in

Ujibakat Pencarian Bintang Klasik 2012

Ujibakat Pencarian Bintang Klasik 2012 Kini Bermula Di Seluruh Negara

Ujibakat pencarian Bintang Klasik 2012 yang masuk kali ke-6 penganjurannya tahun ini bakal bermula di seluruh negara. Program dwitahunan yang diselangselikan penganjurannya dengan Pertandingan Bintang Nostalgia diadakan sejak 2007 lalu ini membuka penyertaan kepada warganegara Malaysia yang berusia 16 hingga 35 tahun, dalam mendendangkan lagu-lagu ciptaan tempatan kategori malar segar yang dirakam sekitar era 50an, 60an, 70an, 80an dan 90an sahaja.

Lokasi ujibakat akan diberitahu kemudian.

Radio Malaysia Klasik Nasional menyediakan hadiah yang cukup lumayan untuk anda yang bakal berentap di peringkat akhir Pertandingan Bintang Klasik untuk tahun ini. Pertandingan akhir yang dijangkakan berlangsung sekitar bulan September nanti menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.00 beserta trofi untuk Johan, manakala Naib Johan akan meraih RM7,000.00 beserta trofi. Tempat Ketiga juga tidak pulang dengan tangan kosong kerana anda bakal memenangi RM5,000.00 beserta trofi. Tidak ketinggalan, 9 hadiah saguhati bernilai RM1,500.00 beserta trofi disediakan untuk pemenang saguhati.

Biarpun masa berubah, penganjuran program ini diharapkan mampu menyegar semangat dan menyemai jiwa “cintakan lagu-lagu malar segar” terutamanya kepada generasi muda. Program seperti ini seharusnya lebih banyak dianjurkan supaya budaya dan tradisi lama tidak luntur ditelan zaman.

Perkasakan tradisi, warisan dan budaya kita. Jika tiada yang lama, maka tiadalah yang baru. Dewasa ini, ada dikalangan golongan remaja dan belia yang semakin melupakan lagu-lagu berentak malar segar, klasik, asli dan juga tradisional. Mereka lebih gemar mendengar serta mendendangkan lagu-lagu berentak moden dan terkini yang pada firasat mereka, lebih dekat dan sesuai dengan citarasa. Malahan, di corong-corong radio juga kita lebih kerap dialunkan dengan lagu-lagu moden berbanding lagu-lagu malar segar.

Justeru, bagi menggamit semula kenangan-kenangan lama serta menanam jiwa lama di dalam jasad yang baru, Radio Malaysia Klasik Nasional menganjurkan Pertandingan Bintang Klasik. Kesinambungan daripada Pertandingan Bintang Klasik Nasional yang pernah dianjurkan sebelum ini, penganjuran Bintang Klasik sudah semestinya untuk menggalakan serta melahirkan golongan remaja dan belia agar lebih berminat menyanyikan serta mendendangkan lagu-lagu malar segar dengan harapan, genre ini tidak tenggelam ditelan era yang semakin maju.

Oleh itu, jangan tunggu lagi!!! Bukan sahaja pengalaman yang berharga menanti anda, malah hadiah lumayan juga menanti pemenangnya. Usah sia-siakan bakat dan peluang yang berada di depan mata. Segera dapatkan borang dan syarat-syarat penyertaan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang berhampiran anda. Jangan lupa bawa bersama gambar berukuran pasport pada hari ujibakat nanti.

Bintang Klasik, Menggamit Kenangan.

What do you think?

73 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Siri Jelajah MasterChef Selebriti Astro

Pop Gen Gabung Artis Popular & Artis Indie