in

Teater Super Ptui! & Transit Kaler Magenta

Sebagai pemain – begitulah kita, dari perspektif apapun. Tuan atau hamba, tidak terkecuali. Lalu kita harus mengerti di mana kita berada dan tanggapan apa yang harus kita ada untuk menangani keberadaan kita. Mungkin kerana itulah maka terhasilnya naskhah drama ini. Atau mungkin ini hanyalah sekadar basa-basi untuk memperkatakan sesuatu yang telah tumbuh, akibat dari kelangsungan kehidupan.

Drama Superptui! & Transit Kaler Magenta ini ditulis pada awal tahun 2004, sebagai lanjutan kepada drama saya yang sebelumnya, Menembak Epal Atau Jambu. Kedua-duanya cuba melukis permasalahan yang hampir sama iaitu bahawa kita sebenarnya telah dibentuk menjadi begini dan begini. Bezanya Menembak Epal Atau Jambu mengambil latar institusi pendidikan manakala Superptui! & Transit Kaler Magenta ini pula berlatarkan institusi keluarga.

Saya lihat persoalan dalam drama ini sebagai belenggu yang kita semua sedang mendepani dan kita kelihatannya terlalu asyik bermain-main di dalamnya – sedar atau tidak. Kita tidak mampu melepaskan diri dari sejarah yang telah membentuk kita menjadi sebegini seandainya kita tidak mengerti atas tujuan apa semua ini harus terjadi.

Dan permasalahan ini terlalu berulang-ulang. Diselesaikan, kemudian muncul lagi. Seolah, atau sememangnya, tidak akan terhenti. Sepertinya selagi masih ada kehidupan manusia di atas muka bumi ini, selagi itulah ia akan terus muncul – lagi dan lagi. Atau mungkin wajar untuk dikatakan bahawa ini adalah bahan kumuh rasionalisasi. Terbitnya dari akal budi yang mengaku sedar padahal sifat kesedarannya itu hanyalah sebuah ilusi.

Pementasan ini adalah sebahagian daripada projek penerbitan buku skrip dengan menggunakan judul yang sama. Penulis dan pengarah bgi skrip dan pementasan ini juga adalah individu yang sama, Wan Azli Wan Jusoh.

Terbitan buku ini adalah di bawah penguasaan dan hak Merpati Jingga yang sebelum ini pernah Menerbitkan buku skrip AKU MANUSIA BERDOSA karya Nur Ahmad, LAUT LEBIH INDAH DARI BULAN karya Nam Ron, M.BUTTERFLY terjemahan Mislina Mustaffa dan TEATER KOMPILASI NAMRON terjemahan Faisal Mustaffa.

Merpati Jingga sedang dalam proses menerbitkan sebuah kompilasi skrip pendek karya Adieyka Zainal pada pertengahan 2015. Manakala bagi buku DOUBT karya Bissme, Rumah Anak Teater bercadang untuk mementaskan 10 drama pendek daripad sejumlah 45 cerpen yang terkandung di dalam buku tersebut.

super ptui

PULAU PINANG
12 hingga 14 Disember 2014; 830pm
13 Disember 2014; 3pm
Tempat:
Panggung Pelanggang Cahaya, Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.

SELANGOR
27 Februari – 1 Mac 2015, 8.30pm
28 Februari 2015, 3pm
Tempat:
PJ Live Arts Sdn Bhd,
Block K @ Jaya One 72A Jalan Universiti
46200 Petaling Jaya

TIKET
RM30, RM 15 (OKU, pelajar)

Blog : www.rumahanakteater.blogspot.com
Facebook : Rumah Anak Teater
Twitter : RumahAnakTeater / #SuperPTUI
Instagram : Rumah Anak Teater
Keek : Rumah Anak Teater
Tempahan / Media: 0122290944, [email protected]

TENAGA PRODUKSI
PENERBIT EKSEKUTIF

Faisal Mustaffa
Faisal Mustaffa (43 tahun) merupakan Pengarah Urusan kepada RAT Production. Memiliki Sarjana Perniagaan dan Pengurusan UKM (2001), beliau juga memiliki syarikat penerbitan sendiri, Merpati Jingga.

