in

Nabil Ahmad Jadi Pengarah Filem Komedi Seram THE HANTUS

Koleksi Kisah Hantu ‘Seram, Viral & Popular’ Dizahirkan Dalam Satu Naskhah Hebat

Pengacara versatil, Nabil Ahmad pertaruh bakat mengarah menerusi Filem TV (FTV) sulung bergenre komedi-seram

Barisan pelakon dan penerbitan The Hantus bersama Sharmin Parameswaran dari Astro

Dari hari ke hari, perjalanan seni figura ini terus diwarnai dengan pelbagai peranan menarik. Terbaharu, pengacara dan pelakon serba boleh, Nabil Ahmad mengorak selangkah lagi apabila buat julung kalinya menghasilkan sebuah Filem Televisyen (FTV) berjudul ‘The Hantus’ khas untuk siaran Astro First Eksklusif (saluran 480) mulai 15 Jun 2018.

Alif Satar menampilkan lakonan cukup hebat dalam The Hantus

Menggalas beberapa tanggungjawab utama di belakang tabir sebagai Penulis Skrip dan Penerbit, Nabil turut bertindak sebagai Pengarah Bersama di samping Pengarah; Helmi Yusof.

FTV yang bergenre komedi-seram ini diinspirasikan dari kisah-kisah hantu seram, popular dan viral termasuklah cerita ‘Volkswagen Kuning’, ‘Hantu Kak Limah’ dan ‘Kisah Seram & Misteri Taman Mimaland’. Berlatarkan skrip dan plot penceritaan yang kuat, ‘The Hantus’ diperhebatkan lagi dengan penampilan barisan selebriti popular seperti Faizal Hussein, Alif Satar, Hannah Delisha dan Khatijah Tan yang memegang watak utama untuk naskhah ini.

Barisan pelakon The Hantus - Hannah Delisha, Faizal Hussein, Alif Satar, Namron dan Khatijah Tan (2)

INFO PENTING BERKENAAN ‘THE HANTUS’

1. ‘The Hantus’ memaparkan sisi berbeza ‘sekumpulan hantu’ yang bakal membuat anda terhibur dan tidak kering gusi. Jika sebelum ini, kebanyakan filem-filem bergenre seram yang dihasilkan sinonim dengan babak-babak dan plot penceritaan yang menakutkan serta mengerikan. Namun begitu, Nabil tampil segar dengan pendekatan yang berbeza dan tidak klise apabila menggabungkan elemen komedi dan seram dalam FTV pertama terbitan syarikat KMN Production Sdn. Bhd.

2. Walaupun mempertaruhkan genre komedi-seram, Nabil turut menerapkan faktor unik apabila mengangkat kisah cinta sebagai latar utama ‘The Hantus’.

Di antara barisan pelakon dan tenaga kerja The Hantus

3. ‘The Hantus’ yang berdurasi 90 minit ini dihasilkan dalam lima (5) bab yang berhubung kait di antara satu sama lain. Dimulakan dengan Bab Pertama yang menceritakan kisah seorang individu yang dilahirkan pekak dan bisu, ‘Din Pekak’. Beliau yang bekerja sebagai seorang pemandu bas ekspres telah terlibat dalam kemalangan ngeri ketika membawa penumpang dari Genting Highlands, melalui lebuh raya Karak. Kemalangan tersebut telah menyebabkan semua penumpang termasuk pemandu terkorban di tempat kejadian kecuali Fami (lakonan Alif Satar). Fami, ‘terjaga’ dalam keadaan berlumuran darah dan mendaki bukit menuju ke jalan besar untuk meminta bantuan.

4. Bab Kedua pula menampilkan kisah ‘Abang Volkswagen Kuning’, yang diinspirasikan dari sebuah kisah misteri yang dikatakan sering menganggu pengguna jalan raya yang melalui lebuh raya Karak. Fami yang terlibat dalam kemalangan sebentar tadi telah melambai tangan dan menjerit meminta bantuan kereta-kereta yang memandu melepasi lebuh raya tersebut, namun tiada satu pun berhenti untuk membantu. Sehinggalah sebuah Volkswagen Kuning berhenti di bahu jalan, menghampiri Fami. Pemandu Volkswagen Kuning tersebut (lakonan Faizal Hussein) merupakan jelmaan atau hantu, namun Fami tidak menyedarinya. Sama seperti beliau tidak menyedari yang beliau kini berada di ‘persimpangan’ di antara dua kehidupan; dunia dan alam barzakh.

IMPORTANT - The Hantus final poster

5. Abang Volkswagen kemudiannya membawa Fami ke satu tempat dan memperkenalkan beliau dengan ‘rakan-rakannya’, yang mana salah seorang darinya adalah ‘Kak Pon’ atau Pontianak (lakonan Khatijah Tan), yang diinspirasikan dari cerita ‘Hantu Kak Limah’. Bab Ketiga menceritakan momen gembira Fami bersama ‘rakan-rakan barunya’ ini di sebuah taman yang digambarkan seakan-akan taman tema pertama di Malaysia, ‘Taman Mimaland’ yang dikatakan berhantu kerana pelbagai perkara misteri berlaku di situ sejak ianya ditutup pada tahun 1994.

