in ,

Keinsafan Dalam Drama Bersiri SEUNTAI TASBIH

Menampilkan gandingan pelakon utama Beego dan Linda Hashim, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan drama bersiri “Seuntai Tasbih” mulai 30 April ini, setiap Ahad, pukul 9.30 malam menerusi saluran TV2. 13 episod drama ini turut dibintangi oleh Rosnah Johari, Ilya Senario dan Heela Monica.

Ia mengisahkan tentang kehidupan seorang remaja wanita bernama Shila yang tinggal bersama ibunya yang telah lumpuh, Mariam dan ayah tirinya bernama Jaafar. Begitupun sejak kematian ayah kandungnya, Shila telah berubah sikap menjadi nakal dan gemar berpeleseran.

Seuntai Tasbih

Kemunculan Ustaz Akhil di bandar itu dan mengajar kelas agama telah mempertemukan Akhil dengan Jaafar. Jaafar kemudiannya meminta Akhil membantunya menjaga kebun. Jaafar menganggap Akhil tak ubah seperti anaknya sendiri.

Shila pula bercinta dengan Jeman seorang pelajar Indonesia yang sedang menjalankan kajian di Malaysia. Setelah Jeman pulang ke Indonesia, Shila melarikan diri dari Malaysia mahu mengikut kekasihnya itu pulang ke negara asalnya.

Akhil diterima menyambung pelajarannya di sebuah universiti di Indonesia. Dia berkawan rapat dengan seorang kenalan kuliahnya bernama Mazlina yang sama-sama menuntut di sana. Dalam diam Mazlina menaruh harapan cinta pada Akhil namun Akhil masih baru mengenalinya.

Akhil juga bekerja secara sambilan di sebuah majalah dan berkenalan pula dengan gadis bernama Fatiha, anak kepada pemilik sebuah syarikat penerbitan majalah. Hubungan mereka kemudiannya menjadi semakin akrab.

Seuntai Tasbih

Satu hari, Akhil telah bertemu dengan Shila. Shila menceritakan kesusahannya kepada pemuda itu. Di sana Shila hidup berpeleseran dan mahu kembali ke kampung. Akhil nekad mahu membimbing Shila kembali ke jalan yang benar.

Namun setibanya di kampung, Shila terpaksa menerima kenyataan ibunya telah meninggal dunia. Shila benar-benar terkilan dan amat sedih menerima kenyataan itu. Justeru dia memutuskan untuk memenuhi wasiat terakhir arwah ibunya yang mengharapkan Shila bersuamikan Akhil.

Begitupun sebenarnya masihkan ada ruang buat Shila merebut cinta Akhil yang turut sama dicintai oleh Mazlina dan Fatiha? Saksikan kesudahan drama konflik kekeluargaan ini.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Cara Dapat Tawaran Lebih Rendah & Shopee Akan Menebus Semula

Sunway Theme Parks Introduces ULTIMATE PASS