in ,

Shaheizy Sam Menang Bintang Paling Popular 2014

Shaheizy Sam diangkat sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014 (ABPBH 2014) apabila mengungguli undian tertinggi dengan memperoleh 265,703 undian pada malam kemuncak yang berlangsung di Arena of Stars Genting Highland, sebentar tadi.

Pastinya, ini adalah kemenangan kali ketiga buat pelakon itu selepas memenangi anugerah sama pada 2010 dan 2012.

Kemenangan itu membolehkan Sam membawa pulang hadiah berupa sebuah kereta Camry Hybrid sumbangan Toyota dan sebuah trofi.

Dalam pada itu, Sam kembali meraih gelaran Pelakon Filem Lelaki Popular. Siti Saleha pula mengekalkan kejayaannya tahun lalu apabila menggondol anugerah Pelakon Filem Wanita Popular.

Kategori Penyanyi Lelaki dan Penyanyi Wanita Popular masing-masing buat pertama kalinya dimenangi Akim juga Adira.

Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon TV Wanita Popular, masing-masing dimenangi Shah Iskandar dan Nad Zainal. Ini merupakan kemenangan kali kedua Shah dan kali pertama buat Nad.

Kategori Artis Berkumpulan/Duo Popular menepati jangkaan ramai apabila trofi itu menjadi milik kumpulan yang cukup popular menerusi lagu Mewangi iaitu Akim & Majistret.

Hafreez Adam mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi kategori Artis Baru Lelaki Popular dan seperti dijangka gelaran Artis Baru Wanita Popular milik heroin Rindu Awak 200%, Ayda Jebat.

Pelawak Didie Alias pula berjaya merampas semula trofi Artis Komedi Wanita Popular yang dimenangi Jihan Muse tahun lalu.

Pelawak sensasi kesayangan ramai masa kini, Abam mencipta kemenagan sebagai Artis Komedi Lelaki Popular.

Kategori Penyampai Radio Lelaki Popular dan Penyampai Radio Wanita Popular, masing-masing dimenangi Johan Raja Lawak dari stesen Era FM dan Fara Fauzana (Hot FM).

Sementara itu, pelakon dan pengacara Neelofa berjaya merangkul anugerah Pengacara TV Wanita Popular buat kali kedua. Begitu juga dengan pengacara nombor satu negara, Datuk Aznil Hj Nawawi yang kembali berjaya menambah koleksi trofi Pengacara TV Lelaki Popular yang mana tahun lalu kategori itu dimenangi oleh Datuk AC Mizal.

Turut mencuri tumpuan, kategori online yang menotakan pemenang seperti Zul Ariffin sebagai Artis Lelaki Stailo. Kategori Artis Paling Kontroversi milik Sharnaaz Ahmad dan personaliti popular Faiz Dickie.

Anugerah pencapaian sepanjang hayat diberikan kepada Tan Sri SM Salim atas pencapaian dan sumbangan beliau sebagai pejuang muzik irama tradisional selama enam dekad.

Bertemakan cinta, acara gilang gemilang itu diacarakan oleh Amy Mastura, Sherry Al-Hadad dan AG (Hot FM) selain beberapa penyampai jemputan seperti Adi Putra, Zara Zya, Fathia Latif, Zul Ariffin, Neelofa, Siti Saleha dan Adik Puteri Balqis serta anak beranak, Khaty Azean, Sam dan Datin Zizie Izzette.

Majlis turut diserikan dengan pelbagai persembahan mantap daripada barisan artis hebat tanah air seperti Faizal Tahir, Datuk Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Kumpulan Bocey dan Yassin, Ella dan Korie, Salamiah Hassan dan Atilia serta gandingan empat penyanyi lelaki sensasi masa kini, Black, Akim, Azlan (Typewriter) dan Hazama.

ABPBH 2014 edisi ke-28 anjuran Berita Harian adalah acara pengiktirafan berdasarkan undian peminat menerusi borang disiarkan akhbar dan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) untuk artis dan selebriti tanah air dalam bidang perfileman, muzik dan penyiaran.

Majlis gilang-gemilang lebih dua jam setengah itu disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan stesen radio Hot FM.

Berikut senarai penuh pemenang ABPBH-2014

1) Bintang Paling Popular:

2) Penyanyi Lelaki Popular: AKIM

3) Penyanyi Wanita Popular: ADIRA

4) Artis Duo/ Berkumpulan Popular: AKIM & THE MAJISTRET

5) Artis Baru Lelaki Popular: HAFREEZ ADAM

6) Artis Baru Wanita Baru Popular: AYDA JEBAT

7) Pelakon Filem Lelaki Popular: SHAHEIZY SAM

8) Pelakon Filem Wanita Popular: SITI SALEHA

9) Pelakon TV Lelaki Popular: SHAH ISKANDAR

10) Pelakon TV Wanita Popular: NAD ZAINAL

11) Artis Komedi Lelaki Popular: ABAM (Bocey)

12) Artis Komedi Wanita Popular : DIDIE ALIAS

13) Pengacara TV Lelaki Popular: DATUK AZNIL NAWAWI

14) Pengacara TV Wanita Popular: NEELOFA

15) Penyampai Radio Lelaki Popular: JOHAN RAJA LAWAK (Era FM)

16) Penyampai Radio Wanita Popular: FARA FAUZANA (Hot FM)

KATEGORI ONLINE

1) Personaliti Popular : FAIZ DICKIE

2) Artis Lelaki Stailo : ZUL ARIFFIN

3) Artis Wanita Stailo : DATUK SITI NURHALIZA

4) Pasangan Romantis : AWAL ASHAARI & SCHA AL-YAHYA

5) Artis Paling Kontroversi : SHARNAAZ AHMAD

ANUGERAH KHAS

Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat: TAN SRI S.M SALIM

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Siti Saleha Gementar Menyanyi di Depan Tun Mahathir

Selamat Pengantin Baru Taufik Batisah