in

THE LAST DRAGON

THE LAST DRAGON

Tajuk The Last Dragon
Tarikh Tayangan 14 April 2011
Tema Pengembaraan / Aksi / Raksasa
Bahasa Inggeris
Pelakon Jordan Chan, Sam Neill, Louis Corbett, Robert Mammone, Li Lin Jin
Pengarah Mario Andreacchio

SINOPSIS
Ia sepatutnya menjadi satu percutian yang aman dan tenteram bagi dua orang remaja; Josh dan Ling yang mengikut ibu bapa masing-masing ke sebuah tapak galian arkeologi yang membosankan di China. Namun, ketenteraman tersebut tidaklah lama apabila pelbagai kejadian aneh dan misteri berlaku di sekeliling mereka sehingga terlihat kelibat seekor “raksasa” di sebuah gua gelap yang mana pintu masuknya dilindungi oleh sebuah kuil sejak beribu-ribu tahun lamanya. Josh cuba memberitahu ayah dan juga semua orang tentang makhluk aneh tersebut namun hampa kerana mereka menganggapnya sekadar mengada-adakan cerita atau berhalusinasi. Bagi Ling pula, dia merasakan bahawa kewujudan makhluk tersebut bakal mengundang kejadian yang tidak diingini dan mula sedar bahawa, makhluk tersebut adalah seekor Naga Purba China yang terperangkap di dasar bumi kerana terpisah daripada “mutiara” ajaibnya. Apa sebenarnya yang berlaku kepada mutiara tersebut? Di manakah ianya sekarang? Apakah bahaya yang tersimpan di sebalik projek galian arkelologi yang sedang diusahakan oleh ayah Josh? Adakah mereka sahaja yang mengetahui tentang kuasa mutiara purba tersebut? Naga yang nyenyak tidur kini telah terjaga. Pertempuran hebat antara yang baik dan jahat bakal tercetus. Dan ibu bapa kedua-duanya akhirnya menyedari hakikat bahawa anak mereka sememangnya bercakap benar. Ia menjadi sebuah percutian yang pasti sukar dilupakan!

PARA PELAKON
Sam Neill
Mungkin lebih dikenali menerusi watak utama lakonannya dalam filem-filem Jurassic Park, Sam Neil memiliki kerjaya lakonan mengagumkan yang menjangkau 4 dekad lamanya. Antara filem-filem hebat lakonannya termasuklah The Hunt for Red October, The Piano, Bicentennial Man, Day breakers, The Dish, dan Legend of the Guardians: The Owls of Ga’Hoole sekadar menyebut beberapa nama. Dalam filem The Last Dragon, Sam Neill membawakan watak Dr Chris Chase, seorang pakar arkeologi ternama yang dijemput mengambil bahagian di sebuah tapak kajian arkeologi yang agak istimewa di China. Apabila anaknya Josh mengikutinya ke tapak arkeologi tersebut bagi mengisi waktu cutinya, perhubungan antara mereka yang sedia tegang teruji menerusi siri penemuan yang tak terduga dan luar biasa.

Jordan Chan
Seorang pelakon dan juga pemuzik terkenal dari China, Jordan Chan Siu-Chun telah menyertai barisan pelakon filem The Last Dragon sebagai Wu-Dong, seorang lelaki yang lucu dan bersahaja. Setelah menembusi pasaran filem menerusi filem pertamanya Twenty Something (1994), Chan semakin dikenali dan menjadi nama yang agak sinonim dalam filem bergenre ‘kumpulan kongsi gelap’, menerima pelbagai anugerah yang mengiktiraf mutu lakonannya di acara Anugerah Filem Hong Kong bagi watak-watak yang dibawakan sewaktu tempoh awal kemunculannya. Kerjaya muziknya juga begitu prolifik, dengan berjaya menerbitkan 9 buah album dalam tempoh sedekad yang lalu. Dikenali kerana pendekatan unik yang dilakukan dalam membawa pengaruh hip hop dan juga R&B ke dalam lagu bergenre pop kantonis tradisional, pendekatannya yang begitu berani menjadikannya satu nama dengan bakat besar yang wajar diberi perhatian. Chan membawakan watak Wu-dong dalam filem Dragon Pearl, penjaga kuil purba yang agak gila-gila. Ia merupakan tanggungjawab yang diwariskan turun-temurun dalam keluarganya. Wu-dong juga menjadi mentor kepada Josh (Corbett) dan Ling (Li Lin Jing) dalam membantu mereka melaksanakan tanggungjawab yang dipikul serta bersedia menempuhi apa jua cabaran yang datang.

Wang Ji
Wang Ji merupakan seorang bintang terkenal di China dengan deretan filem-filem serta siri TV yang menampilkannya dalam pelbagai watak. Watak yang paling memberi kesan dilakonkannya di luar China termasuklah: A Native of Beijing in New York (1994), Sophie’s Revenge (2008), The Karate Kid (2009) & The War of Ma Wen (2010). Wang Ji juga membawakan watak Dr Li, iaitu saintis utama yang mengetuai kumpulan arkeologi di tapak kajian. Seorang yang agak kasar namun saksama, Dr Li tidak sangat serius dengan kerjanya namun sentiasa sabar dan sering menggalakkan orang-orang di sekelilingnya untuk melakukan yang terbaik. Sifat sebeginilah yang membuatkan dirinya disayangi oleh semua kakitangannya di tapak kajian tersebut termasuklah anak perempuannya Ling (Li Lin Jin).

