in ,

Shah Iskandar Cedera Ditimpa Motosikal Sendiri

Pelakon Shah Iskandar terpaska berehat selama sebulan daripada bidang seni selepas mengalami kecederaan pada bahagian lutut dan pergelangan kaki kanannya akibat kemalangan seminggu yang lalu.

Shah atau nama sebenarnya Shah Iskandar Mahfuz, 33, berkata, biarpun keadaannya tidak serius namun doktor menyarankan supaya dia berehat sekiranya mahu segera kembali berlakon.

“Saya sepatutnya menggunakan tongkat atau pun kerusi roda untuk tidak memberikan tekanan kepada kaki kanan saya tetapi biasalah degil.

“Alhamdulillah saya tidak mengalami kecederaan yang begitu teruk tetapi ia tetap mengambil masa untuk sembuh sekiranya saya tidak berehat dengan secukupnya,” katanya kepada mStar Online.

Shah ditemui ketika menghadiri majlis berbuka puasa anjuran syarikat rakaman Sony Music di Hotel Royale Chulan di sini, Jumaat lalu.

Menceritakan kejadian tersebut, Shah berkata, dia terjatuh selepas gagal mengelak lopak sebelum dia rebah lalu dihempap oleh motosikal miliknya sendiri.

“Ketika kejadian saya berhenti di lampu isyarat dan semasa hendak tukar gear saya tidak perasan ada lopak dan tidak sempat mengelak sebelum hilang kawalan.

“Akibatnya saya dihempap oleh motosikal sendiri dan Alhamdulillah ada penggguna jalan raya lain menolong mengangkat saya ke tempat selamat,” ujarnya.

Sementara itu, tempoh rehat tersebut akan digunakan untuk pulang ke kampungnya di Woodlands, Singapura bagi menghabiskan masa bersama keluarga bersempena Ramadan dan Aidil Fitri.

“Ada hikmahnya juga kejadian ini kerana dapat bersama keluarga terutama ibu saya sepanjang Ramadan ini,” katanya.

Sumber: Mstar Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Didi Astillah Lebih Dikenali Sebagai Insta Famous

Freddie Fernandez Dakwa Diana Johor Berbohong