in , ,

Temubual Bersama Kamelia, Bakat Baru Yang Menyerlah Dalam Drama TETUAN ANG DAN RAHIMIN 

Memperkenalkan Kamelia Mustaffa yang merupakan bakat baru dalam dunia lakonan. Berusia 24 tahun dan berasal dari Selangor. Berlatarkan pendidikan B. Ed Degree in TESL, UM. Ikuti temubual ringkas ini.

  • Kamelia muncul dalam drama terbaru Astro bertajuk Tetuan Ang dan Rahimin dengan membawakan watak Karina, boleh cerita tentang karakter yang dibawakan?

Saya membawakan watak Karina yang merupakan seorang peguam senior yang bekerja lebih 7 tahun. Karina merupakan seorang peguam yang sofistikated, bijak dan sangat tegas. Karina merupakan idola kepada watak Budi lakonan Daiyan Trisha. Karina  merupakan individu yang membawa Budi ke dalam Tetuan Ang Dan Rahimin.

Kamelia
  • Apa perkara paling mencabar dan menarik sepanjang penggambaran Tetuan Ang dan Rahimin? 

Saya dapat berlakon menjadi peguam. Ibu dan saya selalu berbahas sampai ibu pernah kata yang saya patut jadi peguam. Here’s Karina.  Perkara paling mencabar dan saya suka melalui Tetuan Ang dan Rahimin ini ialah saya dapat berlakon dengan pelakon senior dan berpengalaman seperti Rashidi Ishak, Ben Amir, Daiyan Trisha, Ellyas Abdullah dan Anita Baharom. Saya tahu yang saya akan berlakon dengan mereka, jadi saya perlu ‘keep up’ dan itulah cabaran besar serta megujakan sepanjang proses pembelajaran saya.

  • Jika dilihat dari komen-komen penonton, ramai yang memuji lakonan Kamelia. Kata mereka, lakonan tak kayu. Apa reaksi anda?

Saya sangat bersyukur. Apa yang penonton komen merupakan apa yng mereka nampak dalam skrin dan itulah apa yang saya sudah usahakan untuk bawa watak Karina dengan baik. 

  • Apa pengalaman atau ‘background’ Kamelia dalam lakonan? Kerana ramai yang memuji lakonan sebagai Karina.

Secara praktikal, ini kali kedua saya muncul dalam skrin TV sebagai pelakon. Sebelum ini saya muncul dalam drama iTanggang sebagai pelakon tambahan. Dari situ, pengarah nampak dan tawarkan saya untuk drama Tetuan Ang dan Rahimin. Saya pernah beberapa kali terlibat dengan berlakon teater sewaktu di Universiti. Di situlah saya berlatih lakonan di atas pentas. 

  • Selain lakonan, penonton juga ada memberi komen tentang wajah Kamelia yang seakan-akan Youtubers terkenal iaitu Che Nom, apa komen Kamelia?

Saya berterima kasih atas pujian dan kaitan dengan wajah tersebut. Semoga skil memasak saya boleh jadi hebat seperti Che Nom. 

  • Pengarah dan pelakon yang diminati.

Ramai pelakon yang saya minat antaranya Lisa Surihani , Maya Karin dan Dato’ Rosyam Nor serta Beto Kusyairy. Pengarah pula saya minat Wan Hasliza dan dan Abang Alak (Wan Alauddin). 

Kamelia

Tentang Tetuan Ang dan Rahimin 

Drama rantaian ‘Tetuan Ang & Rahimin’ merupakan hasil terbitan KL Motion Pictures Company Sdn. Bhd. mengisahkan selok-belok dalam dunia guaman yang jarang dipertengahkan dalam industri drama tempatan kita.

Penceritaan menerusi 20 episod ini mengisahkan dunia guaman yang banyak pancarobanya,apatah lagi jika peguamnya muda dan tidak berpengalaman. Saksikan peguam baru, Budi yang cuba menyesuaikan diri dalam dunia guaman yang baru dan dalam masa yang sama cuba untuk menyatukan Rahimin & Ang dalam menyelamatkan firma mereka daripada bekerja dengan ketua samseng. Mampukah Budi mengharungi cabaran kes-kes firmanya serta karenah anak-anak guamnya?

Drama yang berlatarbelakangkan undang-undang ini dibintangi pelakon sensasi Daiyan Trisha sebagai Budi dan Ben Amir sebagai Rahimin serta pelakon berpengalaman, Rashidi Ishak sebagai Ang. Drama ini turut didukung oleh Anita Baharom dan Ellyas Abdullah.

Manakala gandingan Wan Hasliza Wan Zainuddin dan Wan Alauddin Wan Zainuddin pula menggalas tugas sebagai pengarah.

Drama ‘Tetuan Ang & Rahimin’ akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis,jam 11.00 malam mulai 14 Februari 2022 secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

SINOPSIS TETUAN ANG DAN RAHIMIN

Sebuah firma guaman berhadapan dengan masalah kewangan apabila Karina membuat keputusan untuk meninggalkan firma tersebut dan membawa klien mereka bersamanya.

Peguam muda dan baru, Budi, berusaha untuk membantu peguam Ang & Rahimin supaya firma mereka dapat terus beroperasi. Suasana menjadi huru-hara apabila seorang ketua samseng mengupah mereka untuk melindungi operasi haramnya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Nas Iffat Ordersini | 22

Platform Ordesini Terbukti Berjaya Membantu Ramai Usahawan E-Dagang

Fatia

TikTok Memperkenalkan Artis TikTok Pertama, Fatia