in , ,

Siar Berita Berbaur Firnah, Blogger Mohon Maaf Terhadap Sheila Rusli Sekeluarga

Menyedari kesilapan sendiri, blogger Kaki Komen yang menyiarkan berita berbaur fitnah mengenai keluarga pelakon dan penerbit, Sheila Rusly tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dalam Facebooknya hari ini.

Kaki Komen menerusi satu hantaran memaklumkan, pihaknya memohon maaf secara terbuka susulan penerbitan kapsyen yang didakwa berbaur fitnah terhadap keluarga Sheila dan menantunya yang juga pelakon, Elisya Sandha.

“Kami selaku admin Kaki Komen ingin memohon maaf secara terbuka atas kesilapan kapsyen mengenai Elisya dan Sheila.

“Dengan ini, kami ingin memohon maaf kepada keluarga Jinggo (suami Sheila), Sheila, keluarga Elisya dan mengakui kesilapan serta berjanji tidak akan mengulangi lagi,” tulisnya dalam entri tersebut.

Selain permohonan maaf secara terbuka, pengendali Facebook berkenaan turut menitipkan pesanan kepada blogger lain agar sentiasa berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang berita.

“Saya mahu berkongsi kesedaran saya dengan rakan-rakan blogger yang lain supaya pastikan sumber itu benar sebelum membuat sesuatu hantaran kerana sesungguhnya, dosa, pahala, syurga dan neraka itu benar,” tulisnya.

Hari ini, blogger terbabit mencetuskan kemarahan Sheila selepas memuat naik kenyataan kononnya aktres itu pernah mencadangkan nama pelakon, Janna Nick sebagai calon isteri untuk anaknya, Uzair Haqimy tetapi ditolak Janna sebelum memilih Elisya.

Disebabkan kapsyen tersebut, Sheila bertegas mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap blogger terbabit yang didakwa menabur fitnah kepada keluarga, anak dan menantunya.

Menurut Sheila dalam laporan Kosmo! Online hari ini, keputusan tersebut diambil kerana dakwaan blogger berkenaan melibatkan maruah banyak pihak.

Terdahulu, Uzair dan Elisya selamat bergelar suami isteri dalam satu majlis serba ringkas pda Sabtu lalu. – K! ONLINE

‘Saya Akan Cari Dan Saman!’ – Sheila Rusly

Penerbit dan pelakon, Sheila Rusly bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap blogger dan netizen yang menabur fitnah kepada keluarga, anak dan menantunya.

Ini berikutan tindakan portal dan blog yang memuat naik kenyataan kononnya Sheila pernah ‘mencadangkan’ nama pelakon, Janna Nick sebagai calon isteri untuk anaknya, Uzair Haqimy tetapi ditolak Janna sebelum Uzair memilih Elisya.

Uzair dan Elisya melangsungkan pernikahan, Sabtu lalu.

Sheila ketika dihubungi berkata, keputusan itu dibuat kerana fitnah itu membabitkan maruah banyak pihak.

“Anak saya baru tiga hari bernikah, tapi sudah ada cerita-cerita fitnah sebegini. Saya kena ambil tindakan undang-undang kerana ia membabitkan maruah keluarga saya, anak, menantu dan keluarga besan saya.

“Mereka (blogger) menggembar-gemburkan seolah-olah menantu saya adalah pilihan kedua,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia mendapat tahu mengenai penyebaran berita itu melalui beberapa pengikutnya di Instagram.

“Ada beberapa pengikut saya yang kongsikan mengenai kewujudan fitnah ini. Mereka merasakan bahawa fitnah ini tidak patut ada di media sosial.

“Kemudian, ada beberapa rakan seperjuangan yang aktif di blog turut berkongsi maklumat sama. Saya akan cari semua blogger itu dan saman,” katanya.

Setakat ini, Sheila sudah dimaklumkan bahawa blogger tidak bertanggungjawab itu sudah memadam keterangan (caption) asal.

“Saya dimaklumkan, dia sudah memadam ‘caption’ itu. Tapi, sehingga kini tidak ada sebarang permohonan maaf atau saya dihubungi oleh mana-mana blogger. Saya juga diberitahu bahawa ramai blogger yang sudah mengambil dan sebarkan berita itu. Jadi, saya akan selidik dan cari, berapa banyak portal blog yang melakukan perkara sama,” katanya.

Sheila berharap supaya tindakannya ini akan menjadi pengajaran buat setiap individu supaya tidak sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah.

“Saya harap mesej ini sampai kepada semua individu termasuklah blogger-blogger ini. Biar ini menjadi pengajaran dan iktibar buat mereka agar tidak sewenang-wenangnya mencanang mengenai kisah yang tidak benar.

“Jangan ingat sebab saya, anak dan menantu adalah selebriti, mereka boleh menggunakan platform kami untuk melariskan cerita mereka. Saya takkan biarkan mereka memijak kepala saya dan keluarga saya,” katanya.

*Sumber: Harian Metro

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Hayati Makna Sebenar Kemerdekaan di TV Alhijrah

Terbukti Bukan Bapa Ayam, Tauke Syukur Tak Didakwa, Tekad Tinggal Dunia Hiburan