in

Sinopsis Drama Bersiri Persona Sukma

26 Episod “Persona Sukma” Kongsi Kisah Lara Seorang Gadis Di TV1

Saksikan kemunculan Azhar Sulaiman, Nas-T, Fazreen Rafi, Julia Ziegler, Erry Putra, Amanda Misbun, Z. Zamrie, Ixora Chern, Sheila Mambo, Zarynn Min juga memperkenalkan pelakon berbakat Ruzana Ibrahim sebagai watak utama dalam sebuah drama bersiri terbaharu, Persona Sukma disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 3 November depan, setiap Sabtu dan Ahad, jam 7.00 malam menerusi TV1.

Drama terbitan Bright Network Sdn Bhd ini mengangkat kisah suka duka hitam putih watak Hannah sedang mencipta nama besar dalam dunia peragaan fesyen. Dalam usianya yang masih belasan tahun, kehidupannya dilimpahi kemasyuran yang membuatkannya dicemburui ramai. Namun sebaliknya tiada siapa pun tahu realiti sebenarnya dia berdepan dengan konflik setelah ibu bapanya meninggal dunia. Dia membesar seperti dalam penjara di bawah jagaan bapa saudaranya, Bakri. Bakri sentiasa mengawal ketat pergerakan Hannah dan mengongkongnya.

babak dalam Persona Sukma

Dengan populariti yang diraih anak saudaranya itu, Bakri membuka agensi modelnya sendiri dan menerima kontrak dari syarikat-syarikat besar yang membuatkan Bakri mula alpa. Dia boros menggunakan wang yang kemudiannya membuatkan dia sentiasa kesempitan wang dan berhutang.

Dalam diam pergerakan Hannah sentiasa diintip oleh Eddie, jurugambar bebas agensi model milik Bakri. Dia terlalu obses dengan kecantikan Hannah dan berhasrat memiliki gadis itu sepenuhnya. Namun Hannah secara terang-terangan menolak kehadiran Eddie. Sebaliknya dia menjalinkan hubungan rapat dengan Iskandar, jurusolek dalam agensi yang sama. Segala suka duka dikongsi bersama lelaki itu yang menyebabkan Eddie menyimpan dendam terhadap keduanya. Pada masa sama Hannah turut dicemburui dua model, Farah dan Cindy yang hanya menjadi pilihan Bakri bila Hannah terikat dengan jadual yang ketat dengan sesi peragaannya.

Tersepit dengan hutang Along, Bakri terpaksa bersetuju mengahwinkan Hannah dengan seorang lelaki tua yang kaya semata-mata mahu melangsaikan hutangnya yang banyak. Mujur Hannah terlebih dahulu mengetahui niat buruk Bakri lalu dia meminta tolong Iskandar untuk lari.

Dengan pertolongan Iskandar, Hannah melarikan diri ke sebuah pekan kecil dan tinggal dengan saudara temannya itu bernama Uya. Perkara pertama Hannah mengubah identiti dirinya dengan bertudung dan namanya kepada Sukma. Begitu pun lama-kelamaan Hannah mula bosan dengan terperuk di rumah dan meminta Uya mencarikannya kerja.

Hannah kemudiannya ditawarkan menjadi pengasuh kepada Diya, anak kepada Adam yang telah bercerai dengan isterinya. Meskipun kekok namun berkat usahanya Hannah berjaya membiasakan diri dengan tanggungjawab barunya itu. Dia menjaga Diya seperti anak sendiri apatahlagi Adam sekeluarga melayannya dengan baik sekali.

Kebahagiaan dikecapi tidak lama bila tanpa diduga Eddie muncul di tempat baru Hannah. Pertama kali terpandang Sukma dia tahu gadis itu yang diimpikannya. Lalu Eddie cuba membongkar rahsia disembunyikan Sukma. Sebaliknya Sukma sedaya upaya menonjolkan dirinya yang baru untuk meyakinkan semua orang yang mula curiga.

Satu hari Sukma hilang diculik. Angkara siapakah yang menyebabkan kehilangan Sukma? Masihkah ada ruang bagi Bakri untuk menebus kesalahan terhadap anak saudaranya itu? Saksikan kesudahan drama rantaian 26 episod ini hanya di TV1.

Julia Ziegler dalam Persona Sukma

watak Sukma

Drama Persona Sukma

Leave a Reply

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Gambar Vokal Bukan Sekadar Rupa Musim Kedua

Min Hyo Rin Tuntut RM222 juta Dari Doktor Pakar Bedah Plastik