in ,

Sinopsis Telemovie Hari Kemerdekaan Mansur & Li Poh

Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal menyiarkan telemovie hari kemerdekaan arahan Bade Haji Azmi bertajuk “Mansur & Li Poh” khas buat tontonan setia salurannya sempena Hari Merdeka ini.

Mengisi slot Citra di TV2, usah ketinggalan menyaksikan drama menarik yang menampilkan kemunculan pelakon Talha Harith, Jojo Goh, Nadia Mustafa, Mandy Chong, Juhara Ayob, Jesse Lim dan Shahrolnizam Nor ini pada 2 September ini, pukul 10.00 malam.

Saksikan plot kisah watak utama Mansur dan Poh Lee Lee (Lily), dua orang remaja dari Kuala Lumpur yang sedang belajar di kolej swasta yang sama. Sungguhpun selalu bersua muka, mereka tidak mengenali diri masing-masing, dan mempunyai kelompok kawan yang berbeza. Di sebalik senyuman mereka di hadapan kawan-kawan, Mansur dan Lily sebenarnya sedang menghadapi masalah besar yang cuba dirahsiakan mereka daripada orang lain.

watak utama

Lily tertekan kerana bakal dikahwinkan dengan seorang lelaki pilihan keluarga. Sungguhpun perkahwinan terancang merupakan fenomena yang masih biasa berlaku di kalangan penduduk di negara kita, bagi Lily, seorang gadis yang mengaku berpendidikan tinggi, berfikiran terbuka dan moden, perkahwinan terancang merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima akalnya. Pun begitu, Lily terpaksa berdiam diri dan memendamkan perasaan kerana bersimpati dengan keadaan emaknya yang sedang sakit tenat. Dia risau sekiranya dia membantah rancangan itu, penyakit emaknya akan bertambah buruk.

Mansur pula menghadapi masalah yang lebih kurang sama, tetapi dari perspektif yang berbeza. Ibunya sudah lama sakit, tetapi keadaan wanita itu semakin hari semakin tenat. Mansur menghadapi tekanan perasaan yang hebat apabila mendapat berita bahawa ayahnya bakal berkahwin lagi. Kakak Mansur membantah keras perkahwinan ayahnya itu dan cuba menyuruh Mansur melakukan sesuatu untuk menghalang. Walaupun Mansur dan ayahnya jarang bersembang dan meluangkan masa bersama, Mansur amat menyanjung tinggi ayahnya. Ayahnya tidak pernah mengetepikan tanggungjawab pada keluarga, sekalipun sibuk dengan kerjayanya. Segala-galanya berubah selepas Mansur mendengar berita perkahwinan ayahnya itu. Mansur tidak mampu menerima hakikat itu. Namun, sebagai seorang anak yang soleh, Mansur tidak sanggup pula mempertikaikan keputusan ayahnya. Dan atas sebab yang sama, Mansur menderita secara dalaman, dan menyembunyikan segalanya di sebalik senyumannya.

Lily dan Mansur berkenalan apabila mereka belajar di dalam kuliah yang sama, yang dikendalikan oleh pensyarah yang agak ‘eccentrik’, iaitu Encik Shailesh. Lily dan Mansur memilih kuliah itu selepas mendapat maklumbalas bahawa Encik Shailesh ialah seorang pensyarah yang mudah dibawa berbincang, lalu menjadikan mata pelajaran itu senang lulus, berbanding dengan mata pelajaran elektif yang lain.

Kerana masalah yang dihadapi mereka, Mansur dan Lily mengambil sikap sambil lewa sahaja untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh Encik Shailesh. Mereka menyangka Encik Shailesh akan terus meluluskan mereka tanpa banyak soal. Alangkah terkejutnya mereka apabila Encik Shailesh terus menggagalkan mereka berdua, sehingga menyebabkan Mansur dan Lily berisiko tidak mampu menamatkan pengajian. Mansur dan Lily bertemu Encik Shailesh untuk membuat rayuan. Sambil menahan rasa malu, secara sipi-sipi.

Mansur dan Lily akhirnya berkongsi masalah mereka dengan pensyarah itu. Selepas kedua-duanya menyatakan masalah masing-masing, dan turut mengambilkira nama mereka berdua, Encik Shailesh akhirnya memberikan suatu tugasan berkumpulan kepada mereka berdua – untuk membuat laporan tentang interpretasi dan analisis ‘Perkahwinan Sultan Mansur Shah dengan Puteri Hang Li Poh’. Mansur dan Lily bersetuju dengan cadangan itu, walaupun tidak nampak relevannya tugasan baru itu.

Kisah bersulam ke Zaman Melayu Melaka, di mana dayang-dayang sedang berbincang tentang ura-ura Sultan Mansur Shah yang bakal berkahwin dengan seorang puteri dari negara asing. Mereka tidak nampak apa relevan perkahwinan campur itu. Dayang-dayang ini mula berasa takut apabila mengetahui bahawa perbualan mereka itu telah didengari Permaisuri Sultan. Mereka minta maaf kepada Permaisuri Sultan dan cuba menjelaskan keadaan. Dengan senyuman lembutnya, Permaisuri Sultan mengetepikan semua itu dan menyuruh dayang-dayang itu kembali menyelesaikan tugas masing-masing. Pun begitu, Permaisuri Sultan juga hanya wanita biasa. Tatkala mengenangkan semula perbualan awal tadi, naluri kewanitaannya turut terdetik memikirkan cinta hatinya yang bakal dikongsi dan dibahagikan lagi selepas ini.

