in , ,

THE BIG LOL SHOW Kembali Dipentaskan Bulan Jun Ini Bersama Artis Popular Asia!

Dibarisi Joanne Kam, Kumar, Jo Kukathas, Kuah Jenhan, Vince Chong, Prakash Daniel dan Yazmin Aziz, THE BIG LOL SHOW yang akan diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 16, 17 dan 18 Jun 2022 menjanjikan persembahan istimewa yang bakal mencuit hati penonton terutamanya peminat komedi di Asia.

Selepas melalui tempoh kemarau selama dua tahun tanpa sebarang acara seni yang dianjurkan secara besar-besaran, LOL Asia kini bersedia untuk kembali dengan acara komedi gilang gemilang menerusi THE BIG LOL SHOW

Dinamakan ‘THE COMEBACK’, acara komedi tahunan paling gempak ini akan diadakan pada 16, 17 dan 18 Jun 2022 di venue terbaru bertaraf antarabangsa di Bukit Bintang, Zepp Kuala Lumpur (Zepp KL). 

TBLOLS Poster Final

Kali terakhir THE BIG LOL SHOW dipentaskan adalah pada tahun 2019 dan menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada peminat-peminat komedi tempatan. Tahun ini, untuk meraikan pembukaan semula industri kreatif di Malaysia, LOL Asia bakal menampilkan pelawak-pelawak serta vokalis terbaik di rantau ini yang terdiri daripada Joanne Kam, Kumar, Jo Kukathas, Kuah Jenhan, Vince Chong, Prakash Daniel dan Yazmin Aziz. 

Joanne Kam
Joanne Kam

Berbekalkan material baru, setiap persembahan yang disajikan mempunyai tarikan mereka yang tersendiri dan menjanjikan pengalaman menarik yang bakal menghiburkan para penonton yang hadir di acara ini.

“Saya telah menanti selama tiga tahun untuk merasai detik ini”, ujar Kumar – pelawak stand-up popular Singapura yang juga amat diminati di Malaysia.

“Pengalaman ketika membuat persembahan terakhir di Malaysia pada 2019 amat mengujakan, dan saya berasa sangat terharu kerana diberi peluang sekali lagi untuk membuat persembahan bersama barisan artis-artis hebat di THE BIG LOL SHOW bulan Jun ini. Saya amat berterima kasih kepada LOL Asia kerana menjemput saya dan ianya merupakan penghormatan yang besar untuk saya kerana bakal membuat persembahan bersama pelawak-pelawak serta penyanyi-penyanyi terkemuka Malaysia yang turut saya minati. Saya pasti acara ini akan menghangatkan Zepp KL dan memberikan impak besar – bukan sahaja untuk para penonton tapi pastinya kami yang membuat persembahan pun akan turut bergelak ketawa bersama mereka”.

Vince Chong
Vince Chong

Rizal Kamal, Ketua Pegawai Eksekutif LOL Asia dan Penerbit THE BIG LOL SHOW berkata, “Barisan artis ini bagaikan impian yang telah menjadi nyata bagi saya dan saya tidak sabar untuk para penonton menikmati persembahan komedi pertama di venue baru bertaraf antarabangsa, Zepp KL. Acara ini dinamakan THE COMEBACK atas beberapa faktor tetapi antara sebab utamanya adalah ini akan menjadi pentas terbesar untuk artis-artis ini membuat persembahan bersama setelah negara kita memasuki fasa endemik. Di LOL Asia,kami sangat berbangga kerana dapat mengumpul artis-artis ini untuk menghibur para penonton di Malaysia setelah sekian lama mereka tidak disajikan dengan acara komedi berskala besar seperti ini sepanjang pandemik.”

Prakash
Prakash

Jelas Rizal, “Kumar, Joanne Kam dan Prakash sudah bersedia untuk menghiburkan kita semua dengan komedi stand-up dalam stail mereka tersendiri. Untuk semua yang mengenali Jo Kukathas, dia akan berganding bahu bersama Kuah Jenhan untuk membawa semula karakter YBeeee yang begitu disayangi ramai di dalam sketsa mereka. Para penonton turut diberi peluang untuk menikmati acara komedi muzikal daripada Vince Chong dan Yazmin Aziz yang berbakat di dalam produksi berasaskan media sosial. Saya tidak sabar untuk menonton penampilan sulung Yazmin Aziz, finalis Big Stage 2022, di dalam persembahan teater secara langsung dan juga Kumar yang akan kembali ke Malaysia untuk menghiburkan kita semua dengan aksi lawaknya. Harapan kami di LOL Asia adalah supaya para peminat komedi tanahair akan datang dan menyokong acara ini kerana bagi kami, ini seakan surat cinta kami kepada mereka semua setelah lebih dua tahun menyepi disebabkan oleh pandemik yang melanda.”

LOL Asia juga bertanggungjawab dalam penganjuran KONSERT ENDEMIK oleh SEARCH dan mereka juga telah merancang secara aktif persembahan-persembahan berskala besar dengan kolaborasi bersama Zepp KL lantas menyumbang ke arah pembukaan semula ekonomi kreatif di Malaysia.

Tiket untuk THE BIG LOL SHOW akan mula dijual pada 13 Mei 2022, dan harga bermula dari RM200. Untuk maklumat lanjut berkaitan tiket, sila ke lolasia.bigtix.io

#THEBIGLOLSHOW2022 #LOLASIAZEPPKL #THECOMEBACKBIGLOLSHOW

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Baby Shima Lancar Single Raya Berjudul PULANG Meriahkan Raya Tahun 2022

Debat Perdana Najib & Anwar Di Awesome TV Catat 1 Juta Tontonan!