in , ,

Syeera Aziz Lancar Single Kedua Berjudul PANGGIL SAYANG

Pembabitannya dalam bidang seni bermula selepas menyertai program realiti ‘Mentor Milenia’ musim kedua yang disiarkan di TV3 pada 2017. Ketika itu, Syeera Aziz terpilih menjadi protege kepada penyanyi Black Hanifah.

Selama beberapa minggu berjuang dalam program itu, Syeera Aziz, 24, atau nama sebenarnya Nur Syaheera Abd Aziz berjaya mara ke peringkat akhir. Namun, rezekinya berada di tempat keempat.

Bagi Syeera, biarpun tidak bergelar juara itu bukan titik noktah kepada minat nyanyiannya sebaliknya menjadi langkah untuk terus mengorak langkah sekaligus mengembangkan bakat dimiliki.

Tuah buat Syeera apabila dia merakamkan single sulung berjudul “Redhakanlah” pada 2018 yang turut menjadi antara lagu tema drama 100 episod, ‘Cinta Tiada Ganti’ yang ditayangkan di saluran Astro Prima. 

Tidak hanya menyanyi, Syeera juga mula berjinak jinak dalam bidang lakonan. Baginya, seni itu tidak terbatas pada satu bidang semata-mata.

Antara drama lakonannya adalah ‘Cinta Tiada Ganti’, ‘Jodoh Jodoh Anisa’, ‘Shah Alam 40K’ dan terbaharu ‘Sihir’ di Astro.

“Saya memang dari kecil suka menyanyi. Tapi nak ikutkan zaman sekarang ini setakat menyanyi saja susah. Jadi apa salahnya mencuba dalam bidang lakonan juga. Mungkin selepas ini mengacara pula. 

“Seni ini berlandaskan bakat. Jadi apa saja boleh buat. Memandangkan saya masih baru, jadi tiada masalah untuk bahagikan masa antara kerjaya nyanyian dan lakonan. Insya-Allah mana tahu selepas ini ada peluang untuk mengembangkan lagi bidang seni yang diceburi. Kalau boleh memang nak sibuk,” katanya.

Syeera Aziz

Terbaharu, Syeera muncul dengan single “Panggil Sayang”. Single kedua yang diterbitkan oleh Nova Music ini mengetengahkan genre pop iaitu berbeza daripada lagu sebelumnya.

Menurut Syeera, lagu ciptaan Shazee Ishak dan Audi Mok serta lirik oleh Shazee Ishak, Audi Mok dan penerbit drama itu, Arisz Ab Rahman disifatkan ‘fresh’.

“Kelebihan yang ada pada lagu ini adalah ia sebuah lagu yang ‘fresh’, lirik dan melodi yang senang untuk pendengar ingat dan ‘sing-along’. Lirik pula yang boleh dikaitkan dengan ramai pendengar.

“Dalam masa sama, lagu ini sangat kena dan sesuai dengan trend lagu masa kini yang boleh digunakan untuk kandungan media sosial. Jadi, bagi saya ia sebuah karya yang menarik,” katanya.

Menyedari ‘trend’ industri hiburan tanahair yang mana kebanyakannya lebih gemar menggunakan pendekatan gimik agar sesebuah produk, karya atau naskah itu menjadi tular dan diperkatakan ramai, berbeza dengan Syeera.

Pengalaman dihina, dikutuk, menjadi mangsa sindir badan atau ‘body shaming’ membuatkan dirinya selesa untuk tidak menggunakan cara gimik.

“Sebelum ini tak terfikir nak buat ‘marketing’ macam itu baik dari segi gimik bukan-bukan atau apa saja. Malah, saya juga tak tahu jika perkara itu boleh menaikkan lagu kita. Tapi sekarang bukanlah saya nak buat macam itu. Saya selesa menjadikan platform  TikTok sebagai medium untuk mempromosikan lagu ini. Sebab itu saya pilih genre lagu ini.

“Saya belum bersedia untuk dikecam sekali lagi. Pengalaman sebelum ini sangat teruk sehingga menganggu emosi. Kecaman diterima hanya kerana saya sedikit berisi adalah sangat keterlaluan.

“Jadi saya fikir untuk sekarang ini tak perlu nak ulang lagi. Saya takut kalau buat gimik bukan-bukan, lebih teruk saya kena. Memang kita tak boleh nak halang apa orang cakap, tapi selagi kita boleh kawal tindakan kita, saya cuba. Tapi, jika gimik yang nak dibuat itu saya boleh terima, saya okay saja,” katanya.

Syeera Aziz

Biarpun beralih genre dari balada ke pop, Syeera tetap yakin jika lagu “Panggil Sayang” itu dapat diterima baik pencinta muzik tanahair.

“Saya yakin semua generasi boleh menikmati lagu ini apatah lagi muzik diketengahkan adalah ‘catchy’ dan ‘fun song’. Selain itu saya berharap peminat muzik tempatan boleh mula menerima genre lagu yang berlainan atau baru di Malaysia,” katanya.

Berkongsi mengenai cabaran merakamkan lagu “Panggil Sayang”, Syeera berkata genre pop bukanlah ‘makanannya’.

“Cabaran terbesar sepanjang merakamkan lagu Panggil Sayang adalah sejujurnya genre lagu ini bukanlah genre yang selesa bagi saya. Ia juga bukan genre yang saya minati dan boleh hayati sepenuhnya. 

“Saya tetap sahut cabaran, walaupun pada mulanya sukar untuk saya fahami dan ikuti ‘mood’ sebenar lagu ini. Dengan bantuan komposer Shazee, dia memberikan kebebasan kepada saya untuk tukar cara nyanyian, cari ‘mood’ yang sesuai dengan tujuan melahirkan penyampaian yang natural datang dari diri saya sendiri,” katanya.

Apa yang pasti, Syeera menaruh harapan besar agar single keduanya ini dapat diterima baik pendengar sekaligus boleh menjadi siulan dan tular.

Syeera Aziz

“Harapan saya terhadap lagu ini semoga dapat menghiburkan pendengar walaupun lirik lagu mengisahkan kehidupan seseorang yang sentiasa berseorangan atau ‘single’. Namun, terdapat juga motivasi yang ingin disampaikan dan melodi lagu yang boleh mengubah ‘mood’ kesunyian seseorang untuk sentiasa berfikiran positif dan ‘happy’.

“Saya juga berharap lagu ini dapat diterima baik peminat sekaligus boleh dimainkan di stesen radio tempatan. Jauh di sudut hati juga saya mahu single kedua ini berjaya seperti kebanyakan lagu penyanyi sedia ada. Apa pun, saya tetap percaya pada rezeki Allah SWT,” katanya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Astro Meriahkan Ramadan-Raya 2022 Dengan ‘Semangat Lebaran Kita’

TV Alhijrah Lancar Kempen Komprehensif Ramadan & Syawal 1443H