in , ,

TV3 Tayang Drama CHECKLIST MR. RIGHT, TERLERAI KASIH & ANAK SENA di Bulan Ogos Ini

TV3 tidak pernah menghampakan jutaan peminat drama Melayu yang sentiasa mahukan naskhah yang mengetengahkan jalan cerita yang segar dan menarik termasuklah dalam tiga buah drama iaitu CHECKLIST MR. RIGHT, TERLERAI NOKTAH dan ANAK SENA.

Terbaharu di bulan Ogos, slot Sakura memaparkan kisah seorang gadis yang bertemu dengan jejaka idaman yang dianggap hanya wujud di dunia fiksyen, slot Lestary mengisahkan kesungguhan tok batin yang mahu mengubah masa depan anak-anak orang asli dengan memberikan pendidikan serta slot Samarinda yang mengisahkan dua beradik yang kembali bertemu dalam situasi yang menyayat hati setelah terpisah selama 20 tahun. 

Sakura: CHECKLIST MR. RIGHT (12 episod), Mulai 25 Ogos 2021, Isnin – Khamis, 6.00 petang

Drama bersiri komedi romantik ini merupakan terbitan oleh Imaginal Pictures Sdn. Bhd., diarahkan oleh Tam Suhaimi, nukilan skrip oleh Tam Suhaimi, Eena Mokhtar, CTNA Marzuki dan Shamaine Othman dengan menampilkan Eyka Farhana, Ikhsan Saleh, Afifah Nasir, Wafiy Aan, Amy Mastura, Harris Baba, Intan Ladyana, Izzat Mushtaq, Jad Hidir, Atiq Azman, Nelissa Nizam dan ramai lagi.

POSTER CHECKLIST MR RIGHT

Seorang gadis yang bernama Nina Suraya ialah seorang ‘instafamous’ yang bercita-cita untuk menjadi seorang penulis skrip. Rancangan Nina untuk mendedahkan kecurangan Zach tidak berhasil apabila warga net lebih berpihak kepada Zach. Video pergaduhannya dengan Zach tular di media sosial dan Nina menerima kecaman yang kuat sehingga mengambil keputusan untuk melawat sepupunya, Niesa di Johor Bahru. 

Nina mahu menutup pintu hatinya dan percaya lelaki idamannya tidak akan wujud di realiti. Niesa pula telah menyuruh Nina menyenaraikan ciri-ciri lelaki idamannya. Nina telah dibawa ke pantai dan diberikan botol kaca. Niesa mencadangkan kepada Nina untuk membuangkan nota dalam botol itu dan melontarkannya ke dalam laut kerana lelaki yang digambarkan itu hanya wujud dalam dunia fiksyen. Nina mula mengalami kekalutan apabila bertemu seorang lelaki misteri, yang mempunyai kriteria persis lelaki idamannya seperti yang dicatatkan di dalam nota itu. 

Samarinda: TERLERAI NOKTAH (9 episod), Mulai 26 Ogos 2021, Isnin – Khamis, 10.00 malam

Drama bersiri 9 episod ini diterbitkan oleh Padi Pictures, diarahkan oleh Amor Rizan dengan nukilan skrip oleh Amor Rizan menampilkan pelakon-pelakon handalan seperti Nabila Huda, Raysha Rizrose, Ainul Aishah, Aidil Aziz, Atikah Suhaime dan ramai lagi. 

POSTER TERLERAI NOKTAH

Zaira dan Dr Rudi merupakan pasangan suami isteri yang tidak dikurniakan anak. Zaira mempunyai satu sejarah silam bersama adik perempuannya yang telah hilang selama 20 tahun. Suatu hari, hospital psikiatri yang dimiliki oleh Dr Rudi menerima seorang pesakit jiwa bernama Hani yang ditemui oleh pihak polis bersama mayat suami Hani yang mati dan bayinya yang kelaparan. Dr Rudi terkejut selepas mendapati pesakit yang bernama Hani itu adalah adik kandung Zaira yang telah lama hilang. 