Demi mahu menamatkan pengajian, mereka berdua berkumpul semula untuk menjayakan tugasan itu. Mereka turut berbincang semula tentang masalah peribadi yang dihadapi. Namun, kerana masalah dan ego masing-masing berlaku salah faham sehingga menyebabkan mereka berdua beredar dari situ sambil bermasam muka.

Rasa tidak puas hati Mansur itu melarat apabila dia sampai di rumah dan melihat ayahnya yang sedang berbual telefon dengan ‘bakal isteri’ baharunya. Ayah Mansur, Tuan Imran, nampak perubahan sikap anaknya itu, dan cuba berbaik dengannya. Namun, Mansur enggan melanjutkan perbualan, lebih suka mengurungkan diri di dalam bilik, dan cuba melupakan masalahnya itu dengan membaca dan membuat kajian tentang tugasannya. Ulangkaji dan pembacaan Mansur itu mendedahkan kepadanya sejarah awal pemerintahan Sultan Mansur Shah ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melaka, lalu kita pun dibawa pulang ke era kegemilangan empayar Melayu itu.

Sementara itu, di rumahnya, Lily juga sedang menahan genangan air mata, apabila melihat keadaan ibunya yang sedang sakit, sambil merayu Lily agar menerima pinangan lelaki pilihan ayahnya. Lily ingin membantah, tetapi tidak sanggup berbuat demikian. Lalu, dia memberi alasan untuk beredar dari situ tanpa mahu memandang wajah ayahnya. Hubungan Lily dengan ayahnya agak dingin kerana ketika Lily kecil, ayahnya tidak berada di sisi, dan terpaksa mencari rezeki di tempat lain. Lily membesar bersama ibunya, yang turut bekerja keras untuk menampung kehidupan. Walaupun sudah lama keadaan itu berlalu dan ayahnya cuba berbaik dengannya, Lily tetap enggan berbuat demikian. Dia menyalahkan ayahnya atas apa penyakit ibunya – yang dirasakan terjadi kerana berkerja terlalu keras dan kuat ketika zaman mudanya dahulu.

Apabila ayahnya cuba berbaik dengannya, Lily terus mengurungkan diri ke dalam bilik. Dia terus terkenangkan perkahwinan terancang yang bakal berlaku pada dirinya. Segala perasaan takut, cemas dan marah terus menyelebungi diri, barangkali, sama seperti perasaan Puteri Hang Li Poh ketika diberitakan bahawa dia bakal dinikahkan dengan Sultan Mansur Shah. Dengan itu juga, kisah tersulam semula ke abad lama itu.

Lily dan Mansur bertemu di kolej semula pada keesokan hari. Masing-masing meminta maaf, dan akhirnya bersetuju untuk berbincang tentang tugasan mereka. Sambil berbincang, Lily mula mempertikaikan ‘orang lelaki’ yang suka menyalahgunakan kuasa dan kepercayaan yang diberikan mereka. Perasaan Lily ini ada kena-mengena dengan ketidakpuasan hati Lily terhadap ayahnya.

Malangnya, Mansur pula terasa dek kata-kata Lily itu dan menyalahkan ‘golongan perempuan’ yang menurutnya, suka mengambil kesempatan ke atas lelaki, semata-mata kerana harta dan kekayaan. Pandangan Mansur ini juga lebih berbaur peribadi sifatnya, apabila memikirkan ‘bakal isteri’ ayahnya, yang menurutnya, sanggup berkahwin atas dasar harta.

Perbualan mereka bertambah panas selepas itu apabila Mansur dan Lily masing-masing cuba mempertahankan hak jantina masing-masing. Mansur cuba mempertahankan pengorbanan sebahagian orang lelaki yang ‘terpaksa melakukan apa yang harus dilakukan’. Lily pula mempertahankan wanita ‘yang teraniaya kerana keputusan yang dilakukan oleh orang lelaki semata-mata’. Masing-masing enggan berganjak daripada pendirian, sehingga akhirnya, Mansur mengungkitkan tentang ura-ura yang didengarinya, iaitu, sama ada benar Lily akan berkahwin atas pilihan keluarga? Lily berasa malu dan marah sekali, lalu mengungkitkan pula ura-ura tentang Mansur, sama ada benar ayahnya sudah mempunyai isteri lain tanpa pengetahuannya selama ini? Soalan itu menimbulkan lebih banyak ketegangan lalu, Mansur dan Lily pun terus beredar dari situ dalam keadaan bengang.

Kasihan dengan nasib Lily, kawan-kawannya memberikan suatu cadangan, iaitu, menipu bakal suaminya (pilihan bapanya), bahawa dia enggan meneruskan perkahwinan terancang itu, kerana sudah mempunyai kekasih hati. Lily bersetuju dengan rancangan itu, lalu cuba meminta bantuan ‘Mansur’ untuk menyamar menjadi kekasih hatinya. Lalu apakah kesudahannya?

talha harith..pelakon utama

babak sedih Puteri Hang Li Poh

Leave a Reply

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Senamrobik Merdeka Bersama JoHaRa Pagi ERA

Peraduan Tayangan Premiere Filem ANNABELLE