Di bawah RAT Production, beliau telah menerbitkan Teater Kompilasi vol 1 (2008), Teater Kompilasi II (2009), Teater Tanda Kompilasi III (2010), teater Pokok Kelapa Sayang (2010), teater Banduan Akhir di Sel AKhir (2011), teater kanak-kanak Kampung Semut + Tanda Kecil kompilasi IV (2011), teater Short Eyes (2011), teater SeNaPas (2011), Aku Manusia Berdosa Kompilasi V (2012). teater Beng Hock (2012). Beliau telah dijemput untuk bekerjasama dengan Esplanade Singapura untuk mementaskan Beliau juga menerbitkan filem Jalan Pintas (2011) yang diarahkan oleh Nam Ron.

Faisal juga baru-baru ini menerbitkan sebuah filem pendek ‘Ragut’ (2014) yang memaparkan keadaan kemiskinan bandar yang menjurus kepada kenaikan kadar jenayah.

PENGARAH
WAN AZLI WAN JUSOH

Mungkin ramai yang tidak mengenali nama Wan Azli Wan Jusoh tetapi ramai yang pernah dengar filem Budak Kelantan yang menimbulkan fenomena pada 2008 kerana memaparkan jujur di layar perak.

Dalam arena teater pula Wan Azli yang mesra dengan panggilan Wae (sebut ‘where’) pernah mengarah teater yang kemudiannya dibawa ke filem oleh Nam Ron, Agi Ni Jadi Jjaha’ (2006), Supertui! Dan Transit Kaler Magenta (2006), Cikgu Mizi (2006) dan Asrar (2010) juga Asrar2 (2011).

SINOGRAFER

Adeq Serizawa atau nama sebenarnya Mohd Fairus Faizal bin Alias. Mencungkil pengalaman daripada Actors Studio, Adeq kini banyak menata cahaya untuk pementasan-pementasan muzik pentas. Pernah dicalonkan dalam kategori Penatacahaya Terbaik dalam BOH Cameronian Arts Awards 2013 melalui Teater Kompilasi NamRon dan diberi kepercayaan untuk menatacahaya dalam pementasan LAUT LEBIH INDAH DARI BULAN (2014) di Esplanade Singapura.

PELAKON

BOTAK
BOTAK atau nama sebenarnya MUHAMMAD ALHAKEEM BIN HUSAIN merupakan seorang graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dari Fakulti Filem, Teater dan Animasi. Pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif (kepujian) Teater pengkhusus bidang Lakonan dan Pengarahan ini banyak melibatkan diri dalam komponen seni seperti lakonan, tarian, flashmob, persembahan mime, sinografi dan banyak lagi sejak menuntut di universiti sehingga kini. Botak juga banyak terlibat dengan kerja-kerja belakang tabir untuk pementasan teater dan juga televisyen. Kini beliau sedang berkhidmat sebagai Jurulatih Kokurikulum Drama di Universiti Teknologi Mara kampus Puncak Perdana. Mula bergiat dalam persembahan seorang diri di atas pentas sejak menjadi pengacara dan banyak terlibat dalam gimik perasmian. “Komedi Berdiri” ini adalah antara persembahan seorang diri yang julung kali Botak lakukan. Garapan idea dari penelitian dan pandangan sekeliling banyak membantu dalam mancari satu tajuk bagi persembahan “Komedi Berdiri” untuk Cerita Malam Jumaat.

ROS

Nama sebenar Rosmi Fazreen Fazira Binti Othman berasal dari Pendang, Kedah merupakan pelajar IPTA dalam bidang seni persembahan. Sepanjang pengajian, beliau pernah memainkan watak utama di dalam pementasan Dendam Si Kakak Tiri yang menyertai ‘ Short and Sweet Theatre 2014’ anjuran PenangPac ,Ensamble di dalam Pementasan Teater Muzikal Mencorak Destini anjuran Uitm pada Jun 2014 dan juga Pelakon di dalam Teater Raden Galo September 2013.

Ros merupakan penerima Anugerah Naib Chansellor UITM dalam Majlis Istiadat Konvokesyen ke 80, Diploma dalam Seni Lakon Teater dan dianugerahkan Pelakon Utama Wanita Terbaik, “ Short and Sweet Theatre” anjuran PenangPac.

