in ,

Tidak Jalani Rawatan Fisioterapi Ikut Jadual, Kesihatan Zamani Merosot

Gara-gara tidak hadir menjalani fisioterapi mengikut jadual yang telah ditetapkan, vokalis kumpulan Slam iaitu Zamani mengakui keadaan kesihatannya merosot.

Zamani berkata, dia tidak dapat hadir menjalani rawatan berkenaan beberapa kali adalah disebabkan perlu memenuhi tuntutan kerja.

“Sebenarnya kesihatan saya agak menurun sedikit sebab saya tak pergi fisio sebab banyak kerja. Jadi, banyak sesi fisio yang saya tak dapat buat.

“Namun keadaan saya masih lagi okey, cuma memang ada kesan. Misalnya, bahagian bawah pinggang saya masih lagi ada rasa sakit,” jelasnya.

Zamani berkata demikian ketika ditemui semasa sidang media Konsert Kasih Pengasih 2023 yang diadakan di Rumah Pengasih semalam.

Pada November tahun lalu, penyanyi itu telah menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit skoliosis di sebuah pusat perubatan.

Dalam pada itu, ketika ditanya bagaimana dia membiayai kos rawatan selepas pembedahan seperti fisioterapi, Zamani menyatakan dia menggunakan wang dana sumbangan orang ramai hasil penjualan tiket Konsert Doa Buat Zamani.

“Setakat ini masih ada lagi separuh wang tersebut yang masih berbaki, memang saya gunakan wang itu untuk tujuan perubatan sahaja.

“Lagipun wang dana berkenaan adalah amanah daripada orang ramai dan saya tidak akan gunakan untuk perkara-perkara lain,” jelasnya.

Sementara itu, Zamani memberitahu ketika ini dia bersama kumpulan Slam sedang giat menjalani latihan untuk konsert di Singapura yang akan berlangsung pada Jun ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Spekulasi Foto Bersanding, Rupanya Sharnaaz ‘Game’ Peminat & Rakan

Konsert Lefthanded 40-tahun Rockestra di Plenary Hall Pada 3 Jun Ini