in ,

Storyteller Guild Hidupkan Kembali Seni Penceritaan Tradisi

Dari Sebuah Idea Kecil Kini Menjadi Komuniti Pencerita Besar Yang Membangkitkan Semula Nostalgia Hikayat Lama

Pada tahun 2024, dengan sokongan daripada ThinkCity, lahirlah satu inisiatif yang kini semakin mendapat perhatian iaitu Hikayat Fandom Folklore World: Storyteller Guild. Matlamatnya sangat jelas dan penuh makna: memberi penghargaan kepada tukang cerita, insan-insan yang selama puluhan tahun menghidupkan kembali kisah lama, sama ada hikayat klasik ataupun cerita masyarakat yang diwarisi sejak 20 hingga 30 tahun lalu.

Kalau kita imbas semula, seni penceritaan ini pernah tenggelam ditelan zaman. Ramai yang terlupa betapa pentingnya seni ini sebagai nadi budaya. Kini dengan adanya Storyteller Guild, tukang cerita kembali diangkat dan diberi ruang untuk menyalakan api tradisi. Lebih menarik, mereka bukan sekadar muncul kembali, malah dijemput oleh Hikayat Fandom untuk berkongsi kisah di pelbagai acara budaya.

Tukang Cerita Semakin Ramai, Sambutan Orang Ramai Semakin Luar Biasa

Pada awalnya, mungkin hanya 4 hingga 5 orang penonton sahaja yang hadir. Tetapi kini, jumlahnya meningkat sehingga 20 ke 30 orang setiap sessi dan tempat pun jadi tak cukup! Situasi ini membuktikan bahawa masyarakat kita sebenarnya masih dahagakan kisah lama yang penuh pengajaran.

Seni penceritaan ini juga tidak hanya berlangsung di satu tempat. Tukang cerita mula melangkah ke pelbagai pentas – daripada Maybank Art & Cultural Showcase & Bazaar, ke program Rentak Malaysiaku, GMBB hinggalah acara OSOM!oleh Khatam. Setiap kali mereka bercerita, bukan hanya anak muda dan pelancong yang terpukau, malah orang dewasa juga hanyut dibawa arus cerita lama yang sarat nilai.

Menyemarakkan Sambutan Dari Hari Kemerdekaan Hingga Hari Malaysia

Apa yang lebih indah, penceritaan ini bertepatan dengan semangat sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Negara kita sebenarnya dipenuhi dengan cerita lisan, diwarisi turun-temurun. Dari Negeri Cik Siti Wan Kembang, Kampung Chenor di tepi Sungai Pahang, Muar yang lebih lama daripada Melaka, hingga kerajaan lama penuh sejarah, semuanya menyimpan cerita.

Nenek-nenek kita masih mendodoi anak dengan lagu rakyat seperti Wei Wei Kangkung dan Pok Amai Amai. Guru yang telah bersara pula menghidupkan semula kisah wira silam seperti Hang Tuah dan Rentap. Inilah kekuatan seni penceritaan: ia membangkitkan imaginasi, menyemai nilai, dan menjadi memori kolektif bangsa.

Seperti yang dijelaskan, Storyteller Guild ditubuhkan oleh Hikayat Fandom pada tahun 2024 dengan sokongan rakan seperti ThinkCity, diteruskan dengan MOTAC, dan Yayasan Hasanah melalui Dana Keusahawanan Sosial 2024. Misi mereka jelas – memastikan hikayat untuk semua.

Nusantara Fest Raikan Tradisi Asia Tenggara Dan Hari Malaysia

Hikayat Untuk Semua, Warisan Yang Tidak Pernah Pudar

Hikayat Fandom tidak hanya berhenti dengan sesi penceritaan. Mereka mengembangkan impak melalui penerbitan buku, persembahan budaya, dan kehadiran tukang cerita di pelbagai festival.

