in ,

Sissy Imann Menang Tiga Pingat Emas di BICF2015

Jika anda menonton drama bersiri Eksperimen Cinta di TV3, pasti kedengaran lagu tema ‘Mungkin Kamu’ nyanyian Sissy Imann. Terbaru, penyanyi berusia 19 tahun yang juga salah seorang ahli Koir Kebangsaan Malaysia di bawah pimpinan Syafinaz Selamat telah menyertai 4th Bali International Choir Festival 2015 (4th BICF2015) dan merangkul 3 pingat emas bagi pasukan Malaysia kategori vokal. Suatu pencapaian yang seharusnya menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

Mengulas mengenai kejayaannya dan pasukan Koir Kebangsaan Malaysia di Bali , penyanyi ini jelas berasa sungguh gembira kerana dapat mewakili Negara dan penat lelah berlatih bersama dalam pasukan ternyata tidak sia-sia.

3 Gold Medal - Koir Kebangsaan

Mungkin ramai yang tidak tahu, bahawa penyanyi yang bersuara klasik dan unik ini bukan sahaja boleh menyanyi, malah turut aktif menulis lagu dan lirik serta berkebolehan bermain piano, gitar dan pelbagai instrumen muzik yang lain yang meletakkannya sebaris dengan komposer-komposer muda yang berbakat seperti Ippo Hafiz dan Amir Jahari . Jika ada peminat ingin mendengar alunan muzik dan lagu nyanyiannya, penyanyi ini turut memuat naik video di laman Youtube.

Mengambil opsyen Pendidikan Muzik di IPGM Kampus Ilmu Khas tidak sukar baginya kerana penyanyi yang begitu meminati muzik ini turut merangkul Anugerah Pengarah beberapa kali dan seorang pelajar cemerlang di IPG.

Baru-baru ini, beliau turut terlibat di dalam showcase Fynn Jamal pada 16 Ogos lalu dan ternyata alunan pianonya cukup memukau penonton di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) bersama AG Coco, Rudy Nastia serta kumpulan pemuzik yang tidak asing lagi iaitu The Koboi . Penonton yang datang menyaksikan showcase tersebut ternyata berpuas hati dan ramai memberi maklum balas positif kepada semua yang terlibat.

Beraksi satu pentas dengan Fynn Jamal dan pemuzik-pemuzik ternama seperti AG Coco dan The Koboi di usia 19 tahun , penyanyi ini adalah yang termuda untuk bermain 10 lagu di showcase tersebut membuatkan ramai peminat berpendapat penyanyi ini sangat berbakat besar.

“Masa first time Abang AG Coco kata showcase Kak Fynn buka dengan piano solo, Sissy terus cari solo best-best special untuk kak Fynn Jamal. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar walaupun pada mulanya nervous . Terima kasih buat Abang AG Coco dan Kak Fynn Jamal atas segala peluang yang diberikan” , ujar penyanyi yang sangat merendah diri ini yang ternyata bersyukur kerana showcase tersebut telah berjalan dengan jayanya.

Penyanyi yang berasal dari Kuala Lumpur dan juga artis naungan FMC ini baru sahaja muncul dengan single terbaru “Entah Apa Rasa” yang turut menampilkan Eyza Bahra di dalam lagu tersebut yang telah mula dimainkan di corong-corong radio. Walaupun telah muncul dengan single terbaru, single sebelumnya iaitu Mungkin Kamu hasil ciptaannya sendiri ketika berusia 16 tahun, masih lagi menjadi siulan. Single keduanya iaitu ‘Benar Ku Tak Bohong’ masih lagi berada di dalam carta lagu di beberapa stesen radio tempatan.

Menyentuh mengenai single terbarunya itu, video muzik “Entah Apa Rasa” akan menemui peminat tidak lama lagi dimana penggambarannya baru sahaja dijalankan tempoh hari.

Aktiviti seterusnya selain mempromosikan single terbaru, Sissy Imann akan muncul di Konsert M. Nasir bersama Fynn Jamal dan The Koboi dan juga siri jelajah bersama Koir Kebangsaan Malaysia untuk sebuah konsert bertaraf antarabangsa tidak lama lagi.

Jika peminat ingin mengetahui lebih lanjut perkembangan penyanyi yang cukup berbakat ini, boleh lah follow Instagram dan Twitter “@sissyimann” dan Facebook ‘Sissy Imann’ . Sama-sama kita sokong penyanyi berbakat seperti beliau.

CM21rSsUEAEFbLS.jpg large

Screenshot_2015-08-16-18-50-46-1

Bersama Koir Kebangsaan

SISSY IMANN THE MUSIC MAKER

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

BerZUMBA di Concorde Hotel Shah Alam

Sheera Iskandar Selamat Bernikah Dengan Abdullah Harun