in ,

Showcase Virtual Imbau Perjalanan Seni Dayang Nurfaizah

Pengalaman yang dilalui oleh penyanyi ini bukan sedikit malah sepanjang dua dekad mengabadikan diri dalam bidang muzik membuatkan Dayang Nurfaizah menjadi antara permata berharga buat industri seni.

Sentiasa hadir dengan pelbagai produk baharu saban tahun, kini dia tampil dengan SHOWCASE VIRTUAL DAYANG NURFAIZAH sempena kehadiran Syawal, bulan yang amat dinanti-nantikan seluruh umat Islam.

Menariknya, konsep dan idea yang diketengahkan oleh INDIGITAL MUSIC itu disambut baik olehnya yang tahu kebanyakan peminat setianya sentiasa menantikan aktiviti terbarunya itu.

Bakal disiarkan secara virtual menerusi saluran YouTube INDIGITAL MUSIC, showcase maya ini turut mendapat kerjasama dan sokongan penuh daripada stesen radio Hot FM dan Donna.

Showcase Virtual Imbau Perjalanan Seni Dayang Nurfaizah

Memilih beberapa buah lagu daripada album terdahulu yang diedarkan oleh INDIGITAL MUSIC, pastinya seleksi lagu itu akan mengimbau kembali kegemilangan Dayang di pentas ANUGERAH JUARA LAGU (AJL).

Hanya menggunakan telefon untuk proses rakaman, showcase virtual yang akan ditayangkan pada hari raya kedua (25 Mei 2020) itu turut mendapat sentuhan dan susun atur muzik oleh Tze Wan.

“Saya faham dengan kekangan pandemik Covid-19 dan beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan yang dilalui oleh rakyat Malaysia membuatkan semua orang berjaga-jaga.

“Ramai yang memilih untuk duduk di rumah dan bertepatan dengan itu juga membuatkan saya mengadakan showcase ini agar mereka boleh saksikan dari rumah sahaja.

“Ini merupakan kali pertama saya mengadakan showcase secara virtual dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat. Harapnya peminat tidak melepaskan peluang untuk sama-sama menyaksikannya nanti,”

– Dayang Nurfaizah

Menerusi showcase selama 30 minit itu, Dayang menyanyikan lima buah lagu terdiri daripada Di Pintu Syurga, Tak Pernah Menyerah, Lelaki Teragung, Separuh Mati Ku Bercinta dan satu lagu hari raya.

KONSERT VIRTUAL DAYANG NURFAIZAH

Tarikh: 25 Mei 2020
Saluran: YouTube Indigital Music Pukul: 4 PM
Kerjasama: Hot FM dan Donna

Dayang Nurfaizah

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Watak Berat Atikah Suhaime Dalam Adaptasi Novel MEMOIR KARMILA

Filem ADA APA DENGAN DOSA Angkat Isu Tuntutan Anak Luar Nikah