in

Teater Tun Dr Siti Hasmah

SELAMA ini ramai yang mengenali Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali sebagai isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia yang keempat iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, isteri PM, Teater Tun Dr. Siti Hasmah, Sofea Jane, Lisa Surihani, Erra Fazira, Erma Fatima, Adlin Aman Ramlie,

Namun, tidak ramai yang mengetahui bahawa tokoh negarawan yang kini berusia 86 tahun itu mencipta sejarah sebagai doktor wanita Melayu pertama di negara ini.

Dengan peranan sebagai seorang doktor telah memberi peluang kepada beliau menaburkan khidmat dan baktinya kepada masyarakat, terutamanya buat penduduk luar bandar.

Maka, sebagai langkah supaya orang ramai dapat lebih mengenali sisi hidup isteri bekas Perdana Menteri ini, World Islamic Network Television mengambil inisiatif dengan menerbitkan sebuah teater berjudul Tun Dr. Siti Hasmah yang akan dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Menariknya, watak sebagai tokoh negarawan itu akan digalas oleh dua orang pelakon hebat iaitu Datin Sofia Jane dan Lisa Surihani yang menggantikan Erra Fazira. Erma Fatima pula bertanggungjawab sebagai pengarah, menggantikan posisi pengarah asal, Adlin Aman Ramlie.

Bagi Sofia, peluang membawakan watak sebagai Siti Hasmah dalam pementasan teater tersebut sangat bermakna buat dirinya. Dia sendiri sangat teruja untuk mendalami karakter tokoh wanita kelahiran Klang, Selangor itu.

“Beliau merupakan tokoh yang begitu saya kagumi kerana tanggungjawab yang dipikulnya sebagai seorang isteri pemimpin, doktor dan ibu. Saya rasa ia bukanlah satu tanggungjawab yang mudah buat seorang wanita.

“Malah, ramai generasi sekarang yang tidak tahu beliau banyak menabur bakti kepada masyarakat di luar bandar semasa bergelar doktor perubatan dahulu,” ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar di Istana Budaya baru-baru ini.

Menurut Sofia, peluang membintangi teater tersebut telah membuatkan dirinya begitu teruja untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang keperibadian Siti Hasmah.

Ujarnya, masih terdapat banyak kisah-kisah menarik tentang tokoh berkenaan yang tidak pernah dipaparkan media dan itulah yang akan cuba didedahkan menerusi pementasan teater berkenaan.

“Apa yang saya tahu, Siti Hasmah meminta supaya jalan cerita yang dipaparkan nanti tidak terlalu menjurus kepada peranannya sebagai isteri mantan perdana menteri, tetapi usaha dan khidmatnya kepada masyarakat supaya ia boleh menjadi inspirasi kepada orang ramai,” ujar pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu.

Ketika ditanya apakah yang membuatkan dirinya tertarik untuk membintangi teater berkenaan, Sofia memberitahu dia gemar membawakan watak tokoh biografi wanita terkenal.

“Ini merupakan kali ketiga saya membawakan karakter sebegini selepas melakonkan watak Mak Lijah dalam teater Malam Ini Penyu Menangis pada tahun 1995 dan Natrah menerusi pementasan teater berjudul Natrah dua tahun lalu,” ujarnya.

Pernah tolak

Mengikut jadual asal, pementasan teater Tun Dr. Siti Hasmah sepatutnya mula dipentaskan pada 30 Ogos lalu, tetapi terpaksa ditunda pula ke tarikh 14 September ini.

Namun begitu pada sidang akhbar tersebut, World Islamic Network Television telah mengumumkan tentang tarikh baharu pementasan yang telah ditetapkan iaitu pada 9 hingga 19 November ini.

“Saya akui pada mulanya memang pernah menolak tawaran yang diberikan oleh Erma Fatima apabila pementasan teater ini dijadualkan berlangsung pada 14 September ini kerana merasakan masa yang ada sangat singkat.

“Walaupun pernah membintangi teater sebelum ini, saya merasakan tempoh dua minggu tidak sesuai memandangkan persiapan untuk pementasan teater memang mengambil masa yang lama,” jelasnya.

Menurut Sofia, dengan penundaan tarikh pementasan ke satu tarikh yang baharu iaitu pada 9 November, ia telah memberikan kelegaan kepada dirinya. Itu yang membuatkan dia bersetuju untuk terbabit dengan pementasan berkenaan.

“Dengan tempoh selama dua bulan ini, saya akan menggunakan peluang sebaik-baiknya untuk menghayati watak yang diberikan serta mengenali dengan lebih mendalam karakter Siti Hasmah,” ujarnya.

TEMPOH dua bulan akan digunakan sepenuhnya oleh Sofia untuk mengenali dan mendalami karakter Siti Hasmah.

Pengalaman baharu

Bagi Lisa pula, peluang untuk terbabit dengan pementasan teater tersebut telah membuka lembaran baharu buat dirinya untuk menguji kemampuan sebagai seorang pelakon serta mengembangkan lagi bakat lakonannya.

Menurutnya, dengan pembabitannya itu pasti ia memberi pengalaman baharu buat dirinya dan bersedia untuk menghadapi apa sahaja cabaran memandangkan lakonan teater sangat berbeza dengan berlakon drama atau filem.

“Selama ini bukan saya tidak berminat berlakon teater, malah pernah mendapat tawaran daripada beberapa pihak. Namun, saya terpaksa menolaknya kerana terikat dengan jadual yang agak ketat.

“Secara kebetulan apabila saya dihubungi oleh pihak Istana Budaya yang mewakili produksi, memang saya tidak mempunyai sebarang kerja lain dan akhirnya saya bersetuju untuk berlakon,” jelas isteri kepada Yusry Abdul Halim itu.

Ujar Lisa, pada mulanya dia menyangka hanya ditawarkan untuk membawakan watak kecil dalam pementasan tersebut dan sangat terkejut apabila perlu melakonkan watak seorang tokoh negarawan yang terkenal.

“Pastinya peranan yang diberikan ini merupakan satu tanggungjawab yang sangat besar, apatah lagi saya tiada pengalaman beraksi di pentas teater. Namun, saya akan menggunakan peluang yang diberikan ini dengan sebaik-baiknya,” ujarnya.

Teater Tun Siti Hasmah

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Konsert Gemilang Malaysia

Tiz Zaqyah dan Remy Ishak Putus Cinta