MUHAMMAD FANDI CHE HISHAM

Fandi Che Hisham lulusan Diploma Teater Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan ASWARA. Antara projek terawal beliau dengan menggalas tanggungjawab sebagai pelakon adalah Bangsawan Syakuntala, Presentasi Fizikal Metamorphosis, Mono Teater Asrar dan lain-lain. Kalung Oh! Kalung ini merupakan pengarahan kedua beliau selepas Teater Asrar 2 dibawah pimpinan Jemaah Seni Suri Jawi.

RUMAH ANAK TEATER

Rumah Anak Teater (RAT) adalah sebuah komuniti seni yang sudah terkenal di kalangan penggiat seni. Kumpulan ini telah ditubuhkan secara tidak rasmi pada Oktober 2008. Ianya diasaskan oleh Nam Ron bersama beberapa anak muda seni yang berjiwa kental iaitu tergolong dari kalangan bekas pelajar-pelajar Akademi Seni Kebangsaan. RAT adalah sebuah kumpulan yang dianggotai oleh penggiat muda seni persembahan. Penubuhan RAT pada asasnya adalah bagi memastikan kesinambungan kerja-kerja seni persembahan diteruskan oleh anak-anak muda melalui bengkel, diskusi dan persembahan. Bagi memastikan usaha-usaha ini bergerak, RAT telah melaksanakan suatu rancangan jangka panjang yang dinamakan Projek Komuniti Kental atau singkatannya Projek KoKEN.

Rumah Anak Teater (RAT) pernah bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan Selangor iaitu melalui teater Short Eyes pada tahun 2010 dan Teater Tanda pada (2010) iaitu kedua-dua teater ini dipentaskan hasil kerjasama antara RAT bersama Pelancongan Selangor bertempat di PJLA , Jaya One Petaling Jaya.

Rumah Anak Teater sudah pun melangkah ke peringkat antarabangsa dengan mementaskan teater LAUT LEBIH INDAH DARI BULAN (2014) di Esplanade Singapura susulan daripada Teater Kompilasi NamRon (2013) yang mendapat Sembilan pencalonan dalam BOH Cameronian Arts Awards 2013 yang lalu.

Kumpulan ini juga menceburi dalam bidang komedi lawak berdiri yang mencabar melalui siri CERITA MALAM JUMAAT yang berjaya menjadi salah satu acara dalam JBArtsFest 2014 dan juga dijemput membuat persembahan di NO BLACK TIE dua kali sebulan, THE CRACKHOUSE COMEDY CLUB sekali sebulan dan JBPAC sekali dalam dua bulan. Lawak berdiri (sebut stand-up comedy) kini dalam perancangan bekerjasama dengan Astro Warna dalam mewarnai komedi berlainan daripada apa yang berada dalam pasaran tempatan sekarang.

Sinopsis Cerita

Komplikasi yang harus ditanggung oleh tiga beradik yang dibentukkan berbeza oleh suatu sistem yang dalam cerita ini disebut sebagai Bapak. Helium Si Gas Nadir, Maseh Dara., dan Ptuih! telah terdidik sewajarnya sebagaimana kemahuan sistem tersebut.

Berlatarkan sebuah stesen transit pada suatu awal pagi, bila mana Ptuih! yang teracu sebagai berbentuk berontakan, telah melawan Bapak – lagi, sebagaimana sifatnya. Kali ini dia diusir dari rumah. Helium, sang abang yang tinggi pengetahuan tetapi sedikit autisme mengekori, bertujuan memujuk adiknya itu supaya terus bersama keluarga, atau barangkali secara peribadi dia punya keinginan lain.

Kemudian muncul Maseh Dara., kakak yang taat setia kepada Bapak untuk membawa Helium pulang atas arahan Bapak. Pertengkaran terjadi, maka terlantunlah di situ segala keperihalan mereka – yang akan kita fahami sebagai perihal suatu sistem yang dengan jayanya telah meliputi segenap ruang kehidupan mereka.

Dibungkus dengan simbolisme, teks ini cuba memberitahu bahawa mereka adalah mangsa. Superptui! & Transit Kaler Magenta adalah sebuah konsekuensi.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Fit Malaysia Gets Fitter

Bila Virus Menyerang Dunia Dalam Filem Contagion