in ,

Sinopsis Drama Adaptasi Novel SESEGAR NAILOFAR

Drama adaptasi novel dengan tajuk sama, “Sesegar Nailofar” karya Zaid Akhtar arahan Amor Rizan menemui penonton Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 23 Disember ini, setiap Jumaat hingga Ahad, pukul 7.00 petang mengisi slot Widuri di TV1.

Menampilkan gandingan pelakon utama Erwin Dawson sebagai Iqbal, Hanna Aqeela (Hazwani), Aishah Azman (Salsabila) dan Kodi Rasheed (Nazim) dengan dibantu oleh Zarina Zainuddin, Inas Sofea, Naszeli Ngasri, Nelissa Edreena, Shahriza Mahmud, juga Liza Zain.

Sesegarnailofar

Latar penceritaannya bermula dengan hubungan persahabatan antara Iqbal dan Salsabila terjalin sejak zaman persekolahan lagi. Salsabila kagum dengan kebijaksanaan Iqbal dalam pelajaran dan pada masa sama bertanggungjawab terhadap ibu dan adik kembarnya, Marisa.

Ibu Salsabila, Shahera seringkali menekankan kepadanya supaya mencari jodoh dalam kalangan keturunan Sargoff. Dalam diam dia merancang dengan kakaknya, Zaiton mahu menjodohkan Salsabila dengan Nazim, anak Zaiton yang baru menamatkan pengajian dari England. Salsabila menolak dalam diam kerana dia dan Iqbal mula saling menyayangi.

Poster Sesegar Nailofar

Ketika itu di kawasan perumahan mereka menjadi kecoh apabila ahli sebuah kumpulan jenayah, Kumpulan Gagak Merah telah ditangkap. Ditakdirkan Iqbal dan Marisa melanjutkan pengajian ke Mesir. Salsabila pula terpaksa menurut arahan keluarganya menyambung pelajaran dalam negara. Salsabila dan Iqbal berjanji akan setia dalam hubungan mereka dan Salsabila juga membantu kewangan Iqbal untuk perbelanjaan di Mesir.

Di Mesir Iqbal bertemu Hazwani, kawan baik Marisa dan Ghufron yang sama-sama belajar di Mesir. Berlaku kejadian yang membuatkan hubungan Iqbal dan Hazwni menjadi rapat. Pada masa sama Iqbal seringkali menerima kiriman email daripada seseorang yang menggelarkan dirinya sebagai Nailofar yang membuatkan dirinya tertanya-tanya siapakah gerangan penama tersebut.

Kodi Rasheed Watak Nazim

Rahsia percintaan mereka selama tiga tahun musnah bila Shahera mengetahui perkara tersebut. Salsabila pula menggesa Iqbal mempercepatkan usaha meminangnya. Iqbal akhirnya pulang ke Malaysia. Namun Iqbal terpaksa menerima hakikat Salsabila bernikah dengan Nazim kerana bimbangkan kesihatan ibunya yang mendesaknya berkahwin dengan lelaki itu. Rombongan Iqbal meminang Salsabila ditolak mentah-mentah oleh ibunya walaupun ayah Salsabila merestui hubungan anaknya dengan Iqbal.

Pada hari pertama perkahwinan, Salsabila terkejut dengan sikap Nazim yang baran dan kasar. Perkara itu disampaikan kepada ibunya namun dia dituduh mengadakan cerita. Iqbal terus menerima kiriman email Nailofar dan ayat yang digunakan sama seperti yang diucapkan Hazwani. Iqbal bertemu Hazwani untuk meminta penjelasan serta pengakuannya tentang identiti Nailofar. Akhirnya Hazwani mengaku tentang email tersebut.

Sementara itu Salsabila terkejut melihat gambar Nazim berlatar belakangkan logo Kumpulan Gagak Merah dan merasakan suaminya itu ada hubungan dengan kumpulan penjenayah tersebut.

Iqbal pula ke Malaysia dan bekerja di pejabat agama. Manakala Hazwani menjadi pensyarah di universiti yang sama dengan Salsabila mengajar. Mereka mesra sebagai rakan sekerja. Iqbal dan Hazwani pula akhirnya selamat menjadi suami isteri.

Hazwani meminta Salsabila menceritakan masalahnya bila melihat kesan lebam di muka kawannya itu. Salsabila yang sudah tidak tahan dipukul Nazim akhirnya memberitahu perkara sebenar. Hazwani meminta Salsabila mengadukan kepada pejabat agama. Di situlah Iqbal bertemu semula dengan Salsabila. Hazwani terkejut mengetahui Salsabila merupakan bekas kekasih suaminya.

Hazwani terkesan dengan kisah silam Salsabila dengan Iqbal yang menyebabkannya menjauhkan diri daripada Salsabila. Salsabila pula sedaya upaya meyakinkan Hazwani bahawa hubungan cinta dengan Iqbal telah lama berakhir.

Siasatan polis mendapati Nazim merupakan anggota Kumpulan Gagak Merah dan tidak menghabiskan pengajiannya di England. Salsabila berasa tertipu dengan kenyataan tersebut. Hazwani kecil hati dengan tumpuan Iqbal terhadap masalah Salsabila. Nazim mengamuk besar bila mengetahui Salsabila memberitahu perkara tersebut kepada keluarganya. Dia memukul Salsabila hingga menyebabkan isterinya itu cedera tulang belakang. Ketika itu juga Salsabila diceraikan oleh Nazim.

Kejadian itu membuka hati Hazwani untuk menerima kehadiran Salsabila dalam hidup mereka. Apakah Hazwani rela menerima Salsabila sebagai madunya? Ikuti kesudahan konflik drama kekeluargaan 13 episod terbitan produksi NS Star Studio ini di TV1.

Erwin Dawson Aishah Azman Sesegar Nailofar

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Pembukaan Store Konsep Vivo Sunway Pyramid

Senarai Penuh Pemenang Anugerah BMW Shorties 2018