in

Sesi Ujibakat ON AIR di Johor Bahru Lebih Meriah

PESERTA UJIBAKAT DI JOHOR BAHRU TAMPIL LEBIH BERSEDIA

Kehadiran pertandingan realiti terbaru untuk mencari pengacara yang berkaliber dan serba boleh di Malaysia, On Air ternyata mendapat sambutan hangat apabila menerima penyertaan hampir 200 peserta sepanjang dua hari sesi ujibakat dijalankan.

Lokasi ujibakat di Hotel Puteri Pacific, Johor Bahru mula dipenuhi seawal jam 8 pagi apabila orang ramai mula beratur di kaunter pendaftaran untuk mendapatkan borang dan nombor giliran. Kebanyakkan daripada mereka yang hadir dilihat ditemani oleh ahli keluarga dan sahabat-handai bagi menandakan tanda sokongan.

PROMO TV:

Kehadiran juri jemputan, Dang Suria ternyata telah memberikan semangat kepada orang ramai untuk memberanikan diri untuk diuji bakat di hadapan ikon pengacaraan yang terkenal, Aznil Hj Nawawi dan Suhaimi Sulaiman.

Suhaimi Sulaiman Aznil

Ketua juri, Aznil Hj Nawawi yang tamat terharu dengan sambutan yang diberikan walau bagaimanapun mengingatkan mereka yang berminat untuk menghadiri sesi ujibakat di lokasi seterusnya agar datang dengan keadaan yang lebih bersedia.

“Saya ingin mengingatkan mereka yang akan hadir untuk diuji bakat di lokasi yang seterusnya supaya tidak terperangkap dengan gaya penampilan pengacara sedia ada. Kami mahukan seorang pengacara atau penyampai radio yang lebih versatil daripada yang ada sekarang. Kami berharap para peserta menjadi ikon dalam bidang pengacaraan dan relevan untuk 20 tahun akan datang,” ujar Aznil lagi.

Program ON AIR ini akan melihat seramai tujuh peserta lelaki dan wanita yang terpilih menerusi siri ujibakat di beberapa buah negeri akan ditempatkan di sebuah lokasi tertentu di ibukota untuk menjalani kursus melalui silabus yang telah ditentukan untuk memantapkan lagi pengetahuan dan ilmu mereka daripada pelbagai genre pengacaraan. Mereka akan diberi tunjuk ajar, pendedahan serta tugasan tertentu selama 10 minggu yang berlandaskan format televisyen iaitu Berita, Majalah dan Hiburan.

Juara bakal memenangi kontrak sebagai Artis Residen Astro selama tiga tahun dan pelbagai hadiah sampingan lain yang akan diumumkan kelak.

Kehadiran dua ikon dalam bidang pengacaraan yang tidak asing lagi iaitu, Aznil Hj Nawawi yang akan bertindak selaku ketua juri dan dibantu oleh Suhaimi Sulaiman. Selain bertindak sebagai juri, mereka juga bertanggungjawab untuk melatih dan membimbing para peserta menjadi seorang pengacara yang versatil.

Kejayaan Aznil memenangi Anugerah Bual Bicara Terbaik di Anugerah Televisyen Asia di Singapura pada tahun 2005 menerusi rancangan Macam Macam Aznil selain mengekalkan kemenangan sebagai Pengacara TV Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian selama lapan tahun sejak 2003 sehingga kini meletakkan beliau individu yang paling layak mengemudi rancangan ini.

Suhaimi Sulaiman pula bukanlah satu nama baru dalam bidang pengacaraan malah karier beliau dalam industri penyiaran sudah bermula seawal tahun 1990. Beliau kini mengendalikan rancangan temubual Agenda Awani dan Focus Economy dan merupakan pelopor strategi media Astro Awani dan bertanggungjawab membimbing dan melatih para penyampai dan pengacara di saluran berita dan informasi 24 jam yang pertama di Malaysia itu.

Setelah ke Pulau Pinang dan Johor Bahru, pihak produksi akan mengunjungi dua tiga buah lagi negeri bagi mengenal pasti peserta-peserta yang dilihat layak untuk menyertai program ini di lokasi-lokasi berikut:

1. Sarawak Merdeka Palace, Kuching 28 & 29 Januari 2012
2. Kuala Lumpur Pusat Penyiaran Asia (Astro), Bukit Jalil, 4 & 5 Februari 2012
** Kaunter pendaftaran bagi setiap sesi ujibakat dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang dan para peserta digalakkan untuk hadir awal bagi mengelakkan kesesakkan.

Peserta mestilah seorang lelaki atau perempuan, bujang atau sudah berkahwin dan mestilah seorang warganegara Malaysia berumur 18 tahun hingga 30 tahun dan boleh bertutur dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dengan baik dan mempunyai personaliti yang menarik. Para paserta ujibakat perlu membawa salinan kad pengenalan, resume dan sekeping gambar berukuran 4R.

Program realiti On Air ini bakal bersiaran di saluran rasmi; Astro RIA (saluran 104) pada 1 Februari ini. Butir-butir lanjut mengenai program ini akan diumumkan kelak.

INFO PENTING

Syarat ujibakat:
1. Peserta lelaki dan wanita (bujang atau sudah berkahwin)
2. Berumur di antara 18 hingga 30 tahun (pada 14 Januari 2012)
3. Memiliki kad pengenalan dan sijil kelahiran yang sah
4. Boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan baik
5. Mempunyai personaliti menarik

Sila bawa:
1. 1 keping gambar berukuran 4R
2. Salinan kad pengenalan
3. Resume

What do you think?

73 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Gambar Jaclyn Victor di Sidang Media KRU Music

Drama Biar Waktu Menjemputmu