in

Yang Baru Lagi Terkini Tentang SURIA FM 2017

Suria yang bernaung di bawah Kumpulan Radio Star Media (SMRG) akan meraikan sambutan ulang tahunnya yang ke-10 tahun ini. Oleh yang demikian, Suria ingin memperkenalkan initiatif-initiatif sepanjang tahun 2017 yang merangkumi seleksi variasi pengisian yang lebih menghiburkan melalui platform radio, digital dan siri Jelajah 10 Tahun Suria.

“Alhamdulillah, tahun ini adalah tahun di mana Suria dapat memperluaskan lagi platform kami dalam menyebarkan maklumat dan memberikan hiburan kepada orang ramai. Kita tidak lagi hanya tertakluk kepada audio semata-mata, malah kami bawakan semuanya secara visual dan fizikal melalui video digital dan siri jelajah kami,” kata Subarma Mohtaruddin, Pengurus Besar Program Suria FM.

“Ulang tahun ke 10 Suria amat penting dan memberi makna terutama kepada lebih 2.2 juta pendengar Suria. Ini adalah bukti kepada usaha, kegagalan dan kejayaan kami sepanjang 10 tahun yang lepas dan pastinya tahun ini akan menjadi permulaan baru untuk kami mencapai matlamat dalam memberikan yang lebih baik buat peminat setia Suria,” kata Shahida Azad atau Shy, Pengurus Kanan Pengurusan Penjenamaan dan Digital Suria.

Suria Fm 2017

Pengumuman initiatif Suria ini juga memperkenalkan penyampai dan segmen yang lebih menarik bersama Suria Pagi (Halim Othman, Zulin Aziz & Fizi Ali), Menu Suria (Brian), Waroong Suria (Bob Ringgo), Suria Petang (Tyzo & Suraya) dan Suria Cinta (DJ Lin)

Suria telah melangkah berani dengan menerbitkan program-program video berdurasi pendek di atas talian berdasarkan segmen di Suria seperti #ApaItuCinta, Parodi Zulin dan Suria Jam yang boleh ditonton melalui laman sesawang www.suria.my.

Dengan jumlah tontonan yang mencecah lebih 1 juta penonton di platform digital Suria, kini Suria bakal menghasilkan program asal sendiri yang merangkumi pelbagai genre seperti travelog, drama bersiri, dokumentari seram dan program hiburan.

Antara program yang akan diterbitkan adalah #BFF yang mengisahkan tentang kisah persahabatan dua selebriti yang melalui cabaran ketika dalam perjalanan road trip mereka. Selain daripada itu, Suria juga akan melancarkan drama bersiri berdasarkan kisah benar pemanggil daripada segmen Suria Cinta di mana kisah mereka akan dilakonkan semula oleh artis popular tempatan.

Mic Kecoh pula merupakan program hiburan yang berbentuk pertandingan nyanyian di mana peserta harus menyanyi di hadapan khalayak ramai. Namun, apa yang peserta ini tidak tahu mereka akan dikejutkan dengan ‘kejutan’ misteri.

Malah, Suria juga akan menerbitkan berita hiburan berdurasi kurang daripada 10 minit yang akan memberikan berita-berita hiburan terkini dan eksklusif dalam Sensasi Suria.

Suria Fm 2017

“Seiring dengan konsep ‘Segalanya Hiburan’, matlamat kami adalah untuk menjadi saluran digital kreatif melalui isi kandungan program yang asli dan berkualiti tinggi. Ini kerana kami percaya ia mampu menarik lebih ramai untuk mengenali jenama Suria”, kata Shy lagi.

Suria juga mengambil inisiatif menaik taraf platform digital untuk menjadi lebih interaktif di mana pengguna boleh mengekspresikan perasaan mereka melalui ‘emoticon’ yang diciptakan khas dan berinteraksi secara langsung melalui ‘Live Chat’.