Li Lin Jin
Li Lin Jin merupakan seorang bintang yang sangat peramah dan ini telah membantunya memberikan persembahan yang sangat hebat menerusi filem pertama lakonannya, The Last Dragon. Dia telah belajar menari, menyanyi dan berlakon sejak kecil lagi sehingga digelar “bintang baru yang bakal meningkat naik”. Bintang muda ini membawakan watak Ling, iaitu anak perempuan kepada seorang saintis di tapak kajian tersebut iaitu, Dr Li (Wang Ji). Bosan dengan kerenah rakannya Josh (Corbett), Ling senantiasa bersedia mahu membantu dan kehadiran Wu-dong yang dilihat agak mencurigakan di tapak kajian arkeologi, membuatkannya sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan kebenaran tentang sesuatu isu. Dia memerlukan bantuan bagi melaksanakan misinya dari siapa lagi kalau bukan Josh.

Louis Corbett
Salah seorang bintang berbakat dalam filem ini adalah Louis Corbett yang sebelum ini pernah membintangi filem Charlotte’s Web (2006) serta beberapa buah lagi filem di bawah produksi dari Australia. Corbett membawakan watak Josh Chase, anak kepada Dr Chris Chase (Sam Neill), yang sedang bercuti di China lalu menyertai bapanya yang bekerja di sebuah tapak kajian arkeologi. Bergabung dengan seorang gadis Cina yang degil namun bijak Ling, mereka menyingkap satu misteri yang cukup hebat yang telah tersembunyi sejak berkurun lamanya. Malangnya, penemuan tersebut membuatkan mereka terperangkap dalam kancah perebutan harta purbakala yang mengancam keselamatan mereka.

Dragon
Jika naga dari Barat digambarkan sebagai makhluk jahat yang memuntahkan api dari mulutnya dan tinggal di dalam gua dan mesti dihapuskan, naga dari China pula adalah sebaliknya. Naga China adalah makhluk yang budiman, memberikan para Maharaja kuasa yang dimiliki mereka, serta mewakili segala macam jenis kuasa alam semulajadi. Naga China seringkali digambarkan bersama-sama dengan mutiaranya yang berkilauan, simbol kekuasaan dan pengetahuan. Terdapat 9 jenis naga dalam kepercayaan masyarakat Cina. Naga Emas merupakan naga yang paling baik hati dan berkuasa. Naga yang dipaparkan dalam filem ini adalah Naga Emas. Terdapat banyak gambaran grafik tentang naga yang mana ianya berbeza-beza bergantung kepada lokasi serta kewujudannya dalam tempoh masa tertentu dalam sejarah.
Cabarannya adalah untuk menggambarkan bagaimana rupa naga yang sebenar dalam sebuah filem aksi. Bukan hanya pada rupabentuk fizikalnya, malah pergerakannya serta bunyi yang dihasilkannya juga perlu direalisasikan. Filem ini diberi kelulusan rasmi oleh kerajaan negara China dan badan-badan perfilemannya untuk menghasilkan imej naga dalam bentuk CGI dengan menggunakan khidmat pakar dari Barat yang dibantu penasihat-penasihat dari China.
Imej naga tersebut dihasilkan oleh Rising Sun Pictures, yang terlibat dalam pembikinan filem-filem hebat seperti Harry Potter, Batman, Spiderman, Lord of The Rings, The Green Lantern dan banyak lagi.

RINGKASAN PRODUKSI
Produksi Bersama
The Last Dragon merupakan sebuah filem usahasama Australia dan China. Produksi usahasama berdasarkan perjanjian adalah di mana 2 penerbit dari 2 buah negara, tertakluk kepada undang-undang antarabangsa, sama-sama bersetuju untuk menerbitkan sebuah filem menerusi persefahaman dalam aspek kebudayaan, kreativiti dan juga pembiayaan kewangan. Produksi akhirnya bakal menyatakan dengan jelas bahawa filem tersebut adalah sebuah filem produksi China keseluruhannya dan juga filem Australia keseluruhannya.

Lokasi-Lokasi
Penggambaran filem ini dilakukan sepenuhnya di Hengdian World Studios, China yang merupakan kompleks studio terbesar di dunia dengan keluasan binaan set melebihi 3 juta meter persegi. Terdapat juga lokasi-lokasi lain di sekitar Hengdian yang digunakan. Hengdian terletak sejauh 4 jam perjalanan dengan kenderaan dari arah Utara Shanghai di wilayah Zhejiang. Kesemua pasca poduksi walau bagaimanapun dilakukan di Adelaide, Australia Selatan. CGI dan kesan khas dipertanggungjawabkan kepada dua buah syarikat berpengkalan di Adelaide, Rising Sun Pictures dan Convergen.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Shahir Pakai Ala Urban Korean di ABPBH2010

Gambar Dynas Mokhtar di Anugerah Bintang Popular 2010