“Erti kemerdekaan sejati ialah keberanian membentuk penceritaan kita sendiri. Empayar boleh runtuh, monumen boleh hancur, tetapi hikayat dan cerita rakyat akan terus hidup, mengalir seperti sungai menyambung generasi,”

– penganjur

Ini bukan sekadar hiburan. Ia adalah paradigma pemikiran merdeka, di mana kita melihat dunia melalui lensa warisan sendiri, bukannya melalui naratif yang dipaksakan.

Barisan Tukang Cerita Yang Menghidupkan Imaginasi

Antara tukang cerita yang tampil di bawah Storytelling Session Hikayat Fandom ialah:
•⁠ ⁠Ummi Sham – Puteri Gumum Naga Tasik Chini
•⁠ ⁠Cikgu Ean – Hantu Buluh
•⁠ ⁠Cikgu Zuhairah – Kisah Awang Batil
•⁠ ⁠Tun Alia – Puteri Saadong
•⁠ ⁠Auntie Van – Putera Chahaya Bulan
•⁠ ⁠Kak Mazny – Ulek Mayang
•⁠ ⁠Pak Pen – Dewa Muda
•⁠ ⁠Johleen – Puteri Santubong

Selain itu, ada juga empat tukang cerita yang sudah diiktiraf Storyteller Guild
•⁠ ⁠Fatimah Abdullah – penggiat seni makyung
•⁠ ⁠Haji Mokhti – maestro wayang kulit Jawa
•⁠ ⁠Cikgu Ean – penulis, ilustrator dan pencerita prolifik
•⁠ ⁠Ummi Syam – lebih 30 tahun aktif sebagai tukang cerita.

Menariknya, hujung tahun ini akan ada dua lagi tukang cerita baharu yang akan diiktiraf. Ini tanda bahawa guild ini bukan sekadar projek sementara, tetapi sebuah usaha yang terus berkembang.

Lebih Dari Hiburan, Sebuah Warisan Dan Pendidikan

Apa yang membuat inisiatif ini lebih bermakna ialah kebanyakan tukang cerita datang daripada latar pendidikan. Ramai merupakan bekas guru yang kini menjadikan penceritaan sebagai jambatan untuk terus berhubung dengan komuniti.

“So it’s good for them, it’s good for us, and it’s just a wonderful community feeling when you do this,” kata penganjur dengan penuh semangat.

Jelas bahawa penceritaan ini bukan sekadar hiburan kosong. Ia adalah satu cara mewariskan identiti, menyuburkan semangat komuniti, dan mengekalkan jati diri bangsa.

Saturday Storytelling Sessions Jadi Tumpuan Peminat Cerita

Untuk mereka yang mahu merasai pengalaman ini secara langsung, jangan lepaskan peluang menghadiri Saturday Storytelling Sessions yang diadakan setiap Sabtu terakhir setiap bulan di GMBB.

Namun, jika terlepas sesi bulanan ini, jangan risau kerana Hikayat Fandom juga sering dijemput ke acara luar. Cara paling mudah untuk tahu jadual terkini ialah dengan mengikuti mereka di Instagram, Facebook, dan TikTok.

Apa Kata Budiey?

Bagi saya, Storyteller Guild ini bukan sekadar program budaya. Ia adalah platform untuk menghidupkan semula jiwa bangsa. Di zaman moden yang dipenuhi TikTok, Netflix dan hiburan digital tanpa henti, duduk berhadapan dengan seorang tukang cerita yang membawa kita menyelami kisah asal-usul, mitos, dan legenda memberi rasa yang tak boleh ditukar ganti dengan skrin.

Saya percaya Storyteller Guild ini bukan sahaja menghargai tukang cerita lama, tetapi juga membuka jalan untuk lahirnya gelombang baru pencerita muda. Siapa tahu, mungkin anak-anak yang mendengar hari ini akan menjadi penjaga hikayat generasi akan datang.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Prime Video Hidangkan Pilihan Hebat Untuk Bulan Oktober