in ,

TV AlHijrah Semarak Ramadan Dengan Program Mentadabbur Keindahan

Menjelang bulan Ramadan yang dijangka disambut seluruh umat Islam pada 12 Mac ini, stesen TV AlHijrah tampil menyajikan pelbagai program menarik buat penonton setianya.

Dengan tema “Ramadan Mentadabbur Keindahan”, TV AlHijrah telah menyusun program-program yang mendidik jiwa dengan ilmu, dakwah dan hikmah. 

Usaha murni ini bagi mengajak masyarakat untuk memanfaatkan Ramadan sebagai bulan yang berkat untuk mentadabbur keindahan yang Allah ganjarkan kepada para hambaNya yang berpegang kepada ajaran al-Quran. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Bin Haji Mokhtar menyeru kepada semua pihak khususnya para penonton untuk bersama-sama melipat gandakan doa dan munajat agar terus dikurniakan nikmat iman dan Islam serta dijauhkan dari sifat kesombongan diri. 

TV AlHijrah Semarak Ramadan Dengan Program Mentadabbur Keindahan

Jelasnya lagi, para penonton juga harus cakna dan mengambil tahu isu-isu kemanusiaan serta kasih sayang dalam usaha untuk terus menyebarkan keindahan dalam kehidupan. 

“Peranan TV AlHijrah sebagai salah sebuah agensi Hal Ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) adalah untuk memberikan pendidikan kemasyarakatan kepada masyarakat agar saling berkasih sayang serta bantu membantu sepanjang bulan mulia ini. 

“Adalah menjadi hasrat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk terus melihat stesen TV AlHijrah sebagai sebuah stesen terulung dalam menyebarkan nilai-nilai Islam yang rahmah serta mesej-mesej kerajaan khususnya agenda membangun Malaysia MADANI. 

“Syukur Alhamdulillah, berkat kerja kuat serta kesungguhan seluruh warga TV AlHijrah, stesen ini sentiasa mendapat kepercayaan tinggi rakyat,”

– Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Bin Haji Mokhtar
TV AlHijrah Semarak Ramadan Dengan Program Mentadabbur Keindahan

Ujar beliau lagi, bulan Ramadan adalah bulan yang pastinya mencatatkan peningkatan jumlah tontonan di stesen TV AlHijrah. 

“Pada Ramadan 2023 yang lalu, jumlah tontonan di stesen TV AlHijrah adalah sebanyak 6.4 juta tontonan. Bagi tahun ini, sasaran peningkatan tontonan meningkat sebanyak 10 peratus, melonjak kepada 7 juta tontonan sepanjang Ramadan.

– Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Bin Haji Mokhtar
TV AlHijrah Semarak Ramadan Dengan Program Mentadabbur Keindahan

“Pada Ramadan tahun ini, TV AlHijrah akan menyiarkan sebanyak 22 rancangan Istimewa buat penonton. Pecahannya adalah 20 rancangan penerbitan dalaman dan syndicated seperti Apa Cerita Kome bersama Ustaz Dato’ Mohd Kazim Elias, Ihya Ramadan tajaan aplikasi Digital Khair oleh Qudwah Technology, Ibrah Ramadan, Camca, Sembang Moreh, Peristiwa Ramadan, Ayat Riwayat Risalah Anbiya dan banyak lagi. Manakala, terdapat satu program branded content iaitu Ehsan.

“Sebanyak 308.5 jam diperuntukkan untuk menayangkan kesemua rancangan-rancangan ini dengan peningkatan 17.8 peratus jam siaran berbanding tahun lalu,” jelasnya. 

TV AlHijrah Semarak Ramadan Dengan Program Mentadabbur Keindahan

Mohd Na’im turut menjelaskan buat pertama kalinya, TV AlHijrah akan menyiarkan drama bersiri Arab yang memaparkan kisah perjalanan hidup seorang daripada empat tokoh imam mujtahid masyhur yang membangunkan empat mazhab fiqah terbesar dalam Islam iaitu Imam Al-Syafie. 

“Drama Risalah Imam Al-Syafie ini akan disiarkan sebanyak 30 episod siaran, setiap hari, jam 6 petang. Selain itu, dua filem terbaik Ramadan yang akan ditayangkan adalah Imam dan Perjalanan Pertama.

TV AlHijrah Semarak Ramadan Dengan Program Mentadabbur Keindahan

 “Filem Imam adalah filem tempatan yang diterbitkan pada tahun 2023 arahan Mior Hashim Manap yang merupakan adaptasi novel bertajuk sama oleh novelis, Sasterawan Negara Abdullah Hussain. 

“Kita mahu mendekati penonton-penonton baharu dengan segmen filem dan drama. Program agama tidaklah terhad kepada kuliah, forum dan tazkirah semata-mata. Filem dan drama juga adalah salah satu bentuk wahana dakwah yang berkesan apabila diolah dengan baik. Ini adalah sebahagian perjuangan TV AlHijrah dalam nuansa dakwah penyiaran,” ujar beliau. 

TV AlHijrah Semarak Ramadan Dengan Program Mentadabbur Keindahan

Tambahnya, dalam memastikan anak-anak muda digerakkan agar memahami dan menghayati al-Quran, TV AlHijrah juga memperuntukkan 141 jam siaran, bagi menyiarkan empat rancangan istimewa bernadakan kalam suci Ilahi. Rancangan-rancangan tersebut adalah Syahadah al-Furqan, Khatam Ramadan, Tadarus Quran@114 dan Kapsul Taranum Challenge. 

Majlis perasmian Pelancaran Program Ramadan Mentadabbur Keindahan TV AlHijrah turut dihadiri Pengerusi TV AlHijrah, Mohd Khair Ngadiron dan Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris. 

TV AlHijrah Semarak Ramadan Dengan Program Mentadabbur Keindahan
TV AlHijrah Semarak Ramadan Dengan Program Mentadabbur Keindahan
TV AlHijrah Semarak Ramadan Dengan Program Mentadabbur Keindahan

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Jakel Lancar Kempen Raya Sakan 2024 Kini Anda Boleh Bergaya Sambil Berjimat

Berbuka Puasa di Restoran Rasa Rosz, Enak Lazat, Harga Rahmah & Berbaloi