in ,

Tiket Konsert Krisdayanti Romansa 2017 Laris Pada Saat Akhir

Makin dekat makin laris! Begitulah senario yang melanda Konsert Romansa Krisdayanti 2017 apabila tiket-tiket yang berharga RM118, RM258, RM358, RM458 dan RM588 semakin laris pada saat-saat akhir menjelang acara pada 24, 25 dan 26 Februari ini jam 8 malam di Panggung Sari, Istana Budaya.

Tanpa disangka-sangka pembelian tiket pada saat-saat akhir menunjukkan respons luar biasa apabila lebih 70 peratus tiket sudah habis dijual menerusi kaunter Box Office, Istana Budaya dan www.myticket.asia.

Krisdayanti Romansa

Menerusi Konsert Romansa Krisdayanti 2017, Krisdayanti buat julung kalinya bakal menggegarkan dunia muzik tanah air apabila bakal beraksi selama tiga malam berturut-turut pada konsert solo istimewa ini.

Krisdayanti, 42, dalam kenyataannya berkata persembahan istimewa ini adalah hadiah buat peminat yang merindui persembahannya.

“Bukan hanya lokasinya di Istana Budaya yang berprestij dan menjadi impian saya selama ini, malah konsert ini nanti adalah satu sejarah dalam kerjaya nyanyian saya sendiri kerana buat julung kalinya saya bakal mengadakan persembahan sepanjang tiga malam berturut-turut.

“Ia adalah sesuatu yang luar biasa dan teramat istimewa khususnya buat peminat muzik saya. Saya juga menjanjikan sebuah persembahan yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini dengan menampilkan kesemua karyawan muzik dari Malaysia sepenuhnya yang bakal bekerjasama dalam konsert ini. Ia begitu tersendiri, magis dan indah buat peminat saya di Malaysia nanti,” katanya.

Konsert Romansa Krisdayanti 2017 yang menampilkan 26 lagu pada setiap malam ini terbahagi kepada lima segmen iaitu Romantis, Keanggunan, Kehebatan, Kekuatan (Rock) dan Tribute (Biduanita Puan Sri Saloma & Datuk Sudirman Arshad) adalah cetusan idea, ilham dan rasa yang lahir daripada Krisdayanti sendiri sempena meraikan 19 tahun kerjaya nyanyiannya di Malaysia sejak lagu Menghitung Hari pada 1998.

Melalui konsert berdurasi dua jam setengah itu, Krisdayanti akan menyampaikan pelbagai genre lagu popularnya seperti Pilihlah Aku, Menghitung Hari, Mencintaimu, I’m Sorry Goodbye, Cobalah Untuk Setia dan Ku Tak Sanggup di bawah pimpinan pengarah muzik terkenal, Aubrey Suwito.

Selain beraksi solo, keistimewaan Konsert Romansa Krisdayanti 2017 juga menerusi artis-artis undangan popular tanah air iaitu Datuk Jamal Abdillah pada 24 Februari, Ning Baizura (25 Februari) Saleem (25 & 26 Februari) yang bakal berduet bersama Krisdayanti. Malah, penyampai radio Suria FM, Zulin Aziz juga bakal menceriakan pentas Istana Budaya pada ketiga-tiga malam dengan telatah komedinya.

Para peminat yang tidak mahu ketinggalan untuk menjadi sebahagian daripada sejarah Konsert Romansa Krisdayanti 2017 di Istana Budaya nanti masih boleh mendapatkan tiket-tiket di kaunter Box Office Istana Budaya atau di www.myticket.asia

Konsert Romansa Krisdayanti 2017 yang dibawakan oleh Neo Global Sdn Bhd dan Belbis Sdn Bhd adalah siri pertama bagi NeoBel Indulgence Series. Ia turut disokong oleh Malaysia Major Events dan Suria FM sebagai rakan radio rasmi.

Sebarang pertanyaan, sila hubungi Wahi Aziz di 013-3923070 atau Murshid Eunos di 012-2772636.

Krisdayanti Romansa

Leave a Reply

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Jihan Show Kupas Isu Semasa Golongan Wanita Dengan Cara Lawak Santai

Video Usop Mentor Milenia Trending di Youtube Malaysia