in

Ujibakat Imam Muda Musim Ketiga Secara Online

Astro Oasis perkenal ujibakat Imam Muda musim ketiga secara online di Youtube!

Perhatian dunia tertumpu di Malaysia sejak tiga tahun lalu selepas tercetusnya idea menerbitkan program Imam Muda atas kesedaran untuk memartabatkan status Imam. Program ini telah memberi pendedahan kepada masyarakat tentang tanggungjawab sebenar yang dipikul seseorang Imam di zaman yang penuh cabaran ini.

Sehubungan itu, Astro Oasis berbesar hati untuk sekali lagi mencuri perhatian golongan muda untuk turut serta dalam Ujibakat Imam Muda musim ketiga secara online yang akan bermula 19 hingga 31 Mac ini.

Memasuki musim yang ketiga, Imam Muda masih dengan misinya mencari pelapis dan melahirkan pemuda berwibawa, berintergriti dan kredibiliti bagi memikul tanggungjawab bukan sahaja sebagai Imam malah sebagai pemimpin dalam masyarakat. Sejak dilancarkan tiga tahun lalu, program ini telah mencetuskan fenomena yang tersendiri melalui televisyen, liputan media tempatan dan antarabangsa serta jaringan sosial di internet.

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Hj Izelan Basar, “Pengaruh internet dan jaringan sosial amat memberi kesan terhadap populariti program Imam Muda sejak musim pertama lagi. Pihak produksi sentiasa menitikberatkan pendapat serta komen para peminat yang dihantar menerusi laman Facebook rasmi Imam Muda yang kini berjumlah hampir 500,000 peminat selain tulisan di laman-laman web, video di Youtube dan jaringan sosial yang lain. Setiap pandangan yang diberikan ini merupakan tanda sokongan dan menggambarkan keghairahan anak-anak muda untuk mendekati program-program yang berbentuk keagamaaan menerusi platform yang lebih bersifat interaktif.

Memasuki musim ketiga, kami berhasrat untuk membawa masyarakat kembali mengenali peranan dan fungsi asas seorang Imam samada sebagai imam dalam pengurusan masjid mahupun imam yang memimpin solat berjemaah. Pada masa yang sama kami ingin mendidik imam yang berfungsi sebagai seorang pemimpin bermula dengan mengetuai keluarga, masyarakat seterusnya ummah pada keseluruhannya. Kami percaya ramai anak muda di luar sana yang berpotensi untuk diketengahkan dan berharap mereka lebih berani untuk tampil ke hadapan”

Lelaki Islam berumur 18 hingga 30 tahun digalakkan untuk turut serta dalam Imam Muda musim ketiga. Para peserta mestilah fasih berbahasa Melayu dan mempunyai latar belakang agama Islam yang baik.

Ujibakat melalui online diperkenalkan buat pertama kalinya pada musim ketiga ini. Para peserta dikehendaki melayari www.imammuda.com.my untuk memuat turun borang untuk diisi. Kemudian peserta dikehendaki merakam dengan video kamera dua bacaan dalam Al-Quran seperti yang ditetapkan.

Rakaman yang telah lengkap hendaklah dimuat naik ke laman Youtube melalui akaun yang dibuka oleh peserta ujibakat sendiri. Borang yang lengkap beserta pautan video di Youtube hendaklah dihantar ke email [email protected]. Ujibakat ini akan berlangsung mulai 19 Mac 2012 sehingga 31 Mac 2012
*Sila rujuk lampiran untuk senarai surah untuk temuduga

Hj Izelan menambah, “Kami berasa amat terharu dengan sokongan padu yang diberikan oleh pelbagai pihak terhadap program ini. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Bank Islam yang sekali lagi hadir hadir selaku penaja utama dan mengalu-alukan kehadiran Lenfa selaku penaja bersama serta THR Gegar selaku radio rasmi dan turut disokong oleh Sinar FM.. Sesungguhnya, kehadiran penajaan sebegini menunjukkan sokongan berterusan masyarakat terhadap program keislaman seumpama ini.”

Imam Muda musim ketiga ini bakal bersiaran di saluran rasmi; Astro OASIS (saluran 106) pada bulan Mei ini. Butir-butir lanjut mengenai sesi uji bakat dan program ini akan diumumkan kelak.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Konsert LMFAO Ditunda Ke 9 April 2012

Menangi RM100,000 dalam Masyuk Bersama HOT FM