in , ,

Showcase Malam Mendengar Nadin Amizah Gegar Kuala Lumpur

Persembahan Emosional Berskala Orkestra Yang Menyentuh Jiwa, Dibawa Khas Dari Jakarta Ke Zepp Kuala Lumpur

Buat sekian kalinya, Nadin Amizah, penyanyi dan penulis lagu dari Indonesia yang terkenal dengan suara mendayu dan lirik puitis, kembali memukau peminat Malaysia. Kali ini, bukan sekadar persembahan biasa – tapi sebuah showcase istimewa bertajuk Malam Mendengaryang bakal berlangsung esok di Zepp Kuala Lumpur, dengan format orkestra penuh yang dijanjikan bakal menyentuh emosi paling dalam.

Ini merupakan kali kedua Nadin membuat persembahan di pentas Zepp Kuala Lumpur, selepas konsert Selamat Ulang Tahun yang berlangsung dengan penuh meriah tahun lalu. Namun, kali ini, aura dan suasananya dijangka jauh lebih syahdu, lebih peribadi, dan lebih menyentuh.

Saya sangat gementar. Setiap kali kembali ke Malaysia, rasanya seperti membawa sesuatu yang besar. Tahun lepas saya hadir dengan konsert Selamat Ulang Tahun. Kali ini, Malam Mendengar bersama Renjana Idea kembali ke tempat yang sama,” luah Nadin, penuh emosi.

Nadin Amizah

Persembahan Eksklusif Dengan Iringan 40 Pemuzik Orkestra Dari Jakarta

Apa yang menjadikan persembahan kali ini benar-benar unik adalah penggunaan orkestra penuh yang dibawa khas dari Jakarta. Bayangkan – sebanyak 40 pemuzik profesional bergabung di atas satu pentas, mengiringi suara merdu Nadin dalam versi gubahan lagu yang jauh lebih dramatik dan intim.

Ini pertama kali saya membawakan persembahan dengan orkestra. Saya datang bersama 40 pemuzik dari Jakarta dan saya amat berterima kasih kepada pihak penganjur kerana merealisasikan hasrat besar ini.” tambah Nadin penuh semangat.

Bersama beliau, Lasta Pratom, pengarah muzik berbakat yang sudah lama menjadi tulang belakang bunyi indah dalam lagu-lagu Nadin, memainkan peranan penting dalam susunan muzik orkestra yang akan didengar esok.

Saya membuat gubahan muzik sendiri untuk persembahan ini dan saya rasa ini antara diskografi gubahan terbaik saya. Setiap susunan muzik ini menggambarkan sisi lembut, indah dan menenangkan yang saya ingin kongsi dengan peminat,” katanya lagi.

Dengar Sambil Baring? Tak Boleh, Tapi Emosinya Tetap Sampai

Dalam versi asal di Jakarta, showcase Malam Mendengar membenarkan penonton untuk berbaring sambil menghayati muzik, mencipta suasana santai dan mendalam. Namun, untuk persembahan di Malaysia, Nadin dan pasukannya telah menyesuaikan pengalaman itu dalam bentuk duduk, tanpa menjejaskan kualiti emosi yang ingin disampaikan.

Saya memang impikan untuk buat persembahan yang orang boleh dengar sambil baring. Walaupun susah nak laksanakan di sini, saya pilih untuk sampaikan rasa itu melalui muzik orkestra, tapi yang lembut dan mendalam,” ujarnya.

Dan memang tepat. Muzik yang dibawakan akan melibatkan lebih daripada 10 buah lagu – termasuk yang pernah dibawakan dalam versi Malam Mendengar Jakarta – namun diberi nafas baharu, lebih halus, lebih matang, dan lebih menyayat hati.

Nadin Berambut Perang, Lagu Lebih Matang Dan Berani

Selain susunan muzik dan format persembahan yang baru, satu lagi transformasi besar adalah penampilan Nadin sendiri yang tampil dengan gaya berambut perang – simbol keberanian dan keyakinan baharu dalam kariernya. Kali ini, beliau juga akan membawakan lagu-lagu dari dua album penting: ‘Untuk Dunia, Cinta dan Kotornya’ – sebuah pengakuan seni yang lebih berani dan penuh ekspresi peribadi.

Saya sangat teruja kerana kali ini saya bawa banyak lagu dari album Untuk Dunia Cinta dan Kotornya. Dulu saya rasa belum berani untuk persembahkan semua itu, tapi sekarang saya percaya penonton Malaysia sudah bersedia.

Nadin juga tidak lupa memberikan penghargaan kepada penganjur persembahan, Renjana Idea.

Tanpa Renjana Idea, persembahan ini tidak akan jadi kenyataan. Terima kasih dari lubuk hati saya,” katanya penuh rendah diri dan rasa syukur.

Showcase Yang Wajib Dihadiri Peminat Muzik Emosional Dan Lirik Puitis

Dengan barisan pemuzik yang mantap, susunan lagu yang indah, suara merdu Nadin yang penuh rasa dan penampilan yang kini lebih matang, showcase ini dijangka menjadi antara persembahan paling dikenang tahun ini di Kuala Lumpur. Jadi kalau anda peminat muzik jiwa-jiwa, yang suka lirik yang mengusik hati dan suasana yang tenang tapi beremosi, persembahan ini adalah satu malam yang tidak boleh dilepaskan.

Showcase “Malam Mendengar” bersama Nadin Amizah akan berlangsung esok malam di Zepp Kuala Lumpur, dibawakan khas oleh Renjana Idea.

Apa Kata Budiey?

Dari apa yang Budiey perhati, ini bukan sekadar persembahan muzik – ini adalah satu bentuk pengalaman emosi yang dibalut dalam susunan muzik yang mendalam. Keberanian Nadin untuk tampil dengan format orkestra penuh dan membawakan lagu-lagu dari diskografi paling peribadi menunjukkan bahawa muzik kini bukan hanya untuk didengar, tetapi untuk dirasai sepenuh jiwa. Budiey harap lebih ramai artis tampil dengan keberanian seperti ini – mementingkan cerita dalam lagu, bukan sekadar populariti.

Kalau anda dah biasa pergi konsert yang bising dan penuh sorakan, Malam Mendengar akan jadi satu perubahan rasa yang menyucuk perasaan. Jangan lepaskan peluang, dan mungkin… sediakan tisu.

Nadin Amizah

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

OPPO Pad SE Baharu Menjadi Pilihan Tablet Sesuai Untuk Seisi Keluarga