi diketengahkan sebagai pelawak terkenal.

Pemenang tempat kedua dan ketiga; Raja Lawak Astro (musim pertama) – Johan dan Zizan sekali lagi akan menggalas tugas bagi mengacarakan program ini tiga tahun berturut-turut dan memperlihatkan cabaran kesemua peserta dalam merebut gelaran Raja Lawak Astro.

Radio SINAR FM telah dilantik sebagai radio rasmi Raja Lawak Astro dan informasi mengenai Raja Lawak Astro (keempat) boleh diperolehi dengan melayari laman web rasmi di www.astro.com.my/rajalawak4 dan dengan menekan butang merah ”R” yang terdapat di alat kawalan jauh Astro. Selain itu, program realiti bakat lawak ini juga mendapat sokongan padu daripada www.murai.com.my selaku portal rasmi yang akan mengemaskini perkembangan semasa.

Raja Lawak (musim keempat) akan mula menemui para penonton pada 26 Disember 2009, jam 8.30 malam di Astro Prima.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sekitar Majlis Open House Imran Ajmain

Anugerah Skrin 2009