in

Senarai Telemovie Sempena Aidilfitri 2012 di TVi

Slot Wayang i Janjikan Drama-Drama Meriahkan Lebaran Di TVi

Slot Wayang i yang menghiburkan tengah hari anda tepat jam 12.00 tengahari nyata semakin dekat di hati penonton saluran TVi. Meraikan lebaran dengan caranya yang tersendiri, TVi menjanjikan tayangan sembilan buah drama-drama menarik sepanjang sambutan Aidilfitri ini yang mengetengahkan variasi plot kisah drama kasih sayang, kekeluargaan dan tidak ketinggalan berlatarkan sambutan perayaan yang bakal diraikan kurang dua minggu lagi.

Saksikan sembilan buah drama dipilih RTM disiarkan menjelang 1 Syawal, 18 hingga 26 Ogos 2012, jam 12.00 tengahari yang dibarisi gandingan pelakon-pelakon terkenal baru dan lama tanah air menghidupkan babak-babak berkesan dalam menghiburkan penonton.

Antara artis berpengalaman yang bakal muncul termasuklah Harun Salim Bachik, Aznah Hamid, Fauziah Nawi, Azza Elite, Liza Abdulah, Zaibo, Maimun Mutalib, Faizal Hussein, Zizan Nin, Sidek Hussein dan Dian P.Ramlee. Watak mereka ‘disatukan’ dengan pelakon muda antaranya Julia Ziegler, Danny, Ikram Dinzly, Intan Ladyana, Talha Harith, Siti Fazurina, Juliana Ibrahim dan Emelda Rosmila sepanjang perayaan ini.

babak dalam Hero Desa

Hero Desa (18 Ogos 2012)
Mengisahkan sebuah pasukan produksi filem yang ingin mengadakan penggambaran di sebuah kampung. Pelakon lelaki utama telah menarik diri dan uji bakat terpaksa dibuat bagi mencari pengganti. Ramli seorang yang lurus telah menghadiri uji bakat tersebut, dan telah terpilih. Ini menyebabkan hubungan dengan Ramlah terjejas dengan kehadiran seorang pelakon popular yang sama-sama berlakon. Lakonan Julia Ziegler, Danny, Harun Salim Bachik dan Aznah Hamid.

Raya Yang Paling Raya (19 Ogos 2012)
Iwan dan Hadi telah berhijrah ke Kuala Lumpur dengan harapan dapat mencapai impian tetapi selepas tiga tahun nasib mereka masih tidak berubah. Apabila tiba hari raya, Adi mengajak Iwan memecah masuk rumah untuk mencari tambang balik ke kampung. Lakonan Jehan Miskin, Nubhan, Arash Mohamad, Abby Abadi dan Ayu Raudhah.

Shah Rukh Khan Malaysia (20 Ogos 2012)
Kisah mengenai seorang anak muda bernama Shah yang sangat fanatik dengan pelakon terkenal Shah Rukh Khan sehingga sering menganggap dirinya sebagai Shah Rukh Khan Malaysia. Lakonan Ikram Dinzly, Intan Ladyana, Afzan Abd Rahman, Saiful Nizen, Mohd Yusman, Midyanti dan Mohd Zaiden.

Kamar 5 Bintang (21 Ogos 2012)
Kisah mengenai tiga adik beradik yang berebut bilik di kampung apabila balik menyambut Hari Raya bersama keluarga di kampung halaman. Lakonan Fauziah Nawi, Azza Elite, Liza Abdulah, Bakhtiar Bolak, Hasli Bakar dan Talha Harith.

Menantu Raya (22 Ogos 2012)
Kisah mengenai Lisa yang ingin menyatukan ibu bapanya yang telah berpisah sebelum dia terikat dalam hubungan perkahwinan. Lakonan Zaibo, Maimun Mutalib, Siti Fazurina, Ghani Ahmad, Mark Loo dan Kanchana Devi.

Selamat Hari Raya Bapak (23 Ogos 2012)
Kisah tiga sekawan yatim piatu yang dibesarkan oleh seorang cikgu sejak kecil dan apabila dewasa salah seorang daripada mereka ditemukan dengan bapa kandung semasa Hari Raya Aidilfitri. Lakonan Jeff Omar, Collan Koo, Shree, Yus Edo dan Roslan Salleh.

Bertemu Kasih (24 Ogos 2012)
Kisah Shukri yang menyamar sebagai penuntut universiti bagi menyiasat sindiket penculikan dan penyeludupan bayi di sebuah perkampungan orang asli Sukun. Lakonan Faizal Hussein, Zizan Nin, Sidek Hussein dan Juliana Ibrahim.

Bahulu Celup (25 Ogos 2012)
Kisah mengenai Aina yang selalu dimanjakan oleh ibunya sehingga tidak mampu berdikari. Namun Aina cuba mengubah kehidupannya setelah dibanding-bandingkan dengan kakaknya, Aini. Lakonan Emelda Rosmila dan Dian P.Ramlee.

Angan Si Nonong (26 Ogos 2012)
Kisah Nonong, seorang gadis tomboi yang bercita-cita untuk memasuki pertandingan Unduk Ngadau dan dia dicabar oleh anak Tok Penghulu yang cantik. Berjayakah Nonong menjadi Ratu?

Drama Hero Desa (Gambar Artis Utama)

Nubhan ... pelakon utama Raya Yang Paling Raya

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Aiskrim Baskin Robbins Percuma Tetap Diberikan

Program Raya RTM 2012