in ,

Siar Drama Terbaik Sempena Hari RTM ke-67

Tiga Drama Khas Tayangan Hari RTM Di TV1

Sambutan Hari RTM ke-67 pada 1 April ini dimeriahkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan pilihan tiga drama menarik khas untuk tontonan penonton setia salurannya yang berkongsi plot kisah bertemakan kekeluargaan untuk seisi keluarga.

Disiarkan setiap hari mengisi slot popular saluran TV1 termasuklah Panggung Satu, Nurani dan Panggung Ahad yang sememangnya tidak pernah gagal dalam membawakan drama-drama terbaik dengan menampilkan lakonan berkesan pelakon tanah air, saksikan drama bertajuk Hadiah Untuk Ayah (5 April 2013, jam 10.30 pagi), Kerapu Tiga Luka (6 April 2013, jam 3.05 petang) dan diakhiri tayangan Cucu Wan Lebar (7 April 2013, jam 10.00 pagi).

Drama Cucu Wan Lebar-001

Eratkan jalinan hubungan kekeluargaan antara seorang anak dengan ayah dengan mengikuti babak-babak menarik menyentuh hati dalam drama bertajuk “Hadiah Untuk Ayah” menampilkan gandingan mantap pelakon Aman Graseka, Latif Borgiba, Airis Yasmin dan Danial Boboi. Ia mengisahkan Helmi dan Lukman ingin memberikan hadiah kepada ayah mereka sempena ulang tahun ayah mereka. Namun keduanya tidak berkemampuan untuk membelikan hadiah yang mahal buat ayah mereka itu. Akhirnya mereka membuat keputusan untuk menghadiahkan ayah mereka seutas tasbih yang pernah mereka putuskan sewaktu masa dahulu.

Umpama kata pepatah terlajak perahu boleh di undur, terlajak kata badan binasa, kemudiannya kongsikan drama sarat pengajaran yang di sampaikan secara santai kepada penonton bertajuk “Kerapu Tiga Luka” lakonan Mustafa Kamal, Qazem Nor, Jaafar Onn, Sharifah Sakinah, Puteri Sarah, Adam Shah dan Airis Yasmin.

Menariknya drama arahan Asri Alias FDAM ini mengangkat kisah watak dua utama Haniff dan Nazran yang juga pasangan anak dan bapa. Kedua-duanya berjaya mencapai cita-cita menjadi chef yang sangat terkenal seperti yang diimpikan. Namun kedua-duanya mula alpa dengan kejayaan yang dicapai hingga mengabaikan isteri masing-masing yang selama ini menjadi pendorong utama di sebalik kejayaan mereka. Mampukah mereka memperbetulkan keadaan atau pun sebaliknya terpaksa berserah dengan takdir?

Seterusnya usah ketinggalan berkongsi kenakalan dan aksi mencuit hati telatah cucu-cucu opah Wan Lebar mengetengahkan lakonan Khatijah Tan, Kazar, Ard Omar, Halim Sabir, Ramasundram dan Pakcu Raja Lawak.

Drama “Cucu Wan Lebar” berkongsi kisah 10 orang cucu dan yang paling menonjol watak Pudin, yang banyak mengetuai aktiviti mereka. Satu petang Pudin dikejar lembu milik Muthusamy. Dalam cubaan melarikan diri, dia memanjat pokok namun terjatuh dan patah kaki. Doktor mengesahkan kaki kiri Pudin retak dan urat saraf kaki kanan pula rosak. Kos ‘baik pulih’ kaki Pudin dianggarkan mencecah tiga ribu ringgit.

Bila Pudin patah kaki, sepupunya yang lain juga “patah kaki”. Segala aktiviti mereka tergendala. Misi pertama mereka cuba mendapatkan kerusi roda. Mereka bekerja ‘part time’ dengan Muthusamy. Cukup duit, mereka membeli kerusi roda terpakai. Misi seterusnya mencari duit untuk kos pembedahan kaki Pudin.

Satu petang Najmi ternampak poster Pertandingan Bola Sepak 7 sebelah yang hadiah utamanya seribu ringgit. Mereka menubuhkan W.L FC. (Wan Lebor FC). Semak samun tepi rumah dibersihkan untuk dijadikan padang latihan mereka. Mereka berlatih dalam serba kekurangan, tetapi meriah dengan sokongan. Apatahlagi ramai yang sudi menaja jersi, sarapan dan sepanduk untuk mereka. Cucu-cucu perempuannya menubuhkan pasukan sorak yang dianggotai Cu Leha, Pak Ngah Sudin dan Muthusamy anak beranak. Oleh kerana Pudin ketua pasukan sorak yang berkerusi roda, jadi dia mencipta gerakan sorak secara duduk.

Tiba hari pertandingan, seisi kampung datang memberikan sokongan. Lori Muthusamy digunakan untuk membawa pemain, Mereka bermain bersungguh-sungguh, namun mereka tewas. Mereka kecewa, tetapi Wan Lebor tetap tersenyum bangga. Wan Lebor bangga dengan semua cucunya, walaupun mereka tidak sehebat anak orang lain tetapi berjiwa besar dan sanggup bersusah senang bersama.

Kekecewaan mereka didengari penaja utama pertandingan, Datuk Kassim. Kagum dengan ikatan kasih sayang cucu-cucu Wan Lebor, dia akhirnya bersetuju untuk menaja kos ‘pembedahan’ kaki Pudin. Itulah kemenangan sebenarnya buat mereka.

Kasih seorang ayah dalam drama Hadiah Untuk Ayah-001

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Teater Tepuk Amai-Amai Meneruskan Semangat Ramleefestasi

Wings Terbangkan Gitaris Ian Antono Untuk Wings Rockestra 2013