in , ,

Separuh Akhir Pertandingan Dikir Barat 2022, Empat Kumpulan Mara 

Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengembalikan dan merancakkan kembali seni dikir barat ke layar televisyen dengan penganjuran Pertandingan Dikir Barat 2022 yang bermula peringkat suku akhirnya pada 21 Mei lalu.

Daripada lapan kumpulan yang bertanding di suku akhir, nama empat kumpulan diumumkan mara ke peringkat separuh akhir yang bakal berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur pada 28 Mei depan, pukul 9.00 malam menerusi saluran TV2.  

Mereka adalah Kumpulan Sri Dewi, Sidi Bara, Sirat Maharaja dan Sound Creative.

Kumpulan Sri Dewi yang ditubuhkan sejak tahun 2008 bukanlah asing lagi kepada penggemar dikir barat selepas menempa kejayaan terbaharu iaitu tempat ketiga dan kategori persembahan terbaik dalam Pertandingan Dikir Alam Sekitar Sempena Hari Alam Sekitar Negara 2020. Mengidolakan tukang karut iaitu Cikgu Naim dan Juara Salleh Jambu, kumpulan ini menyerlah dengan motto ‘Martabat Seni Menjunjung Pusaka’.

Separuh Akhir Pertandingan Dikir Barat 2022, Empat Kumpulan Mara

Sementara itu saingannya Kumpulan Sidi Bara pula juga bukan calang-calang dalam pencapaian mereka kerana berpengalaman mengadakan persembahan di luar negara, terlibat dalam Pertandingan Dikir Barat Peringkat Sekolah, Universiti Awam, Peringkat Agensi, Peringkat Negeri, dan Peringkat Kebangsaan. Mara dengan motto kumpulan ‘Kami Pendikir Pemikir Negara’, kumpulan ditubuhkan tahun 2017 ini meminati Allahyarham Megat Nordin (Juara) dan Cikgu Sulizi (Tukang Karut).

Ditubuhkan tahun 2014, Kumpulan Sirat Maharaja yang hadir dengan motto kumpulan ‘Memacu Kejayaan Bersama’ menjanjikan pesaingan yang hebat. Kumpulan yang mengagumi Juara Daud 7 dan Cikgu Naim (Tukang Karut) ini pernah merangkul pencapaian selaku Johan Bioteknologi (2016), Johan Dikir Dakwah (2017), Johan Dikir Belia (2018), Johan Bas Mutiara (2018), Johan Dikir Dakwah (2018), Johan Bioteknologi (2019), Naib Johan Hari Sains Sedunia (2019), Johan Anti Rasuah Anjuran JKKN & SPRM (2019) dan Johan Dikir Barat Warisan (2021).

Separuh Akhir Pertandingan Dikir Barat 2022, Empat Kumpulan Mara

Melengkapkan penyertaan ke peringkat separuh akhir iaitu Kumpulan Sound Creative. ‘Mencangkir Budaya, Menggenggam Agama’, begitulah bunyi pegangan kumpulan yang dibentuk sejak tahun 2013 ini. Pencapaian mereka termasuklah Naib Juara Pertandingan Dikir Barat Karnival Seni Budaya Kelantan (2014), Juara Pertandingan Akhir Dikir Barat Pesta Wau Antarabangsa (2015), Naib Juara Pertandingan Dikir Barat Perdana JKKN Kelantan (2016), Tempat Ketiga Pertandingan Dikir Barat Kebangsaan (2015), Juara Pertandingan Dikir Dakwah (2017), Naib Juara Dikir Barat Piala Belia Kelantan (2017), Pemuzik Terbaik Pertandingan Dikir Barat Piala Belia Kelantan (2017), Naib Johan Pertandingan Dikir Barat Terbuka Kelantan (2018) dan Tempat Ketiga Pertandingan Dikir Barat Asean Festival Bachok (2019).

Empat kumpulan tersebut berjaya meraih markah tertinggi dengan menewaskan empat pasukan lain iaitu Anak Singa, Seruling Kasih, Dendang Pendidik, dan Raja Gamuda Pasir Tumbuh.

Gandingan pengacara Issey Fazlisham dan Jeed Zulkifli serta artis undangan bakal memeriahkan pertandingan yang mengetengahkan konsep ‘Menjunjung Seni & Warisan’ ini. 

Daripada kesemua pasukan yang mara ke peringkat separuh akhir ini, hanya dua kumpulan sahaja yang bakal membuka laluan mencipta peluang dinobatkan juara pada peringkat akhir berlangsung pada 4 Jun depan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Shuk Sahar Terbang Ke Sandakan, Lepas Rindu Jumpa Anak-Anak

Marvel Studios Siar Trailer & Poster Filem THOR: LOVE AND THUNDER