Suria bakal memulakan Siri Jelajah Suria 10 tahun pada bulan April ini bermula di Johor dan lokasi seterusnya adalah Terengganu, Pulau Pinang, Ipoh dan akhir sekali di Shah Alam, Selangor. Jelajah Suria 10 tahun ini merupakan hadiah buat pendengar di mana mereka berpeluang bersemuka dan beramah mesra bersama penyampai-penyampai Suria dan barisan penyanyi popular seperti Akim & The Majistret, Siti Nordiana, Hazama, Tomok, Black, Amy Search, Dato Hattan, Kaka Azraff, Zarul Husin, Sufian Suhaimi, Khai Bahar dan ramai lagi.

Sempena sambutan bulan Ramadan yang akan datang pula, Suria akan menganjurkan projek amal gabungan bersama selebriti tempatan dan badan-badan kebajikan terpilih. Buat pertama kalinya, Suria akan menghasilkan lagu dan video klip raya hasil kerjasama penyanyi dan komposer terkenal.

Suria kini dalam perancangan untuk mengadakan Konsert Suria 10 Tahun pada bulan November ini yang pastinya akan menjanjikan satu kelainan buat peminat.

Pengumuman Projek Suria yang diadakan di Restoran Ruyi & Lyn, Bangsar Shopping Centre, pada 29 Mac ini turut dihadiri Ketua-Ketua Pengurusan Kumpulan Star Media (SMG) dan Kumpulan Radio Star Media (SMRG) seperti Datuk Fu Ah Kiow (Pengerusi SMG), Dato Aminuddin Rouse (Pengerusi SMRG), Datuk Seri Wong Chun Wai (Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif SMG), Dato Boey (Pengarah SMRG), Calvin Kan (Ketua Pegawai Eksekutif SMRG & Ketua Pegawai Operasi Kumpulan SMG) dan Subarma (Pengurus Besar Program Suria FM).

Suria Fm 2017

Suria Fm 2017

Suria Fm 2017

Suria Fm 2017

Suria Fm 2017

Suria Fm 2017

Suria Fm 2017

Mengenai Suria FM
Suria FM adalah sebuah stesen radio swasta yang dikendalikan oleh Kumpulan Radio Star Media, sebuah syarikat milik Star Publications (M) Berhad. Suria FM beroperasi secara rasminya pada tahun 2007. Suria FM mensasarkan pendengar Melayu yang berusia 24 hingga 34 tahun yang berada di bandar dan juga luar bandar. Stesen radio Suria FM yang mempunyai 2.2 juta jumlah pendengar ini menyiarkan campuran pelbagai lagu kegemaran sepanjang masa dari pertengahan 90-an sehingga yang terkini.

Suria FM mempunyai segmen-segmen utama seperti Suria Pagi, Menu Suria, Waroong Suria, Suria Petang dan Suria Cinta. Carta 30, Grandstand Suria, Carta 3D dan Suria Baek Bangat adalah antara segmen pilihan ketika dihujung minggu.

Suria FM juga mempunyai laman sesawang www.suria.my serta laman sosial Facebook, Instagram & Twitter SuriaFMMalaysia yang memaparkan segala maklumat dan perkembangan serta peraduan terkini.

Ikuti Suria FM di frekuensi berikut:- 105.3 FM Lembah Klang | 106.9 FM Perlis, Kedah, Pulau Pinang | 91.7 FM Taiping | 96.0 FM Ipoh | 102.4 FM Kuala Terengganu | 106.1 FM Kota Bahru | 96.1 FM Kuantan | 88.5 FM Melaka, Johor Utara | 107.0 FM Seremban | 101.4 FM Johor Bahru | 105.9 FM Kota Kinabalu

Mengenai Kumpulan Radio Star Media (SMRG)
Merupakan anak syarikat kepada Kumpulan Star Media Bhd, Kumpulan Radio Star Media Sdn Bhd merupakan antara penyiar radio terkemuka di Malaysia. Kumpulan Radio Star Media kini memiliki dan mengendalikan satu stesen radio berbahasa Melayu, Suria FM dan satu stesen radio berbahasa Cina, 988 FM.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Pengorbanan Syafie Naswip Dalam Telemovie USUNG PUTIH

Zahiril Adzim 1 | 15

Zahiril Adzim & Ozlynn Watie Dalam Telemovie SIAPA TAK SAYANG LAKI di TV2