Sementara itu Rania, ketua jururawat yang bekerja di hospital milik Dr Rudi sering cuba memberitahu Dr Rudi tentang sesuatu namun tidak diendahkan oleh Dr Rudi. Rania mempunyai masalah rumah tangga dengan suaminya Dr Kamil malah Dr Kamil telah menghilangkan diri membawa anak mereka lari dari Rania.

Kehadiran Jasmine, seorang jururawat baharu yang ditukarkan ke hospital psikiatri menimbulkan tanda tanya pada Rania kerana ia adalah atas arahan Dr Kamil, suami Rania sendiri. Jasmine yang ditugaskan untuk menjaga Hani mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan kes penemuan Hani. Zaira pula sering terbawa-bawa ingatan bagaimana kehidupan dia dan Hani ketika kecil dahulu, dan segalanya membawa ingatannya kembali ketika mereka diculik dan dibawa ke Pulau Randai.

Lestary: ANAK SENA (8 episod), Mulai 26 Ogos 2021, Rabu – Sabtu, 9.00 malam

Ilmu mampu mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik, itulah pegangan teguh dan impian seorang tok batin yang mahukan anak-anak kaum orang aslinya mendapat pendidikan moden. Apabila beliau diuji dengan anaknya yang lari dari kampung kerana tidak ingin meneruskan pembelajaran, dapatkah Sena menyelesaikan kemelut itu? 

POSTER ANAK SENA

Mini Siri istimewa Merdeka Anak Sena ini diterbitkan oleh Kembara Sufi Sdn. Bhd., diarahkan oleh Bahri Uma Bajuri dan nukilan skrip oleh MF Kencana dan Irdeena Nur Humaira. Drama bersiri 8 episod ini menampilkan barisan pelakon seperti Ben Amir, Hadi Putra, Ruzaidi Abd Rahman, Farah Ahmad, Nadia Aqilah, Shasha Abedul dan ramai lagi.  

Ia mengisahkan tentang Sena, tok batin keturunan orang asli yang tinggal di pedalaman hutan. Sebagai ketua kampung, selain mempelajari ilmu hutan, Sena mahukan keturunannya bersekolah dan berpendidikan. Impiannya untuk melihat anak orang asli berjaya dan dia cuba membuktikannya melalui anaknya Wadi. Setiap hari Sena akan memandu bot membawa anaknya dan sejumlah murid-murid dari kampungnya meredah sungai Hulu Tembeling ke sekolah. Selesai waktu persekolahan, Sena akan membawa Wadi masuk ke hutan untuk memburu binatang dan mencari makanan, tumbuhan, akar kayu, rotan dan belajar ilmu hutan.  Bagi Sena, anak-anaknya dan anak anak orang asli di bawah jagaannya perlu mendapat ‘ilmu hutan’ dan ‘ilmu sekolah’. 

Cikgu Amir merupakan guru baharu di sekolah tempat Wadi bersekolah. Cikgu Amir rasa tercabar dengan sikap Wadi yang sambil lewa dan tidak berminat dalam pelajaran. Namun minat dan bakat Wadi terhadap bola sepak berjaya mengubahnya. Namun, selepas berlakunya insiden salah faham dengan Cikgu Amir, Wadi tidak mahu pergi ke sekolah lagi. Setelah dipaksa oleh Sena, Wadi berpura-pura pergi ke sekolah sehinggalah terjadinya insiden yang mengakibatkan dia bertindak melarikan diri dari rumah. Kehilangannya merisaukan Sena dan ibunya Kiambang sehinggalah Sena nekad untuk mencarinya.  

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan drama bersiri hebat ini di TV3! Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, dan Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Penyanyi Lagu Ayam Den Lapeh, Elly Kasim Meninggal Dunia Mengidap Gangguan Pencernaan

Fazli Zainal Tunda Tarikh Pelancaran Single MANTAN YANG TERLUKA di Hospital