in ,

Slot Sinema Ahad Imbas Nostalgia Filem Popular

Slot Sinema Ahad Imbas Nostalgia Filem Wira Angkasa, Simfoni Duniaku, Sejati Dan Kekasih Awal & Akhir Sepanjang Oktober Ini Di TV2

Slot Sinema Ahad sepanjang Oktober ini menjanjikan tayangan filem-filem yang pernah popular selain mampu membangkitkan nostalgia kepada penonton-penonton yang merindui lakonan aktor handalan seperti Jamal Abdillah, Sabree Fadzil, Dato’ Yusof Haslam, M.Nasir, Ogy Ahmad Daud, Raja Ema, Latiff Ibrahim dan Sofea Jane.

Disiarkan setiap Ahad, jam 10.00 malam menerusi saluran Dunia Ria, TV2, slot ini mengimbas kembali filem hebat Wira Angkasa (9 Oktober), Simfoni Duniaku (16 Oktober), Sejati (23 Oktober) dan diakhiri filem Kekasih Awal & Akhir (30 Oktober).

Diterbitkan pada 1987, Wira Angkasa lakonan Sabree Fadzil, Dato’ Yusof Haslam, Aznah Hamid, Noreen Noor, Julie Dahlan, Hisham Ahmad Tajudin dan Aida Radzwil ini mengisahkan watak Sabri, anak seorang petani, bercita-cita menjadi seorang juruterbang. Selepas tamat persekolahan, dia menyertai tentera udara. Di sana, dia berkenalan dengan Yusof, seorang pemuda kota. Hubungan mereka amat rapat pada mulanya tetapi menjadi renggang akibat selisih faham. Kemudian satu kemalangan berlaku.

Menyusul kemudiannya filem Simfoni Duniaku, sebuah filem genre drama dan cinta Malaysia yang ditayangkan pada tahun 1994. Filem arahan Dato’ Aziz Satar yang dilakonkan oleh komposer Dato’ M. Nasir, Ogy Ahmad Daud, Norazah Aziz, Acappan, Aziz Satar, Latif Ibrahim, Normah Damanhuri dan Z. Lokman.

Peminat penyanyi tersohor negara, Jamal Abdillah usah ketinggalan menyaksikan dua filem hebat lakonannya dimana menerusi filem Sejati mengetengahkan watak Bani, seorang lepasan universiti telah tercedera dalam satu perlumbaan motosikal haram. Semasa di hospital doktor telah mendapati Bani menghidap kanser paru-paru yang agak serius. Ibu bapanya dan doktor mahu merahsiakan penyakit itu dari Bani tetapi secara kebetulan dia telah mendengarnya. Bani disuruh berehat di Cameron Highlands dan semasa berada di sana dia dirawat oleh Dr. Ariffin.

Menerusi filem ini, Jamal Abdillah bergandingan dengan heroinnya Raja Ema, Latiff Ibrahim, Noraini Hashim, Accapan, Din Glamor dan Baharuddin Omar.
Filem kedua yang menyatukannya dengan pelakon cantik Sofea Jane sebagai pasangan kekasih menerusi tayangan filem Kekasih Awal & Akhir yang berkongsi kisah Yusman yang dikurung oleh bapanya Dato’ Alwi berkenalan dengan Maria anak perempuan Yahya, pemandu Dato’ Alwi. Marlia mengajar Yusman tentang hidup di luar.

Mereka berpisah apabila Dato’ Alwi meninggal dunia dan Yusman menuntut di London. Mereka berikrar, mereka akan berjumpa semula. Persahabatan mereka terus terjalin. Marlia menipu Yusman dengan menyatakan dia bekerja sebagai pengurus sebuah bank di Kuala Lumpur. Marlia sebenarnya pekerja kilang milik Yusman. Bila mengetahui yang Yusman akan berada di Kuala Lumpur dan akan mencarinya, Marlia terpaksa meneruskan penipuan dengan pelbagai cara. Selain Jamal Abdillah dan Sofea Jane, ia turut dibintangi oleh Zizie Izette, Cico Harahap, Imuda, Azwan Ali, Nor Albaniah, Afida Es dan R. Jaafar.

simfoni_duniaku

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Motor Naza Blitz Hadiah Cabutan Bertuah Rockaway 2011

Airasia X And Chengdu Tourism Ties The Knot