6. Di situ, Fami berkenalan dengan ‘Dhiya’ (lakonan Hannah Delisha), Babak Keempat ‘The Hantus’. Dhiya merupakan seorang gadis cantik yang terlibat dalam kemalangan tragik dan mengalami kematian otak. Fami mula menyukai Dhiya dan mereka kemudiannya jatuh cinta. Secara kebetulan, Fami dan Dhiya kini perlu sentiasa bersama kerana Dhiya dilihat akan jatuh pengsan setiap kali Fami berada jauh darinya. Fami juga kerap diserang sakit di bahagian hatinya, tanpa sebarang sebab. Setelah mengenali Dhiya dengan lebih rapat lagi, Fami kini mendapat tahu bahawa Dhiya merupakan penyumbang organ hati untuk beliau. Hati Fami telah mengalami kerosakan sepenuhnya oleh kerana kemalangan nahas yang dialaminya.

7. Babak Kelima pula menyorot kembali kisah ‘Fami’ sendiri dan bagaimana beliau berada di dalam bas ekspres yang dipandu Din Pekak sehingga terlibat dalam kemalangan dan jatuh ke dalam gaung, sehingga bermulalah ‘perjalanan misteri’ beliau ke alam ghaib.

8. Keseluruhan penggambaran ‘The Hantus’ telah diadakan di lokasi-lokasi utama sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka. Sesi penggambaran telah berlangsung selama 14 hari.

9. Bagi mewujudkan suasana tahun 70-an dan 80-an yang cukup terkenal dengan tapak pesta ria bergerak atau ‘funfair’, sesi penggambaran turut diadakan di sebuah lokasi ‘funfair’ di Rawang, Selangor selama 3 hari, yang mana telah membabitkan dua buah bas dan sebuah kereta.

10. Untuk menampilkan kelainan dan memastikan hasil akhir dizahirkan dengan penuh berkualiti, ‘The Hantus’ turut menggunakan khidmat lebih dari 120 orang pelakon tambahan bagi membantu menghidupkan babak-babak yang berkaitan.

11. Menyedari akan kesesuaian lagu-lagu yang dipersembahkan oleh sekumpulan pemuzik muda yang semakin menempa nama, ‘Kugiran Masdo’ dengan plot penceritaan ‘The Hantus’ yang berlatarbelakangkan tahun 70-an, lagu ‘Pesta Muda Mudi’ nyanyian kumpulan ini telah dijadikan lagu latar FTV ini.

PETIKAN KENYATAAN WAKIL ASTRO & PRODUKSI

Sharmin Parameswaran, Ketua Saluran Astro First Eksklusif & Astro Best:

Walaupun ini merupakan FTV arahan Nabil Ahmad yang pertama di mana beliau turut bergandingan bersama pengarah berpengalaman, saudara Helmi Yusof, Nabil dilihat berjaya menghasilkan sebuah karya yang kami rasakan cukup hebat dan mampu memenangi hati penonton. ‘Forte’ atau kelebihan beliau dalam bidang lawak ternyata dimaksimumkan dalam naskhah ini. Gabungan pelakon muda dan lama ternyata menjadi dan masing-masing mempamerkan komitmen jitu dalam projek ini. Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat.

Dalam pada itu, kami di Astro First Eksklusif begitu teruja menantikan respons para penonton apabila ‘The Hantus’ ditayangkan bermula pada hari pertama Aidilfitri ini. ‘The Hantus’ merupakan sajian yang paling sesuai di musim perayaan kerana rumah anda akan dimeriahkan dengan gelak ketawa ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai yang bakal berkunjung. Justeru, jangan lupa melanggan ‘The Hantus’ mulai 15 Jun ini.

Nabil Ahmad, Penerbit, Penulis Skrip dan Pengarah Bersama ‘The Hantus’:

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Astro First Eksklusif kerana memberi peluang kepada saya merealisasikan penulisan saya. Saya juga ingin berterima kasih kepada pelakon-pelakon yang telah memberi komitmen yang cukup hebat sepanjang penggambaran dan semestinya kepada KMN Production yang sentiasa menjadi tulang belakang saya sepanjang saya bertungkus lumus menyiapkan ‘The Hantus’.

Alhamdulillah, dengan berkat doa kedua-dua ibubapa saya, satu lagi cabang kerjaya telah berjaya saya terokai. Pengalaman saya kali ini dapat mengarah bersama seorang sutradara yang cukup hebat, saudara Helmi Yusof, betul-betul menjadi satu pengalaman yang cukup bermakna dan amat saya hargai.

Saya mengharapkan ‘The Hantus’ akan menjadi sebuah naskhah yang boleh membuat semua penonton terhibur dan sentiasa mendoakan saya dan KMN Production untuk terus berkarya dan menghasilkan kandungan-kandungan yang hebat lagi bermutu tinggi di masa hadapan, Insha Allah. Akhir kata, kepada keluarga tercinta, Zira, Mika dan Babyna, ini adalah hadiah istimewa untuk anda semua! Terima kasih kerana sentiasa menyokong!”

BUTIRAN SIARAN

‘The Hantus’ bakal bersiaran di Astro First Eksklusif, saluran 480 mulai 15 Jun 2018 (Jumaat), bersempena dengan sambutan Aidilfitri yang akan datang ini. Dengan hanya RM 15.00, penonton boleh menonton ‘The Hantus’ dengan berulang kali dalam tempoh 48 jam (2 hari) dari waktu pembelian. Untuk pilihan yang lebih fleksibel, ‘The Hantus’ boleh turut didapati menerusi platform digital, ‘on demand’.

What do you think?

73 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Iklan Raya TNB 2018 – Rumah Epik Fantastik Trending di Youtube Malaysia

Bahana Drama Nur, Sup Bunjut Jadi Trending