in ,

Telefilem Tunggu Sekejap Lakonan Fizo Omar & Eira Syazira

Telefilem arahan Along Kamaluddin bertajuk Tunggu Sekejap yang membariskan pelakon popular Fizo Omar, Hasnul Rahmat, Eira Syazira dan Nasir Bilal Khan menjadi pembuka tirai slot Tribute P.Ramlee yang mula menemui penonton Radio Televisyen Malaysia (RTM), 4 November, Ahad ini, jam 9.00 malam menerusi saluran TV1.

Berlatarkan kisah cinta dua darjat, telefilem terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd ini mengisahkan Adli ke rumah Amirah untuk memberitahu kekasihnya itu dia telah diterima melanjutkan pelajaran ke universiti di luar negara.

Tetapi malangnya kehadiran Adli ditolak mentah-mentah oleh bapa Amirah, Pak Manan yang menganggap Adli tidak setaraf dengan keluarga mereka yang berada.

Walaupun teruk dipukul oleh Pak Manan namun Adli tetap mahu berjumpa dengan Amirah. Begitu juga Amirah walaupun telah kurung oleh ayahnya tetapi dia tetap cuba mahu membebaskan diri mahu bertemu dengan Adli.

Slot Baharu Tribute P.Ramlee : Telefilem “Tunggu Sekejap” Temui Penonton TV1

Adli nekad mengubah kehidupannya saat dihina oleh Pak Manan yang menganggap kemiskinan Adli tidak mampu membahagiakan anaknya. Hinggalah mereka bertemu buat kali terakhir di stesen keretapi ketika Adli mahu berangkat ke Kuala Lumpur. Amirah berjanji akan menunggu kepulangan Adli.

telefilem Tunggu Sekejap

Tiga bulan selepas pemergian Adli berjaya merubah segalanya. Amirah telah dilamar oleh Fuad, anak penghulu kampung. Tetapi dia dengan tegas menolak pinangan tersebut dan tindakannya itu menimbulkan kemarahan ayahnya. Begitu juga dengan Tok Penghulu sekeluarga yang menganggap Amirah telah memalukan mereka kerana menolak pinangan Fuad.

Satu hari Fuad nekad membalas dendam dan menggunakan cara kotor mahu mendapatkan Amirah. Dia menodai Amirah yang kemudiannya disahkan mengandung. Fuad berterus-terang kepada Pak Manan tentang perbuatannya. Pak Manan tiada ada jalan lain terpaksa mengahwinkan Amirah dengan Fuad.

Perkahwinan tersebut sedaya upaya dirahsiakan daripada pengetahuan Adli kerana tidak mahu pengajiannya terganggu. Amirah masih membalas surat dan email Adli seperti biasa seolah-oleh tiada apa yang berlaku. Namun satu hari Fuad terbaca email Adli dan memukul Amirah yang dianggap curang. Amirah kemudiannya keguguran setelah diterajang oleh Fuad.

Tindakan Fuad membawa Amirah tinggal bersamanya di Kuala Lumpur menambah duka dalam hidup Amirah. Dia diseksa dengan teruk oleh Fuad dan dipaksa melayan nafsu kawan-kawannya. Di depan keluarga mentuanya, Fuad bijak menyembunyikan rahsia kejahatannya. Namun bila segalanya terbongkar, Pak Manan telah dipukul dengan teruk oleh Fuad. Pak Manan jatuh sakit dan teringin memohon maaf daripada Adli atas kesilapannya dulu.

Saat Adli pulang ke kampung barulah dia menyedari segalanya telah jauh berubah. Dia yang tidak mengetahui situasi sebenar menuduh Amirah curang dan tidak setia. Amirah pula menjadi mangsa keadaan apabila Adli enggan mendengar penjelasannya. Lalu bagaimanakah kesuadahannya? Adakah semudah itu untuk Fuad membenarkan keduanya menjalin kembali hubungan cinta mereka yang terputus di tengah jalan?

Bakal menyusul kemudiannya telemovie Getaran Jiwa (Michael Ang); Miang Buloh Keladi Birah (Bade Hj Azmi); Di Mana Kan Ku Cari Ganti (Osman Ali); Siapa Tipu Siapa (Aziz M. Osman); Jodoh Kita (Ismail Yaacob); Titisan Kasih (Rashid Sibir); Pelamin Di Pusara (Murali Abdullah); Hanya Dikau (Amie Maziah) dan Selagi Cinta Berzikir (Eirma Fatima) mengisi slot sama menampilkan pengarah-pengarah terkenal tanah air yang akan berentap untuk menghasilkan karya terbaik mereka pada Malam Anugerah P.Ramlee dijangka berlangsung tahun depan.

Penghasilan 10 telefilem mengisi slot Tribute P.Ramlee memaparkan plot cerita dan tajuk yang diolah daripada tajuk lagu dan senikata lagu yang pernah dicipta dan dinyanyikan legenda perfileman negara itu.

FIZO OMAR & EIRA SYAZIRA dalam Tunggu Sekejap
babak dalam Tunggu Sekejap

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Malam Premiere Filem Skyfall 007 di Royal Albert Hall London

Gambar Pelakon Filem Kahwin 5