in , ,

Tayangan BoBoiBoy Galaxy SORI Temui Peminat Bermula Esok

Sejak mula diperkenalkan tujuh tahun lalu, siri animasi BoBoiBoy Galaxy yang juga kesinambungan kepada animasi popular BoBoiBoy mencuri perhatian penonton terutama kanak-kanak yang membesar dengan karakter dibawa siri itu.

Tayangan BoBoiBoy Galaxy SORI akan kembali menemui penonton di seluruh rantau Asia bermula esok menerusi beberapa platform selepas lima tahun menyepi tanpa episod baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios (Monsta) Nizam Abd Razak berkata tayangan BoBoiBoy Galaxy itu terbahagi kepada empat siri pendek iaitu ‘BoBoiBoy Galaxy SORI’, ‘BoBoiBoy Galaxy Windara’, ‘BoBoiBoy Galaxy Gentar’ dan ‘BoBoiBoy Galaxy Gur’latan’.

Nizam Abd Razak berkata penceritaan dan pengembaraan BoBoiBoy Galaxy adalah kesinambungan daripada filem BoBoiBoy Movie 2 yang ditayangkan pada 2019.

Tayangan BoBoiBoy Galaxy SORI Temui Peminat Bermula Esok

“Setiap siri itu mengandungi enam episod yang akan disiarkan pada setiap cuti sekolah. Tempoh siaran tersebut mungkin hingga akhir 2026, iaitu jangkaan Boboiboy Movie 3 akan menemui penonton.

“Itu antara motif kita untuk menarik kumpulan penonton menerusi siaran Boboiboy Galaxy sedikit demi sedikit (pada cuti sekolah) untuk mereka dapat menonton Boboiboy Movie 3 kelak,” katanya.

“Animasi BoBoiBoy sudah 12 tahun dan peminatnya yang dahulu kecil, sudah bekerja. Kiranya peminat animasi ini daripada dua golongan, iaitu kanak-kanak dan dewasa. Justeru, daripada segi penceritaan, ia mampu menghiburkan dua kelompok ini.

“Untuk musim kedua ini, BoBoiBoy ada kuasa, pengembaraan dan kawan-kawan baharu. Bagi saya, apa yang lebih menarik adalah persamaannya dengan animasi BoBoiBoy dahulu.

“Ini agak nostalgia untuk mereka yang pernah membesar dengan animasi ini. Ia juga program hiburan keluarga yang boleh buat kita gembira menontonnya.

Keempat-empat siri berkenaan juga dihasilkan dengan empat tema berbeza, berlatarbelakangkan penceritaan dan pengembaraan yang diolah semula dari siri komik BoBoiBoy Galaxy musim kedua.

Siri BoBoiBoy Galaxy SORI akan menemui penonton menerusi platform penstriman popular Neftlix dan Monsta YouTube Channel bermula esok manakala saluran TV9 pula mulai 13 Dis depan.

Nizam dalam pada itu turut menzahirkan penghargaan kepada peminat BoBoiBoy yang dinamakan sebagai Generasi B (BoBoiBoy) kerana sentiasa menyokong siri animasi tempatan berkenaan.

“BoBoiBoy sudah beraksi lebih 12 tahun, kami sedar ramai penonton yang mengikuti BoBoiBoy sejak kecil dan kini mereka sudah membesar.

“Mereka ini digelar ‘Generasi B’ iaitu mereka membesar bersama BoBoiBoy bukan setakat sebagai siri animasi, tetapi sebagai ikon yang sihat dan mempunyai jati diri yang boleh dicontohi,” katanya.

Elemen itu masih dikekalkan dalam musim kedua ini,” katanya ditemui pada majlis tayangan eksklusif BoBoiBoy Galaxy SORI di Putrajaya, kelmarin.

Mengenai penghasilan skrip dan jalan cerita musim kedua, Nizam berkata, mereka tidak pernah ketandusan idea kerana karya diolah daripada komik yang dihasilkan.

“Komik BoBoiBoy Galaxy diterbitkan pada 2020, iaitu sebelum pandemik COVID-19. Saya ingat lagi selepas komik pertama keluar, negara kita melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi, kami berdepan laluan sukar ketika itu.

“Disebabkan kita buat komik dahulu, jadi, jalan cerita itu sudah ada. Apabila orang baca komik, jadi adalah komen yang kami terima. Ada yang suka dan minta kami buat penambahbaikan atau tukar.

“Kalau ada komen yang bagus, kita akan ubah pada bahagian animasi. Saya terkejut kerana menyangka mereka yang baca komik hanyalah kanak-kanak sekolah. Rupa-rupanya ada individu dewasa,” katanya.

Pengurus Besar, Pengurusan Program dan Kandungan Penyiaran TV9, Khairunnisa Kamarulzaman teruja apabila siri animasi itu akan kembali disiarkan TV9 sebagai stesen televisyen (TV) rasmi untuk siri BoBoiBoy Galaxy.

“Kami sangat berbesar hati kerana setiap kali tayangan, siri animasi ini akan dapat rating tinggi iaitu kira-kira 500,000 untuk setiap kali tayangan walaupun sudah beberapa kali diulang tayang.

“Dengan adanya musim kedua ini, saya harap penonton akan lebih teruja

“Bagi merancakkan lagi promosi siri ini, selain mengadakan tayangan eksklusif bersama peminat, kita menganjurkan peraduan untuk penonton sertai. Selepas menonton, mereka kena hantar penyertaan berbentuk pantun.

“Kita akan beri dua baris pembayang dan peserta kena sambung pantun berkenaan. Untuk pantun paling kreatif, kami akan beri barangan istimewa daripada BoBoiBoy Galaxy,” katanya.

Khairunnisa turut yakin nilai murni yang diterapkan dalam siri itu membuatkan ia terus kekal menjadi pilihan utama peminat cilik.

“BoBoiBoy juga adalah jenama animasi yang sesuai dengan tema Jaguh Kartun di TV9 di mana karakter yang dipaparkan tidak mudah putus asa dalam apa jua keadaan dan memiliki semangat setia kawan yang tinggi.

“Secara tidak langsung, ini menepati konsep juara yang cuba ditekankan TV9. Nilai murni begini yang kita mahu penonton di TV9 terapkan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Tayangan BoBoiBoy Galaxy dibahagikan kepada empat siri pendek iaitu BoBoiBoy Galaxy SORI; BoBoiBoy Galaxy Windara; BoBoiBoy Galaxy Gentar dan BoBoiBoy Galaxy Gur’latan.

Siri animasi BoBoiBoy Galaxy SORI sudah pun menemui penonton di Asia menerusi platform penstriman, Netflix dan MONSTA YouTube Channel. Musim kedua siri BoBoiBoy Galaxy disiarkan TV9 mulai 13 Disember ini.

Lebih 400 peminat BoBoiBoy diraikan di program ‘Megafan Screening BoBoiBoy Galaxy SORI’ yang diisi dengan aktiviti bertemu barisan pelakon suara siri tersebut, bergambar dengan maskot dan tayangan khas tiga episod siri baharu itu.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Konsert Afgan Live In Consert with Orchestra Sukses Tiket Habis Terjual 

Finalis Program Famili Duo 2023 Kini Rancak Buat Persiapan Akhir