in ,

Telemovie Di Pintu Barzakh Lakonan Anding AF

TELEMOVIE MALAM RAYA DI RTM : DI PINTU BARZAKH UNDANG KEINSAFAN PENONTON

Telemovie yang sarat dengan pengajaran berguna dan mampu memberikan keinsafan kepada penonton menjadi pilihan saluran TV untuk disiarkan pada malam menjelang raya. Malah kekuatan plot sesebuah cerita itu mampu mengundang tangisan keinsafan kepada yang menonton walaupun tujuan sebenarnya bukanlah mahu ‘membunuh’ perasaan teruja menyambut lebaran yang tiba.

Nyata Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak terkecuali daripada mengambil pendekatan sama dengan menyiarkan sebuah drama menyentuh hati yang realitinya berlaku dalam masyarakat kita bertajuk Di Pintu Barzakh lakonan hebat Anding AF, Sahronizam Noor, Safura Yacob dan Ku Mohd Yusri.

Bakal menemui penonton pada 30 Ogos 2011, jam 1.00 pagi di TV1, plot ceritanya berlegar sekitar kisah pertentangan di antara baik dan jahat seorang pondan yang telah menjalani pembedahan, Lisa (nama asalnya Alias) ketika berada di dalam koma akibat cedera parah setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Cerita bermula apabila Lisa dalam perjalanan menuju ke lapangan terbang. Dia dan pasangannya Badrol telah membuat keputusan untuk berkahwin di luar negara. Dalam perjalanan tersebut, mereka telah terlibat dalam kemalangan. Badrol cedera ringan tetapi Lisa parah dan koma.

Insiden yang menimpa Lisa telah menggemparkan kedua ibu bapanya, Rahman dan Salmah. Mereka keliru. Apakah Lisa adalah Alias? Satu-satunya anak lelaki mereka yang telah lari meninggalkan rumah lapan tahun lalu setelah satu hari Rahman membelasahnya? Doktor yang merawat Lisa pula mengesahkan Lisa adalah perempuan dan jika benar seperti dakwaan Rahman, maka Alias telah melakukan pembedahan jantina untuk menjadi Lisa.

Ketika Rahman dan Salmah berperang dengan kemelut untuk mempastikan sama ada anak mereka lelaki ataupun perempuan, Lisa yang koma pula berperang dalam diri sendiri. Alias bertegas mengatakan Lisa adalah dirinya – seorang lelaki. Manakala Lisa pula mendakwa jiwa dan perasaannya adalah perempuan. Mereka saling menyalahkan. Malah Alias sendiri sebenarnya tidak setuju apabila Lisa mengambil keputusan untuk ke Jerman untuk melakukan pembedahan jantina. Bagaimanapun atas dorongan seorang teman, Alias kalah dengan keinginan Lisa.

Alias cuba mengajak Lisa ke pangkal jalan. Namun Lisa merasakan kehadirannya sebagai lelaki telah menjadi objek cacian dan hinaan seluruh keluarganya. Alias mengimbas detik-detik Rahman membelasahnya apabila dia mencalit lipstik ke bibirnya. Bukan sahaja dibelasah, malah Rahman turut menghalau Alias kerana dianggap memalukan keluarga. Alias melarikan diri dan ketika keseorangan di Kuala Lumpur, dia berkenalan dengan Hisyam (seorang lelaki lembut).

Dari situ bermulalah kehidupan Alias sebagai Lisa. Semakin hari, identiti Alias semakin hilang dan apabila Lisa berkenalan dengan Elis, seorang pondan yang telah melakukan pembedahan jantina, Lisa mula membuat keputusan nekad untuk menurut jejak Elis. Alias dan Hisyam kesal dengan sikap Lisa tetapi Lisa menempelak Alias dengan mengatakan kehadiran Alias tidak diperlukan oleh keluarga. Alang-alang menjadi anak buangan, Lisa rela melupuskan terus identiti Alias dalam kehidupannya.

Rahman tidak menduga sejauh itu Alias bertindak. Dia bukan sahaja malu dengan apa yang telah dilakukan oleh Alias, namun mula memikirkan bagaimana jika Alias meninggal dunia. Siapakah anaknya itu yang sebenarnya? Alias atau Lisa? Bagaimanakah jenazahnya akan diuruskan? Dengan cara lelaki atau perempuan?

Saksikan kesudahannya malam raya ini hanya di TV1.

Telemovie Di Pintu Barzakh

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

DiGi Super Reload Social Impian Buddyz Promotion

Senarai Program Menarik di RTM Sempena Merdeka Raya